Jumaat, Ogos 01, 2014

PKR, DAP tidak adil - Pas Selangor?

Sallehen Mukhyi

Pas Selangor membidas sikap beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang terlalu 'ghairah' mahu parti itu mengambil tindakan disiplin terhadap Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki yang didakwa mencadangkan senario yang dijangka berlaku sekiranya Pas keluar daripada pakatan pembangkang.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Sallehen Mukhyi berkata, desakan PKR dan DAP tidak sepatutnya timbul apatah lagi diperbesar-besarkan sehingga menjadi polemik dalam pakatan kerana mesej terkandung dalam WhatsApp itu merupakan satu perbincangan berkumpulan tertutup yang mana masing-masing berhak memberikan pandangan mengenai sesuatu perkara.

Ini kerana katanya, memberikan pandangan dalam sesuatu isu merupakan amalan biasa berlaku dalam mana-mana perbincangan dan tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan, termasuklah dakwaan terhadap Mohd. Zuhdi yang dikatakan membayangkan senario Pas jika keluar daripada pakatan pembangkang.

"Justeru, adalah tidak adil mana-mana pihak (sama ada PKR dan DAP) menyalahkan Mohd. Zuhdi tentang pandangan beliau mengenai senario jika Pas keluar daripada pakatan.

"Selain itu, perbincangan dalam mesej dalam WhatsApp yang dikatakan melibatkan Mohd. Zuhdi itu hanyalah satu perbincangan kumpulan semata-mata dan bukannya ketetapan rasmi yang menjadi pendirian Pas Pusat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dilaporkan meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan tindakan disiplin yang akan diambil oleh parti itu ke atas Mohd. Zuhdi kerana didakwa mengutarakan cadangan senario yang akan berlaku sekiranya Pas keluar daripada pakatan pembangkang menerusi mesej kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat.

Tidak berpuas hati dengan cadangan tersebut, Rafizi turut menyifatkan tindakan Mohd. Zuhdi itu adalah bercanggah dengan janji-janji yang dimeterai di antara Pas, PKR dan DAP.

Selain Rafizi, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan turut menggesa Pas mengambil pendirian tegas terhadap Mohd. Zuhdi selain menyifatkan cadangan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas itu sangat tidak bertanggungjawab dan ada unsur-unsur membelot kepercayaan rakyat.

Dalam pada itu, Sallehen turut menyatakan Pas Selangor menyerahkan kepada kepimpinannya di peringkat pusat untuk memutuskan sama ada untuk mengadakan siasatan terhadap Mohd. Zuhdi atau sebaliknya.

"Jika Pas Pusat mengadakan siasatan, perkara itu haruslah turut melibatkan juga pihak yang bertanggungjawab menyebarkan mesej kumpulan WhatApps tersebut dan PKR serta DAP harus bersabar.

"Sekiranya ada tindakan diambil, pihak yang menyebarkan mesej itu harus dikenakan tindakan tegas kerana mengeruhkan hubungan antara parti dalam pakatan," tegasnya.

Pada masa sama, Sallehen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri mahu semua parti dalam pakatan memberikan perhatian kepada pembangunan di negeri ini sebagaimana diamanahkan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

hisemudinkasim.blogspot.com berkata...

Untuk kupasan isu yang lebih lanjut silakan ke

http://hisemudinkasim.blogspot.com/2014/08/pakatan-rakyat-gali-kubur-sendiri.html