Khamis, Ogos 14, 2014

Kemelut MB Selangor semakin meruncing - Khalid cabar Wan Azizah bawa undi tidak percaya sidang DUN?


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjawab gesaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya melepaskan jawatan menteri besar kerana sudah hilang majoriti dengan mencabar Presiden PKR itu mengemukakan undi tidak percaya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menerusi twitter dan Facebook, Khalid menulis, beliau ambil maklum pengumuman Wan Azizah yang mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor.

Tambahnya, sokongann itu patut “diterjemahkan” kepada proses undi tidak percaya di DUN Negeri Selangor.

“Dakwaan ini tetap perlu diterjemahkan melalui proses undi tidak percaya di Dewan Negeri Selangor,” kata beliau.

Hari ini Wan Azizah mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) kembali mempunyai majoriti di DUN Selangor apabila dua orang Adun PAS menyatakan sokongan kepadanya bagi menggantikan menteri besar itu.

Adun PAS tersebut iaitu Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang). Mereka menyatakan sokongan bersama-sama 15 Adun DAP dan 13 Adun PKR dalam sidang media Wan Azizah sebentar tadi.


Situasi ini menjadikan Wan Azizah kini disokong oleh 30 orang Adun berbanding Khalid Ibrahim yang disokong oleh 26 orang Adun. Beliau berkata selagi Wan Azizah atau Pakatan Rakyat tidak memulakan proses di Dewan Negeri, pentadbiran beliau tidak terjejas.

Dalam pada itu Wan Azizah berkata, beliau sudah menulis surat kepada Sultan Selangor mengenai sokongan yang diperolehi dengan menyertakan nama, tanda tangan dan akuan 30 Adun terbabit.

Adun Kajang itu juga mohon perkenan menghadap Sultan Selangor untuk membincangkan kewajaran sidang DUN khas bagi proses pertukaran menteri besar. Bagaimanapun, tindakan itu bukan mudah kerana sidang DUN khas hanya boleh dipanggil menteri besar setelah mendapat perkenan sultan.

Cara lain adalah dengan mengemukakan usul pada persidangan biasa DUN Selangor tetapi ianya kemungkinan dijadualkan Oktober nanti. Sehingga itu, seperti kata Khalid, proses pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Bunyi Langau berkata...

Salam Saudara , saya orang baru . Tolong share link blog saya http://bunyilaangau.blogspot.com/ .
Terima kasih !