Selasa, Ogos 12, 2014

Rakyat Selangor bak pelanduk tersepit?



Dalam usaha mengekalkan pemerintahan di Selangor bagi penggal kedua ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP membentangkan pelbagai teori dan imaginasi untuk mempengaruhi rakyat negeri itu agar te­rus mengundi mereka.

Walaupun ketika penggal pertama pemerintahan, pelbagai masalah wujud termasuklah keupayaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar (MB) dipertikaikan, namun para pemimpin pembangkang khususnya daripada PKR bermati-matian mempertahankan beliau.

Rakyat Selangor diberikan gambaran bahawa pakatan pembangkang paling layak memerintah dan Khalid ialah tokoh paling berwibawa untuk memimpin mereka. Tetapi segala-galanya berubah dalam tempoh 15 bulan selepas menerima mandat.

Perebutan kuasa politik dalam PKR seolah-olah tidak mampu dibendung lagi dan apa yang mengejutkan, Khalid menjadi sasaran kerakusan politik para pemimpin kanan parti itu untuk disingkirkan.

Bermula dengan perbalahan politik antara beliau dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pada awal tahun ini, ia disusuli pula de­ngan langkah drastik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang diadakan pada 23 Mac lalu.

Pilihan raya itu bukannya kerana wakil rakyat kawasan itu, Lee Chin Cheh sakit atau tidak berupaya menjalankan tugasnya tetapi kerana mahu memenuhi agenda politik Anwar dan konco-konconya untuk menyingkirkan Khalid.

Biarpun rakyat mengetahui bahawa pilihan raya itu bermotif politik namun mereka tetap memberi mandat kepada PKR yang berjaya mempertahankan kerusi itu melalui isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas si suami tidak layak bertan­ding kerana disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Rayuan.


Selepas air, isu sampah termasuk operasi tapak pelupusan haram di tebing Sungai Klang turut menyesakkan hidup warga Selangor namun kerajaan negeri terlalu sibuk berpolitik untuk memberi perhatian kepada masalah rakyat.

Kini kesetiaan rakyat Selangor dan kesediaan mereka memberi mandat kepada pakatan pembangkang seolah-olah 'memakan diri', apabila pemimpin-pemimpin PKR khususnya lebih menumpukan perhatian untuk menjatuhkan Khalid.

Tiada apa-apa agenda lain yang difikirkan oleh para pemimpin PKR termasuk Anwar untuk rakyat Selangor dalam tempoh 15 bulan ini selain merancang strategi bagi memastikan Khalid tersingkir daripada kerusi MB Selangor.

Situasi menjadi bertambah parah apabila pergolakan politik yang berlaku turut me­nyeret sama sekutu PKR iaitu Pas dan DAP. Pas menentang habis-habisan usaha PKR. Lanjutan itu, pemimpin PKR dan Pas berbalah sesama sendiri manakala rakyat Selangor menyaksikannya dengan penuh kehampaan.

Rakyat Selangor bagaikan pelanduk yang akhirnya akan mati di tengah-tengah pertempuran antara gajah dengan gajah. Mereka tidak berupaya melakukan apa-apa ke­rana mereka sendiri yang memilih pakatan pembangkang untuk menerajui negeri itu.

Apa yang berlaku seharusnya memberi kesedaran kepada pengundi di Selangor bahawa jangan mudah terpedaya dengan mainan politik lidah tidak bertulang pembangkang apatah lagi jika melibatkan percaturan kuasa dalam PKR yang segala-galanya ditentukan oleh Anwar.

Sememangnya kita tidak boleh salahkan rakyat Selangor sepenuhnya kerana dalam demokrasi mereka berhak memilih siapa yang mereka mahukan berdasarkan kepada janji-janji manifesto oleh parti-parti yang bertanding.

Pihak yang sepatutnya dipersalahkan ialah PKR serta sekutunya yang sanggup memungkiri janji apabila lebih banyak me­numpukan perhatian kepada perebutan kuasa sesama sendiri berbanding menunaikan amanah kepada rakyat.

Sebab itulah, sesuatu yang melucukan apabila ada konco-konco pakatan pembangkang dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat kenyataan membidas Pas yang dianggap tidak mengutamakan kepentingan rakyat berikutan tersebarnya mesej oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Muhd. Zuhdi Marzuki mengenai kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang di Selangor.

Sepatutnya, NGO itu menegur Anwar dan PKR kerana mereka yang bertanggungjawab mencetuskan konflik politik di Selangor, bukannya Pas. Pas hanya bersuara mempertahankan Khalid dengan hujah tiada apa-apa yang dilakukan oleh beliau sehingga memungkinkan untuk disingkirkan jawatan MB.

Apa pun yang tetap menjadi mangsa adalah rakyat Selangor. Mereka tidak mendapat apa-apa faedah daripada pergolakan politik yang berlaku, sebaliknya mungkin akan diheret sekali lagi untuk membuang undi melalui pilihan raya negeri yang terpaksa diadakan bagi menamatkan konflik angkara pemimpin PKR.


Sudah tentulah, keadaan ini tidak adil kepada rakyat memandangkan mereka memilih sebuah parti untuk memerintah dengan matlamat mandat yang diberi itu akan membawa kesejahteraan kepada mereka dan sekali gus memajukan negeri.

Sebaliknya, para pemimpin PKR di Selangor mengkhianati mandat tersebut apabila lebih banyak menumpukan kepada urusan politik sehingga agenda untuk rakyat sekadar menjadi hiasan dalam manifesto sahaja.

Pelbagai alasan diberi bagi mempertahankan tindakan songsang untuk menjatuhkan Khalid. Paling memalukan, pemimpin-pemimpin PKR bersedia 'melondehkan' apa yang mereka sifatkan sebagai masalah integriti MB Selangor itu.

Mereka cuba menjadikan alasan tersebut untuk memperdayakan rakyat dan sekali gus 'menghalalkan' tindakan politik yang sudah dirancang sekian lama.

Namun rakyat Selangor tidaklah sebodoh sesetengah pemimpin PKR yang bersedia 'mengangguk' kepala mengiyakan apa sahaja kata pemimpin kanan mereka.

Di warung-warung kopi dan laman-laman sosial kini, mereka mempersendakan hujah pemimpin-pemimpin parti itu. Mereka mengetahui tindakan yang dilakukan ke atas Khalid hanya bermotif politik.

Mungkin buat sementara waktu, mahu tidak mahu rakyat Selangor terpaksa mengharungi keperitan akibat kesilapan yang mereka lakukan dalam pilihan raya umum lalu. Tetapi mereka berpeluang memperbe­tulkan kesilapan itu jika pilihan raya negeri diadakan atau dalam pilihan raya umum akan datang.

Konflik politik yang tercetus memberi pengajaran berguna kepada rakyat Selangor mengenali wajah sebenar para pemimpin pembangkang khususnya PKR dan membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya kerana, ingatlah sabda Rasulullah SAW: "Jangan sampai kamu dipatuk oleh ular di dalam lubang yang sama dua kali.''

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: