Rabu, Jun 29, 2011

Harapan warga Shah Alam!


UMNO Bahagian Shah Alam bersama lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) serta parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini berharap cadangan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan.

Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Shah Alam, Datuk Nawawi Md. Zin berkata, memorandum berhubung perkara itu, yang merupakan suara hati warga Shah Alam, sudah pun dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya pada 11 Jun lalu.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada kementerian berkenaan dan usaha sedang dilakukan untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam berkata, kunjungan hormat itu disifatkan sebagai penting bagi mendapatkan reaksi awal kerajaan, selain boleh membincangkan cadangan dalam memorandum tersebut.

“Dalam keadaan ekonomi hari ini, UMNO Bahagian membawakan suara hati rakyat di negeri ini bersama pelbagai NGO dan amat berharap kerajaan dapat memenuhi permintaan itu.

“Jika sebelum ini, beberapa kutipan tol sudah ditamatkan dan kami harap tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau juga dapat dimansuhkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 11 Jun lalu, Nawawi menyerahkan memorandum memansuhkan tol tersebut kepada Shaziman bagi dikemukakan untuk pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Ashaari Ibrahim yang mewakili Shaziman selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari pula berkata, golongan muda sentiasa memberikan sokongan kepada usaha meringankan beban kewangan rakyat termasuk memansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya Persekutuan yang telah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu.

“Dalam keadaan ekonomi sedang mengalami pemulihan, kami merayu agar kerajaan dapat menamatkan operasi kutipan tol di kedua-dua plaza tol tersebut,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Kamaruddin Ahmad berkata, Lebuh raya Persekutuan adalah pintu masuk utama ke Shah Alam dan sewajarnya ia tidak ‘dihiasi’ dengan plaza tol.

“Mengikut perkiraan kita, syarikat konsesi lebuh raya itu sudah berjaya mengutip balik nilai pelaburan mereka bagi membangun dan menaik taraf lebuh raya berkenaan,” katanya.

Sementara itu : Boleh jadi hadiah paling bermakna!

Warga bandar raya ini yang begitu terbeban dengan bayaran tol sama ada untuk ke ibu negara atau Klang menyambut baik usaha UMNO Bahagian Shah Alam yang mencadangkan agar kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau ditamatkan.

Seorang pengguna, Azhari Zain, 40, berkata, sudah sampai masanya kutipan tol di Batu Tiga yang dilaluinya dua hingga tiga kali sehari dimansuhkan bagi meringankan beban rakyat.

"Sudah begitu lama Plaza Tol Batu Tiga beroperasi dan saya yakin syarikat konsesi terbabit sudah mendapat pulangan daripada pelaburan mereka.

"Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mendengar rintihan rakyat di Shah Alam dan Klang yang dihimpit masalah kewangan akibat kenaikan kos hidup," katanya kepada di sini hari ini.

Beliau mengulas penyerahan memorandum oleh UMNO Bahagian Shah Alam kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berhubung cadangan pemansuhan kutipan tol di Lebuh raya Persekutuan.

Seorang peniaga, Shafiz Ahmad, 30, yang melalui Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga untuk urusan kerja di sekitar Lembah Klang berkata, pemansuhan kutipan tol itu membuktikan kerajaan sedia ada sebagai prihatin dan memahami masalah rakyat.

"Diharap Kerajaan Persekutuan dapat berunding dengan Plus Expressway Bhd. sebagai pemegang konsesi demi kebajikan rakyat negeri ini yang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk tol," katanya.

Seorang mekanik, Mohamad Khir, 20, yang bekerja di Shah Alam berkata, tempoh waktu 20 tahun dan jumlah kenderaan yang tinggi pastinya telah membolehkan pelaburan yang dibuat oleh syarikat konsesinya dikutip semula.

"Bagi orang yang berpendapatan tinggi, RM2.20 setiap hari mungkin tidak memberi kesan kepada pendapatan mereka tetapi bagi saya, ia adalah satu jumlah yang agak tinggi.

"Orang ramai di sini juga tidak dapat lari daripada membayar tol kerana hampir semua laluan keluar masuk ke Shah Alam dan Klang ada plaza tol," katanya.

Pengusaha kedai komputer di USJ 3 Subang Jaya, Mohamad Idris Midin, 28, berkata, inisiatif yang diambil oleh UMNO Bahagian Shah Alam untuk mendesak kerajaan menghapuskan kutipan tol tersebut amat dialu-alukan kerana perkara itu memang menjadi perbualan masyarakat di sini.

"Sudah hampir lima tahun saya berulang-alik melalui plaza tol di Lebuh raya Persekutuan ini dan sekiranya ia dimansuhkan, dapatlah beban kewangan kami diringankan sedikit," katanya.

Saiful Ahmad, 25, pula berkata, seandainya tol tersebut dimansuhkan, ia akan menjadi hadiah paling berharga daripada kerajaan Pusat kepada rakyat sejajar dengan konsep Rakyat Didahulukan.

Semuga apa yang disuarakan ini mendapat perhatian dan pertimbangan dari pihak kerajaan. InsyaAllah.

Suara Politik
Taminsari..

Selasa, Jun 28, 2011

PAS Sedang Bergerak Kearah SEKULAR!

PAS bersekongkol dengan parti SEKULAR pemusnah ISLAM. Kesilapan besar Nik Aziz adalah kerana terlalu mempercayai kumpulan Erdogan di dalam PAS. Husam, Kamaruddin, Mahfuz adalah pembawa Sekular Moden ala Mustafa Kamal Artatuk di dalam PAS.

Nik Aziz sanggup menangis semasa doanya dihadapan ribuan penyokong di stadium pada Pilihanraya, tetapi tidak pula menangis apabila umat Islam dan Melayu diganggu-gugat oleh orang kafir DAP dan Melayu-Islam PKR yang menjadi pengkhianat agama, bangsa dan negara.

PAS sedang berarak ke arah Sekular dan juga PAS sedang menyanjung PKR, bapa Sekular Moden dan pengikut setia YAHUDI AMERIKA yang diketuai oleh Anwar. Tangisan Nik Aziz yang hanya memberi makna kepada politik sahaja dan bukannya iklas untuk perkembangan Islam.

Nik Aziz menyatakan UMNO Nasionalis, tetapi PKR sendiri mengakui secara terang-terangan mereka Sekular. Kini PAS bersekongkol dengan Sekular, maka PAS sedang menuju kecelakaan besar.

PKR telahpun menyerlahkan sikapnya dan sikap kebanyakkan ahli PKR yang anti perjuangan Islam yang di suarakan oleh ahlinya apabila bekas ahli PKR iaitu YB Zulkifli Nordin di katakan mempertahankan Islam yang tidak sesuai dengan perjuangan yang di bawa oleh PKR dan sikap PKR ini telah di serlahkan oleh TIAN CHUA dalam The Star pada 26 Oktober 2008.

Antara lain Tian Chua mengatakan bahawa Zulkifli Nordin tidak boleh bersuara seolah-olah sama dengan suara parti PAS sedangkan dia adalah parti PKR yang sekular dan berbentuk pribadi Anwar Ibrahim dan Tian Chua tidak gemar Zulkifli berpolitik cara PAS.

Yang lebih hebatnya ialah kebanyakkan orang cina tidak suka cara PAS berpolitik dan lebih-lebih lagi jika orang PKR berpolitik cara PAS! Di katakan juga ramai di kalangan orang melayu yang ada di dalam PKR tidak suka kepada perjuangan cara PAS. PAS sepatutnya memikirkan satu pendekatan bersatu dengan UMNO untuk memastikan sikafir-kafir merbahaya ini tidak membaham Islam.

Mufti Perak sendiri melihat bahawa gabungan PAS dan UMNO di Perak adalah jalan pembuka kepada penyatuan Melayu seterusnya melahirkan kekuatan dalam Islam. Islam kuat kerana penganutnya.

Islam akan lemah sekiranya penganut Islam di dalam UMNO dan PAS terus bertelagah. Walaupun ramai soldadu PKR di dalam PAS, ini tidak bermakna PAS tidak boleh bersatu dengan UMNO. PAS akan terus dibaham dengan pendekatan sekular PKR sedikit demi sedikit apabila tidak mahu mengadakan perbincang sesama Islam di dalam UMNO yang pada masa kini menjadi ketua pemerintah Malaysia yang beragama Islam.

Bayangkan Tian hua seorang Ketua Penerangan PKR pusat mengakui bahawa PKR ialah sekular. Jelaslah sekarang PAS adalah generasi awal Mustafa Kamal Artatuk.

DAP sedang menjadikan Anwar sebagai jambatan merentasi PAS sebagai laluan menjadikan Malaysia dibawah jajahan kuasa mereka iaitu untuk menrealisasikan agenda PAP. Kini PAS dilihat berada dibawah jambatan diantara DAP dan PKR tanpa PAS dan penyokong-penyokong taksub mereka sedari taktik "command and conquer" DAP yang kini lebih terserlah untuk menghakis hak-hak Melayu dan mempertikaikan agama Islam.

Ini berlaku kerana Anwar telah mengatakan akan menjadi PM pada 16 Sept 2008 lepas walaupun semua tahu ia hanyalah pembohongan besar walaupun terpaksa menetapkan tarikh baru atau pada bila-bila masa.

Dengan syarat PAS atau pun Pakatan Rakyat iaitu mestilah seorang Islam yang layak menjadi PM, DAP telah menggunakan Anwar sebagai jabatan memberi sokongan maximum kepada Anwar sebagai bakal PM dan bukannya dari golongan PAS disebabkan ideologi yang berbeza dan DAP lebih menerima ideologi PKR dari PAS.

Jika ianya berlaku, maka corak pemerintahan DAP akan menggunakan cara pemerintah "back door" yang sama seperti apa yang terjadi kepada Selangor dan Perak kini.

Ramai berpendapat yang dulunya memangkah PKR ( bagi yang sedar percaturan politik DAP ) pada pilihanraya ke-12 kononya untuk perubahan mula menyesal kerana DAP yang merubahkan segalanya menggunakan platform PKR dan PAS. Yang dikejar tak kesampaian, yang dikendong keciciran.

Adakah penyokong PKR dan PAS dapat menyanggah perkara yang sedang dilakukan DAP ini? Jadi, apa kata penyokong PAS? Masih nak sokong, diperguna, diper'donkey, ditunggang, ditipu, dipermacai oleh Anwar yang sedang dipergunakan oleh DAP untuk menghancurkan Melayu-Islam?

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Jun 27, 2011

Pakatan pembangkang politikkan agama, sesatkan umat!



















Apa yang berlaku sekarang amatlah mendukacitakan. Terdapat pemimpin yang sanggup memparmainkan bangsa dan agama demi kepentingan politik. Yang lebih menyedihkan pemimpin yang sering mendabik dada kononnya memparjuangkan Islam tetapi ungkapan itu hanyalah pemanis mulut tetapi hati penuh dengan hasad dengki, laknat dan segala niat yang menjijikkan.

Hakikatnya umat Melayu sayang kepada agama, bangsa dan negara. Umat Melayu juga sayang kepada pemimpin. Umat Melayu tidak akan biarkan negara jatuh ke tangan musuh. Musuh memang suka kalau umat Melayu bergaduh sesama sendiri. Apatah lagi musuh yang dinamakan iblis. Untuk mengatasi supaya umat Melayu tidak berada di dalam kerugian marilah mengingati kembali pesan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Apabila ada pergaduhan di antara kamu, maka hendaklah ada yang bangun untuk menyelesaikannya. Hendaklah kamu rujuk kepada Al Quran dan Sunnahku’.

Apabila semua merujuk kepada Al Quran dan Sunnah Rasullullah SAW perkara yang rosak menjadi elok. Semua akan selamat di dunia dan akhirat. Beriman dengan ucapan, beriman dengan perbuatan dan beriman dengan hati. Semua orang Islam hendak kembali kepada Allah SWT. Bagaimana hendak kembali KepadaNYA jikalau sesama sendiri bermusuhan.

Allah SWT berfirman di dalam Kitab Suci Al Quran, Surah Al’ Imran ayat 103 yang bermaksud ‘ Berpegang-peganglah kamu ke tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai’. Untuk mendapat keredhaan daripada Allah SWT di atas ayat tersebut, hendaklah meredhakan diri menuju kepada maksud ayat tersebut dengan lafaz serta mempraktikkan zahir dan batin dengan ikhlas hanya kerana Allah SWT.

Kalau apa sahaja dibuat dengan niat di hati kerana Allah SWT dengan mengikut perintah Allah SWT buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang nescaya umat Islam menjadi satu. Satu dengan ertikata “Menyatu”.

Contohnya seperti kopi, gula, susu dan air datang dari tempat yang berlainan dan keturunan jenis yang berlainan, kerana Allah SWT menjadikan kopi kerana Allah SWT menjadikan gula, kerana Allah SWT menjadikan susu kerana Allah SWT menjadikan air dan kerana Allah SWT lah ia menyatu menjadi satu di dalam satu bekas. Ianya tidak akan dapat dipisahkan lagi walaupun di mana sahaja ia berada.

Sebagai umat Islam hendaklah selalu beriman kepada Allah SWT dan berjanji setiap kali menunaikan solat. Sesungguhnya Solat, ibadah, hidup dan matiku hanya kerana Allah SWT. Tiap-tiap apa yang dikerjakan dengan menyebut di hati kerana Allah SWT sudah tentu kita akan menyatu dan bersatu menjadi satu.

Hakikatnya dalam soal agama seseorang itu tidak seharusnya hipokrit, ekstrim hingga menghancurkan agama itu dan umatnya. Agama Islam tidak meminta umatnya berpecah belah, mengeluarkan kata-kata nista, memfitnah apatah lagi bagi tujuan politik. Seluruh umat Islam haruslah menolak fahaman sebegini kerana ia bakal menghancurkan keindahan agama dan membinasakan umat. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, Jun 26, 2011

Belantan sokong saranan Tun Mahathir : Bertegas pertahan agama anak!
















Demi masa depan anak-anak Melayu Islam kita, Belantan menyokong apa yang disarankan oleh Tun Mahahir. Beliau menyarankan agar umat Islam perlu bertegas mempertahankan peraturan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memberikan ruang kepada mereka untuk menetapkan status agama anak dalam dokumen kelahiran iaitu sebagai penganut Islam.

Bekas Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan memastikan umat Islam tidak terpengaruh dengan sebarang trend pihak tertentu yang mahu anak yang baru dilahirkan tidak ditentukan status agama, sebaliknya membiarkan ia menjadi pilihan sendiri apabila dewasa.

"Itu adalah adat kita, mereka tidak boleh mempersoalkannya. Anak kita mesti beragama Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Pembinaan Kompleks Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selangor di Seksyen 8 di sini, hari ini.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik yang disiarkan dalam sebuah portal berita semalam yang meletakkan kesalahan kepada sistem JPN kerana telah menentukan anaknya sebagai penganut agama Buddha sedangkan beliau meletakkan anaknya 'belum ada agama'.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang itu dipetik sebagai berkata: "Mengapa dia (pegawai) perlu membuat keputusan ini untuk saya? Ini adalah satu perkara serius..., kenapa kita tidak boleh membuat pilihan untuk anak-anak kita sendiri, untuk mendaftarkan mereka sebagai Anak Malaysia tanpa agama lagi," katanya.

"Ini adalah semangat 1Malaysia dan harus digalakkan. Generasi akan datang kita seharusnya mempunyai kebebasan untuk menentukan bangsa dan agama mereka sendiri," kata Wei Aik.

Dr. Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim berkata, pihaknya bimbang sekiranya status agama anak penganut Islam tidak ditentukan lebih awal, kemungkinan boleh timbul soal murtad di kalangan umat Islam apabila anak tersebut sudah dewasa atau tua.

Sebelum ini seorang lagi ADUN DAP dari Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan mahu mendaftarkan keturunan bayinya sebagai 'Anak Malaysia'! Tindakan beliau dilihat tidak lebih demi matlamat politik murahan. Dakwaan Hannah bahawa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara tidak membenarkan beliau dan suami, R. Muniandy mendaftarkan bangsa bayi mereka, Shay Adora Ram, yang berusia enam hari sebagai 'Anak Malaysia'.

Nampaknya mereka semakin berani mempertikaikan apa yang kita pertahankan selama ini. Kalau boleh mereka hendak melondehkan satu persatu hak-hak yang termaktub didalam perlembagaan negara!

Mereka berusaha menubuhkan IFC yang didokongi oleh ngo dan juga parti pembangkang untuk membuat pelbagai tuntutan. Antaranya adalah :

1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil.

4. Tidak perlu dicatatkan didalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut agama Islam sekiranya ingin berkahwin dengan ornag Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk agama Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

7. Orang-orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadah orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

10. Bible dalam bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar disemua sekolah.

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Beginilah kesempatan yang diambil oleh bukan Islam terutamanya DAP dan kuncu-kuncunya apabila melihat orang Melayu semakin lemah akibat berpecah! Yang menyedihkan lagi ada juga diantara orang Melayu kita yang sanggup bersekongkol dengan mereka untuk melihat kejatuhan Melayu. Sikap mementingkan diri dan tamakkan kuasa bakal melihat orang Melayu akan merempat di tanahair mereka sendiri jika tidak dibendung dari sekarang!

Akibat sengketa sesamalah kita, maruah peribadi sudah hilang. Kini kita cuma tinggal kuasa yang mana akan menentukan bangsa. Sama-samalah kita bersatu hati, bersama kita berbakti demi agama, bangsa dan negara. Kita pulihkan kembali harga diri kerana kita sudah tiada masa lagi. InsyaAllah.

Suara politik
Taminsari

Khamis, Jun 23, 2011

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!

DR. MAHATHIR DAN MUKHRIZ KRITIK PAS

Akhbar Nanyang Siang Pau terbitan 19 Jun 2011 menyiarkan artikel tulisan pengkritik semasa, Loh Hon Chew mengenai komen yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz terhadap Pas.

Artikel bertajuk ‘Tun Mahathir anak-beranak mengkritik Pas’ itu tersiar dalam ruangan Pendapat Yuanlun pada halaman A16 akhbar berkenaan.

Menurut penulis, Dr. Mahathir dan Mukhriz merasa tidak selesa dengan keputusan Pas baru-baru ini untuk meninggalkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan beralih kepada negara berkebajikan.

Dr. Mahathir berkata, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menentang negara Islam telah menang besar kerana puak yang memperjuangkan perkara itu dalam Pas telah dipaksa melepaskan kuasa semasa pemilihan pada muktamar tahunan parti itu yang ke-57.

Mukhriz yang turut memberikan komen, menyifatkan kemenangan golongan pro- Anwar adalah tidak baik kepada perbincangan kerjasama antara UMNO dan Pas serta tidak bagus untuk perpaduan orang Melayu.

Kata-kata Dr. Mahathir itu, jelas menunjukkan beliau sangat geram dan tidak boleh menerima hakikat bahawa Karpal mempunyai pengaruh yang begitu kuat dalam Pas.

Dalam reaksi balasnya, Karpal berkata, beliau langsung tiada pengaruh dalam Pas. Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut menuduh bekas Perdana Menteri itu sengaja membuat dakwaan berkenaan bagi mewujudkan pergeseran antara kedua-dua parti.

Sebenarnya, bukan Karpal dan pemimpin DAP sahaja yang membantah penubuhan negara Islam. Jika kita bertanya orang Cina, daripada 10 orang yang ditanya, sekurang-kurangnya sembilan orang akan menyatakan bantahan terhadap langkah itu.

Mereka bukan sahaja membantah negara Islam, malah tidak bersetuju dengan penubuhan negara Buddha dan Kristian. Sebab itu, seluruh masyarakat Cina menyatakan bantahan selepas Dr. Mahathir menyebut ‘‘kita sudah pun menjadi negara Islam’’ selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan 2001.

Hanya Presiden Gerakan ketika itu, Tun Dr. Lim Keng Yaik seorang sahaja yang bersetuju dengan kata-kata beliau manakala Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik cuba mengelak daripada menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Dr. Mahathir.

Sehingga sekarang, MCA dan Gerakan membantah penubuhan negara Islam manakala UMNO pula mengambil sikap berbelah- bahagi dalam isu berkenaan. Langkah UMNO yang menyatakan Malaysia kini adalah negara Islam dan tidak menentang secara terbuka cadangan penubuhan negara Islam ala-Pas merupakan taktik politik. Tujuannya adalah bagi menarik pengundi beragama Islam.

Pada masa sama, perubahan yang dibuat Pas juga adalah strategi politik. Parti itu memahami bahawa isu negara Islam tidak boleh lagi menarik minat pengundi, kerana keburukannya lebih besar daripada kebaikan.

Pas meninggalkan perjuangan negara Islam kerana mahu terus hidup. Ia tiada kaitan langsung dengan Karpal, jadi kita tidak perlu mengagung-agungkan Pengerusi DAP itu.

Dalam pada itu, kenyataan Mukhriz bahawa kemenangan golongan pro-Anwar yang menyokong negara berkebajikan adalah tidak baik untuk perpaduan orang Melayu menunjukkan beliau masih mempunyai fahaman perkauman.

Adalah melucukan apabila beliau menganggap cadangan penubuhan negara Islam akan mendatangkan kebaikan kepada perpaduan orang-orang Melayu.

Semua orang Melayu memang beragama Islam. Ini tidak boleh dipertikaikan lagi, tetapi orang Islam tidak semestinya daripada kalangan kaum Melayu sahaja.

Di seluruh dunia ada ramai orang Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Bilangan orang Islam di China lebih ramai daripada jumlah penduduk Malaysia. Orang berkulit putih di Amerika Syarikat dan Eropah juga ada yang beragama Islam.

Oleh itu, mengaitkan Islam dengan perpaduan Melayu adalah salah kerana mana- mana kaum tidak akan bersatu semata-mata kerana ia menganut agama sama. Rakyat Pakistan misalnya, mereka membunuh orang Pakistan lain yang seagama untuk membalas dendam. Ini jelas menunjukkan agama tidak membawa kepada perpaduan.

Pendapat Mukhriz yang mengaitkan agama dengan perpaduan adalah kesilapan besar. Pemikiran seperti itu adalah lebih mundur berbanding fahaman perwakilan Pas ketika muktamar parti itu, baru-baru ini.

Pendirian kepimpinan baru Pas untuk tidak lagi memperjuangkan negara Islam telah menyatukan rakyat yang berlainan agama. Ia tidak seperti Mukhriz yang mempolitikkan agama dan hanya mencari perpaduan untuk satu kaum sahaja.

Bagi Belantan, sebenarnya dalam konteks politik negara sekarang, orang Melayu perlu sedar akan mainan politik khususnya kaum Cina. Bidang Ekonomi dan pendidikan yang menjadi teras dalam sesebuah negara telahpun dikuasai oleh kaum Cina cuma kuasa politik masih lagi belum dikuasai. Nampak sangat dendam mereka terhadap Tun masih belum reda. Mereka dilihat begitu kritis dengan setiap kenyataan dan tindakan Tun seolah-olah mereka telah lupa jasa Tun selama ini.

Perbalahan yang berlaku di antara pimpinan Melayu/Islam termasuk UMNO, PAS serta PKR (yang dipimpin oleh Melayu/Islam tapi bawa perjuangan Melayu/Islam?) hanya akan menguntungkan kaum Cina dan India. Bukan bermaksud untuk bersifat perkauman tetapi sifat dan budaya Melayu yang menjadi tunjang pembinaan negara Malaysia semakin terhakis.

Inilah yang sebenarnya yang mereka mahukan sebenarnya, dengan menghilangkan pengaruh Melayu dalam apa jua dasar dan kepentingan negara.

Suara Politik
Taminsari

Selasa, Jun 21, 2011

Anwar Omegay kuasai BERSIH 2.0!


















Anwar Omegay kelmarin sekali lagi 'membuat janji' bahawa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai ini akan dibatalkan jika segala syarat yang ditetapkan pihaknya dipatuhi kerajaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau akan meminta Pengerusi BERSIH, S. Ambiga membatalkan perhimpunan itu sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa pilihan raya umum akan dijalankan secara bersih dan adil.

Janji itu dibuat ketika berucap di hadapan lebih 2,000 ahli PKR yang menghadiri satu konvensyen pilihan raya anjuran parti itu di Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Anwar berlagak seolah-olah beliau boleh menentukan jadi atau tidak jadi perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini. Kalau Najib tidak ikut cakapnya, himpunan itu akan diteruskan.

Apa yang menjadi persoalan ialah Anwar sudah mengambil peranan Ambiga. Dan sikap Anwar itu ditegur oleh bekas Presiden Majlis Peguam itu, "Kami telah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan itu dan kamilah yang akan memutuskan sama ada hendak mengadakannya ataupun tidak."

Ambiga tidak perlukan Anwar dan PKR kerana PAS sudah cukup komited dengan BERSIH 2.0 PAS juga tidak 'curi' Bersih untuk kepentingan diri.

Bagaimana pula dengan kelayakan Anwar untuk berlagak seperti hero bagi memperjuangkan pilihan raya bersih, sedangkan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada November tahun lalu telah dicemari dengan pelbagai penyelewengan.

Masyarakat masih ingat bagaimana ia berpunca daripada tindakan Anwar sendiri yang berpihak kepada 'anak emas' beliau, Azmin Ali yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Perkara itu diakui sendiri oleh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd. Nor yang menegaskan, Anwar tiada hak meminta Perdana Menteri menjamin pilihan raya yang adil bagi membolehkan perhimpunan haram BERSIH ditangguhkan.

''Kita telah saksikan sendiri betapa rosak dan tempangnya proses pilihan raya PKR. Sehinggakan hari ini, semua isu besar yang ditimbulkan calon-calon yang bertanding masih tidak dijawab," katanya.

Apa yang disebut oleh Ezam itu ada kebenarannya jika dilihat keputusan bekas ahli MPP parti itu, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden dan melepaskan semua jawatan dalam parti. Beliau kemudiannya keluar daripada PKR.

Ketika mengumumkan keputusan itu pada 8 November lalu, peguam yang sentiasa berpegang kepada nilai demokrasi dan tadbir urus yang baik berkata, beliau bertindak sedemikian kerana pucuk pimpinan parti secara aktif membenarkan berlakunya penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan.

Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.

Zaid bertindak sedemikian setelah beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan beliau mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.

Membuat desakan sama ialah seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, yang menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.

Turut tidak berpuas hati ialah calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin yang telah menulis sepucuk surat kepada Presiden PKR , Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Ketua Cabang Kota Marudu telah dihubungi oleh Anwar sendiri yang 'mengarahkan' sokongan kepada calon tertentu.

Selain kekecohan ketika pemilihan MPP, mesyuarat memilih kepimpinan cabang pada September dan Oktober lalu turut penuh dengan kontroversi termasuklah kerusi berterbangan, dakwaan penggunaan samseng dan penipuan kertas undi.

Di Cabang Kota Raja misalnya, calon Ketua Cabang, S. Kottapan mendakwa ditumbuk oleh penyandang jawatan itu, Dr. Xavier Jayakumar. Pergaduhan besar juga berlaku di Cabang Sabak Bernam, Klang dan Kuala Langat apabila kotak-kotak undi dipecah manakala kerusi dibaling.

Insiden tolak-menolak turut berlaku di Cabang Hulu Selangor apabila 100 ahli parti itu bertindak menghalang sebuah kereta yang membawa kertas undi memasuki pekarangan dewan pengundian.

Perkara sama berlaku di Cabang Bayan Baru apabila ramai ahli tidak berpuas hati kerana kertas fotostat dibenarkan digunakan sebagai kertas undi. Berdasarkan rentetan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan PKR, kita ingin bertanya adakah parti itu akan turut sama memenuhi segala tuntutan yang dibuat oleh Anwar dan BERSIH terhadap kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?

Antara tuntutan itu adalah bersihkan senarai undi, akses media yang bebas serta adil, hentikan rasuah dan politik kotor. Jika tidak, ia ibarat 'meludah ke langit, kena muka sendiri'.-UM.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Jun 20, 2011

Negara Berkebajikan : Adakah PAS Juga Penjahanam Agama Dan Bangsa!





















Selepas menggugurkan penubuhan negara Islam dan ditukar kepada penubuhan negara berkebajikan, sebenarnya banyak perkara berkenaan dengan perjuangan PAS telah disembunyikan. Penyokong atau pengikut parti itu sebenarnya telah dibutakan mata dan hati hingga menjadikan mereka kelompok manusia yang begitu mudah diheret ke mana sahaja. ( Klik di sini )

Ramai penyokong PAS tidak tahu dengan jelas perlembagaan parti yang disokongnya melainkan melalui mendengar apa-apa yang disyarahkan kepada mereka saja. Kadang-kadang apa yang disyarahkan itu tidak begitu menepati sebagaimana yang tercatat dalam perlembagaan parti berkenaan.

Perlembagaan PAS, Perlembagaan Pindaan 1987 Fasal 6 (7), (8) dan (9). Pindaan pada tahun 1977, Fasal 6 (7) mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal dalam amalannya, di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

Perkara (7) diubah kepada mempertahankan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya, PAS menggugurkan perkataan kebangsaan kerana kebangsaan diberi makna asabiah oleh PAS.

Perkara (8) diubah kepada memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam sebagai ganti kepada memperjuangkan wujudnya kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu yang tidak berlawanan dengan ajaran Islam.

Perkara (9) memperjuangkan hak-hak kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputra dalam usaha mencapai cita-cita keharmonian antara kaum dalam pindaan 1987 diubahkan kepada memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

Berdasarkan perlembagaan PAS, tidak ada peruntukan bagi memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu. Ini bermakna bahawa tidak ada hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera. Justeru, tidak ada lagi apa yang disebutkan pada hari ini sebagai Ketuanan Melayu.

Malahan dilaporkan sebuah akhbar (15 September 1985), PAS berjanji dengan masyarakat Tionghua Terengganu pada 14 September 1985 bahawa PAS akan menghapuskan Hak Istimewa orang Melayu jika mereka berkuasa.

Kalau dalam perlembagaan sebelum pindaan 1987 ada peruntukan untuk bangsa Melayu, misalnya dalam hal kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu dan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan Islam, dalam pindaan 1987 tidak ada lagi yang berhubung dengan Melayu.

Fasal 6 Perkara (11) melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan PAS ke dalam dan ke luar. Jelas dalam perkara tersebut tercatat bahawa PAS juga tunduk dan akur kepada Perlembagaan Malaysia.


Adakah rakyat masih ingat gara-gara bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohammad mengumumkan untuk berundur keluar dari UMNO! Ianya seolah-olah ianya memberi satu rahmat kepada Pakatan Rakyat terutamanya PAS. Mereka mula memasang angan-angan untuk menubuhkan kerajaan baru jika Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO tumbang. Mereka berharap UMNO akan terus bergolak dengan masalah dalaman mereka.

PAS melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan yang PAS bersedia memimpin negara dengan berpegang kukuh kepada prinsip “kontrak sosial” sekiranya mereka dapat mengambil alih tempat BN untuk memerintah negara. Beliau menegaskan pendirian itu berasaskan kepada “kontrak sosial” yang telah dipersetujui semasa negara ini merdeka bahawa kepimpinan kerajaan perlu diketuai oleh orang Melayu Islam.

Tambahnya, kepimpinan kerajaan juga perlu meneruskan prinsip-prinsip yang digunapakai sekarang iaitu bahasa Melayu dan Islam sebagai agama Rasmi. Tetapi tidak berani pula menyebut untuk menubuhkan Negara Islam PAS. Katanya, Pas akan terus mempertahankan kontrak sosial yang diasaskan semasa negara merdeka, Islam serta bahasa Melayu di samping masalah perpaduan rakyat pelbagai kaum mesti diselesaikan dengan adil dan bukan secara perkauman.

Pelik tapi benar. Sejak bila pula Presiden PAS itu pandai berbicara tentang kontrak sosial? Asas pembentukan negara ini berpaksikan kepada kontrak sosial seperti bahasa kebangsaan sebagai penyatu kaum-kaum di negara ini, hak-hak istimewa Melayu dan juga hak-hak politik, ekonomi dan sosial kaum bukan bumi dijamin oleh perlembagaan, serta kerjasama parti-parti politik antara kaum-kaum terbesar melalui gagasan BN serta adanya pengiktirafan terhadap DPK dan DEB oleh pelbagai kaum semasa pembentukannya dahulu. Tidakkah semuanya ini bercanggah dengan perlembagaan parti PAS yang dipinda oleh mereka sendiri?

Adakah kita telah lupa semasa kempen pilihanraya tahun 2004 yang lalu. Apakah yang dijanjikan oleh PAS yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada masa itu. PAS sedia memansuhkan hak keistimewaan orang Melayu dalam perlembagaan jika mereka berjaya memerintah dan membentuk sebuah negara Islam ala parti pembangkang jika menang di dalam pilihanraya umum 2004.

Menurutnya, ia bagi memastikan keadilan kepada semua pihak tanpa mengira keturunan, kaum dan jantina, sebaliknya mengutamakan amalan meritokrasi. Ia ( hak istimewa orang Melayu ) masih boleh dipakai tetapi apabila tiba masanya apabila orang Melayu boleh berdikari, maka pada masa itu tidak perlu lagi. Ianya merupakan usaha berterusan parti PAS untuk mendapatkan sokongan rakyat terutama bukan Islam pada pilihan raya umum pada masa itu. Ia memberi tumpuan khusus kepada kedudukan bukan Islam dalam konteks pelaksanaan negara Islam.

Mengapa pada kali ini nadanya berbeza. Kalau hendak berpegang kukuh pada kontrak sosial, mengapa hendak memansuhkan hak keistimewaan orang Melayu. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula ada mengatakan yang di dalam Islam tidak ada "hak istimewa sesuatu kaum".

Inilah sebenarnya perjuangan kabur PAS yang hanya pandai berkata-kata. Mereka begitu bijak menutupi segala kelemahan yang ada di samping sering menuding jari mencari kesalahan orang lain. Rakyat tidak seharusnya terus membiarkan diri terperangkap dengan helah politik PAS ini. Jika rakyat dari sekarang terus leka dan tidak berhati-hati ketuanan Melayu akan hancur dan agama Islam sukar dipertahankan. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Jun 15, 2011

Artikel Pilihan : Pas 'berkorban' demi kuasa!




















Adalah sesuatu yang melucukan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat ulasan kononnya UMNO tidak nyenyak tidur kerana bimbang terhadap Pas.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Barisan Nasional (BN) sudah lama melaksanakan negara berkebajikan.

Hakikatnya, Pas yang sebenarnya tidak nyenyak tidur memandangkan tindakan mengubah laluan bahtera politik mereka dari negara Islam ke negara berkebajikan mula mendapat kritikan ramai.

Kritikan itu bukan sahaja datang daripada penyokong UMNO dan BN malahan di dalam Pas sendiri sudah wujud perasaan tidak puas hati berikutan tindakan Pas yang kini dilihat sanggup mengorbankan segala-galanya demi mencari kuasa politik bersama sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Walaupun Nik Abdul Aziz cuba berhujah bahawa konsep negara berkebajikan adalah sebahagian intipati yang terdapat negara Islam tetapi semua itu boleh dianggap hujah politik sahaja atau lebih tepat lagi ke arah matlamat menghalalkan cara.

Pertemuan penulis dengan beberapa pemimpin muda Pas selepas Muktamar Tahunan Pas Ke-57 parti itu baru-baru ini telah memberikan pemahaman kepada penulis kenapa Pas terpaksa korbankan perjuangan negara Islamnya.

Berikut catatan daripada apa yang mereka ceritakan mengenai senario perubahan dasar politik Pas:

Pas yang sejak berpuluh-puluh tahun lalu mempertahankan perjuangan Islam akhirnya luntur semangat mereka semata-mata mahu mengejar tampuk kekuasaan.

Kejayaan agak cemerlang yang dicapai oleh pembangkang dalam pilihan raya umum lalu telah membangkitkan keghairahan Pas untuk terus bersama-sama PKR dan DAP untuk menumbangkan BN.

Tetapi untuk berada satu bahtera dengan kedua-dua parti itu bagi menuju ke Putrajaya, Pas tidak boleh berada di bahtera berasingan, mahu tidak mahu Pas perlu mengikut rentak PKR dan DAP.

Namun begitu yang menjadi halangan utama kepada Pas ialah dasar perjuangan Islamnya yang dikatakan menimbulkan perasaan tidak selesa terutamanya kepada DAP.

Jika Pas terus bertegas dengan dasar Islam maka selagi itulah pakatan pembangkang dilihat mempunyai ideologi berbeza dan tidak mungkin dapat bersatu kerana perbezaan berkenaan.

Justeru Pas berusaha menutup isu perbezaan ini dengan menukar arah tuju perjuangannya bagi membolehkan ia serasi dengan PKR dan DAP.

Pada mulanya Pas berusaha untuk mentarbiyahkan kedua-dua parti berkenaan supaya menerima dasar Islam yang mereka perjuangkan.

Namun kedua-dua parti itu enggan tunduk sehingga memaksa Pas mengalah kerana pilihan yang mereka ada ialah teruskan dasar perjuangan Islam atau tinggalkan pakatan pembangkang.

Pas amat memahami bahawa mereka tidaklah mempunyai kekuatan politik jika bersendirian tanpa sokongan PKR dan DAP.

Walaupun sejarah politik negara membuktikan bahawa Pas bukanlah calang-calang parti tetapi keyakinan itu semakin luntur akibat diresapi dengan keterujaan untuk menguasai Putrajaya.

Pas dipengaruhi oleh PKR dan DAP bahawa kononnya BN kini berada dalam keadaan 'nazak' dan gelombang perubahan yang dikatakan melanda negara-negara di Asia Barat akan turut 'menghempas' bumi Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu Pas tidak mahu ketinggalan bahtera yang dikemudikan oleh DAP dan dinakhodakan PKR, maka mereka bersedia bersama-sama biarpun hanya menjadi penumpang di pelantar paling bawah atau lebih tepat lagi anak kapal yang hanya mengikut perintah sahaja.

Bagi Pas, soal kedudukan tidak penting, soal dasar perjuangan sudah tidak perlu difikirkan, apa yang lebih utama ialah menawan Putrajaya dan menumbangkan kerajaan BN.

Keghairahan Pas ini yang diibaratkan seperti kelompok yang begitu dahagakan kuasa telah diambil kesempatan oleh PKR dan DAP untuk menekan Pas supaya meninggalkan dasar perjuangan Islamnya.

Maka akhirnya wujudlah apa yang dipanggil konsep negara berkebajikan, satu konsep yang pernah dilaung-laungkan pada tahun 2008 tetapi langsung tidak dilaksanakan di negeri yang dikuasai oleh Pas sama ada di Kelantan mahupun Kedah.

Tindakan Pas meninggalkan perjuangan negara Islamnya telah memungkinkan parti itu dilihat sebagai kelompok yang paling tidak konsisten dalam perjuangan politiknya.

Malahan Pas kini dilihat parti yang paling rugi kerana terpaksa mengorbankan ideologi perjuangannya semata-mata tunduk kepada tekanan merebut kuasa yang diuar-uarkan oleh PKR dan DAP.

Ketika kedua-dua parti itu sejak 2008 terus konsisten dengan dasar mereka, Pas pula semakin bercelaru dan sudah tidak mempunyai hala tuju lagi, selain mengikut sahaja ke mana yang akan dibawa oleh PKR dan DAP.

Demikianlah catatan perbualan penulis dengan pemimpin-pemimpin muda Pas berkenaan yang jelas menampakkan kekecewaan mereka terhadap perubahan hala tuju bahtera perjuangan Pas.

Walaupun Pas sering menuding jari mengatakan bahtera UMNO semakin bocor dan akan tenggelam tetapi pada pandangan pemimpin-pemimpin muda berkenaan sekurang-kurangnya UMNO tidak menggadaikan prinsip perjuangannya demi mengejar kuasa.

''UMNO dominan dalam BN, malahan berbanding parti komponen lain UMNO jauh lebih kukuh dan sedang memperbaiki kelemahan berikutan apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu.

''Tetapi bagaimana dengan Pas? Pas tidak berbuat apa-apa selain terus teruja hendak merebut kuasa dan apa pun yang Pas rancang sekarang bukannya memperbaiki kelemahan parti tetapi semata-mata hendak nampak serasi dengan PKR dan DAP,'' kata salah seorang daripada pemimpin muda Pas berkenaan.

Sememangnya pemimpin-pemimpin Pas boleh berhujah apa sahaja bagi menghalalkan tindakan mereka menuju matlamat negara berkebajikan dan ia mungkin akan diterima oleh pengikut-pengikut tegar mereka.

Namun bagi rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu yang boleh berfikir dan membuat penilaian mereka sudah pasti mengetahui betapa hebatnya Pas berusaha untuk mengejar kuasa sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya termasuk perjuangan Islamnya.

Apa yang lebih malang dalam keghairahan itu Pas terlupa bahawa mereka bukanlah parti utama di dalam pembangkang tetapi dulu, kini dan selamanya akan hanya menjadi pak turut kepada PKR dan DAP.

Berdasarkan hakikat itu kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa, ''Sekarang Pas sudah sampai titik sama dengan dengan UMNO. Kita akan potong dan lintas dia.'' - hanyalah impian semata-mata.

Oleh : ZULKIFLEE BAKAR

Suara Politik
Taminsari

Selasa, Jun 14, 2011

HUDUD Hanyalah Senjata Politik Pas!

Bagi orang-orang Melayu amat sukar untuk membezakan antara UMNO dan PAS, kalau PAS mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, UMNO juga boleh mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, demikian juga kalau PAS mendakwa ianya memperjuangkan Islam, UMNO juga mendakwa ianya memperjuangkan Islam, bahkan dalam Perlembagaan UMNO sendiri tertulis dengan jelas matlamat Islam dalam perjuangannya.

Oleh itu untuk menunjukkan yang PAS itu lebih Islam dari UMNO, maka PAS telah membangkitkan hukum hudud yang belum lagi dibangkitkan oleh UMNO dan menggunakan hukum itu sebagai isu politik, supaya dengan demikian penonjolan Islam yang ada pada PAS itu dapat menenggelamkan Islam yang ada pada UMNO.

Isu-isu lain seperti mengkafirkan UMNO, UMNO parti asabiah, UMNO mengasingkan agama daripada politik dan sebagainya dianggap sudah lapok sukar untuk dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi. Justeru itu semasa kempen Pilihanraya Umum 1990, PAS telah membesar-besarkan isu hudud dan berjanji kepada rakyat, khasnya di Kelantan sekiranya parti itu berkuasa mereka akan melaksanakan hukum tersebut.

Setelah PAS berjaya memerintah Negeri Kelantan, maka janji yang dibuat oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu hanya tinggal janji, kerana sebelum itu tidak ada apa-apa persediaan yang dibuat bagi melaksanakan hukum tersebut. Tetapi apabila Pilihanraya Umum yang baru heboh diperkatakan yang ianya akan diadakan tidak lama lagi, maka mahu tak mahu janji itu harus diselesaikan walau dengan apa cara sekalipun. Kalau tidak ianya akan mengancam kedudukan parti yang membuat janji itu.

Justeru itu dalam tempoh yang singkat, secara tiba-tiba pada 24 dan 25hb November 1993, maka bergemalah suara-suara yang lantang dan bersemangat di Dewan Undangan Negeri Kelantan, menandakan lahirnya hukum Hudud untuk dilaksanakan di negeri itu.
Oleh kerana hudud itu sudah dan diluluskan berdasarkan kepentingan politik dan bukan berdasarkan kebenaran serta perancangan yang rapi dan menyeluruh, maka banyaklah kelemahan dan kelonggaran yang tidak mencerminkan Hudud Islam tetapi lebih mencerminkan Hudud PAS.

Antara kelemahan-kelemahan dan kelonggaran yang terdapat dalam Hudud PAS itu menurut mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana hukum tersebut tidak dibuat melalui proses mengikut kehendak dan amalan dalam Islam, iaitu berdasarkan akidah feqah yang syaamil.

Kajiannya amat terhad tidak boleh ditafsirkan sebagai selari dengan kaedah feqah untuk mencapai muslihat ummah. Undang-undang itu juga hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam dikenakan mengikut Undang-undang Jenayah Biasa, perbezaan antara kedua-duanya amat ketara, tidak mencerminkan keadilan dalam apa jua sistem nilai dan agama. Justeru itu maka Hukum Hudud yang ditaja oleh PAS itu terpaksa ditolak dan dikaji semula.

Walaupun hukum itu ditolak, tetapi bagi pemimpin dan ahli-ahli PAS bukanlah merupakan masalah pokok yang perlu dikesali, yang penting mereka dapat melepaskan diri daripada ikatan janjinya terhadap rakyat Kelantan, kalau tidak janji itu akan mengancam kedudukan mereka dalam pilihanraya yang akan datang, sekarang mereka telah terselamat dari ancaman itu bahkan mereka juga telah mendapat modal baru untuk memancing undi dan modal itu sekarang telahpun kedengaran di sana-sini terkeluar dari lidah-lidah PAS yang panas dan membakar, kononnya UMNO menentang Hukum Hudud, UMNO membuat tipu helah untuk melaksanakan hukum hudud, UMNO menggunakan ulamak ala Amerika untuk menolak Hukum Hudud dan bermacam-macam tuduhan lagi dibuat.

Walau apa pun diperkatakan, UMNO tetap berpegang kepada aqidah dan kepercayaan bahawa Hukum Hudud itu adalah Hukum Allah yang jelas termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, ianya tidak boleh ditolak dan diingkari kebenaran dan kesempurnaannya, sesiapa yang menolak dan mengingkarinya boleh membawa kepada kekufuran dan kepada sesiapa yang menuduh orang lain menolak dan mengingkari Hukum Hudud itu seperti juga ia menuduh orang lain kafir, sekiranya tuduhan itu tidak benar maka tuduhan itu kembali kepada orang yang menuduh itu sendiri.

Ini berdasarkan Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abu Zar dalam Kitab Sahih Imam Bukhari dan Sahih Imam Muslim yang bermaksud;

" Barangsiapa yang menuduh fasik dan kafir, terhadap seseorang yang lain, maka ia sendiri akan menjadi fasik atau kafir, jika tuduhan itu tidak benar ".

Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.

UMNO tetap berpegang kepada prinsip perjuangannya dalam menegak dan mengembangkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Dan undang-undang Hudud itu sebahagian kecil dari undang-undang Jenayah Islam yang sangat luas. Seperti apa yang telah dikatakan oleh Ustaz Abdul Hadi, “ Hukum Hudud itu adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam”.

UMNO juga tidak akan mencemarkan Hukum Hudud yang lebih sempurna dan agung itu di mata orang-orang bukan Islam lantaran kepentingan politik, sedangkan kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakannya belum lagi mengizinkan. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Jun 13, 2011

Hudud Ala-PAS!

Beliau menggelarkan dirinya sebagai Ulama. Orang ramai menggelarnya Tok Guru. PAS pula mengakui beliau sebagai Tok Guru dan Ulama. Sudah berabad Tok Guru menjadi Menteri Besar Kelantan.

Sebagai Menteri Besar, beliau tidak dapat lari daripada bertindak secara politik dan mentadbir negeri ikut selera dan keupayaan sendiri.

Sebenarnya banyak rahsia pembohongan yang sengaja diputar belitkan oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, baik dari segi tutur kata, tindak-tanduk, pandangan dan pendapat yang secara terang-terangan tidak mencerminkan keperibadiannya sebagai "Ulama dan Tok Guru", yang menjadi idola kepada perjuangan menegakkan sebuah pemerintah Islam di Malaysia.

Dalam manifesto pilihan raya umum 1990, PAS berikrar akan melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan jika memerintah Negeri Kelantan. (Manifesto Pilihan Raya PAS bertajuk Program PAS Negeri Kelantan 1990)

"Hendak melaksanakan hukum hudud di negeri ini hanya boleh dibuat jika mendapat perhatian dan kerjasama daripada semua pihak." (Utusan Malaysia, 11 Februari 1998)

Sehingga kini, walau apapun alasan, hakikatnya PAS belum tertunaikan janjinya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Berabad lamanya. Dulunya Kerajaan PAS membayar RM250,000 untuk membuat draf tapi tak boleh laksanakannya kerana belum memenuhi syarat minimum.

Kerajaan PAS tidak mempunyai kemampuan dan tenaga pakar perundangan yang mencukupi. Hakim Syarie yang ada sekarang pun tidak mampu menepati 15 syarat yang perlu sebelum boleh membicarakan kes-kes Hudud ala-PAS, bukan Hudud Allah.

PAS tak boleh pinda hukum hudud asal mengikut seleranya sendiri. Kerana tidak mampu, Nik Aziz mula menuduh orang lain, mula-mula beliau tuduh Sultan Kelantan tidak tandatangan sebagai tanda persetujuan, kemudiannya diugut Perdana Menteri pula. Akhirnya menuduh pula Islam Melayu, UMNO. Apa dah jadi dengan Tok Guru ini yang hanya mencari "skapegoat" supaya tuduhan diletak keatas bahu orang lain bertujuan menyuci tangan yang penuh dengan najis.

Pendedahan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bahawa Sultan Kelantan telah menandatangani pindaan hukum hudud jelas menunjukkan bahawa PAS bukan sahaja berbohong malah apa yang tersirat sebenarnya ialah mereka hanya menjadikan "hudud" sebagai propaganda politik - agar PAS dilihat sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam.

Selain itu, "hudud" juga dijadikan umpan oleh PAS - umpan untuk pancing undi, umpan untuk mendapat kuasa lagi dan umpan supaya dengan kuasa itu, mereka boleh hidup mewah dan mengaut kekayaan negeri Kelantan.

"Sejarah hidup" PAS selama ini memang sering berdolak-dalik dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan Islam. Oleh sebab kononnya "baju" mereka adalah "baju Islam", maka hanya mereka sahaja yang layak untuk berkata tentang Islam - dan apa sahaja yang keluar dari mulut pemimpin mereka semuanya adalah "fatwa" yang boleh dipercayai.

Sikap totok kepada perjuangan yang walaupun songsang ini, membuatkan sebilangan penyokong PAS ditipu bulat-bulat tanpa kompromi! Jika bukan kerana pendedahan Ku Li, mungkin ramai yang mempercayai dakwaan pemimpin PAS bahawa tidak adanya perkenan dari Sultan Kelantan adalah antara penyebab kenapa hudud masih belum terlaksana di Kelantan.

Apalagi iktibar yang boleh didapati dari pendedahan ini selain dari pembuktian bahawa PAS memang tidak bersedia dengan pelaksanaan hukum hudud! Ini semua hanyalah omongan dan nawaitu tidak ikhlas pemimpin PAS untuk menunjukkan kehebatan tidak bertempat kepada rakyat - setelah mabuk kuasa!

Lebih menghairankan, PAS yang mendakwa mereka tidak pernah membazir telah menggunakan dana sejumlah lebih RM200,000 wang rakyat, diperuntukkan kepada sebuah syarikat guaman, semata-mata untuk membuat undang-undang yang masih belum terlaksana ini!

Dan lebih menghairankan lagi dalam muktamar PAS baru-baru ini sudah tidak ada cita-cita bagi PAS untuk penubuhan sebuah negara Islam yang diwar-warkan sebelum ini. Yang ada hanyalah negara BERKEBAJIKAN ala-PAS yang mana telah dipelupori oleh kerajaan BN selama lebih 50 tahun dahulu sehinggalah sekarang!



Suara Politik
Taminsari

Jumaat, Jun 10, 2011

" Fatwa " Nik Aziz sebelum ini adalah pembohongan terbesar!

Menuduh UMNO mempunyai unsur kafir adalah keterlaluan dan ia berpunca daripada sikap taksub dengan andaian kononnya UMNO memperjuangkan kemuliaan islam dan nasib orang Melayu menolak Al-Quran dan Hadis.

Fatwa ini boleh dianggap sebagai satu kesinambungan fatwa kafir-mengkafir yang belum selesai akibat sikap pemimpin PAS yang enggan mengakui bahawa fatwa itu salah. Mereka takut partinya hilang kredibiliti di kala PAS mahu mempercayai ia berada di ambang kuasa.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula pernah mendakwa bahawa UMNO mempunyai unsur kafir kerana menolak Islam, menolak Al-Quran dan Hadis dan ia diyakini akan mencetuskan gelombang krisis akidah yang lebih besar dan tidak mengelirukan. Adakah beliau bermaksud UMNO menolak Al-Quran secara total atau UMNO hanya tidak melaksanakan bahagian-bahagian tertentu sahaja dalam Al-Quran.

UMNO hanya boleh dikatakan kafir kalau menolak Al-Quran secara total, hadis mutawatir dan Islam. Tetapi kalau tidak melaksanakan bahagian-bahagian tertentu dalam Al-Quran atau hadis yang mutawatir, Nik Aziz tidak boleh menfatwakan UMNO sebagai kafir.

Dan kalau apa yang dimaksudkan oleh Nik Aziz di sebalik kata-kata: ‘Menggunakan peraturan lain sebagai undang-undang negara’ ialah tidak melaksanakan hukum Hudud, UMNO sebenarnyatidak pernah menentang Hudud dan telah beberapa kali menjelaskan sejajar dengan apa yang dibolehkan oleh hukum Islam.

Sesungguhnya UMNO tidak pernah menolak Islam, Al-Quran dan Hadis mutawatir yang boleh menjatuhkannya sebagai kafir dan sentiasa menjunjung dan mendaulatkannya untuk kesempurnaan kehidupan rakyat sesama Islam di dunia dan akhirat.

Tuduhan Nik Aziz itu amat berat di sisi agama, amat menyedihkan, meremukkan hati umat Melayu dan mengelirukan umat Islam. Tuduhan yang akan dianggap oleh pengikut PAS sebagai fatwa akan meluaskan lagi rekah pengikut PAS dengan pengikut UMNO dan sekaligus menjurus kepada persoalan keikhlasan pemimpin PAS, yang sebagai seorang insan Muslim yang sepatutnya berdakwah dan bukannya menghukum orang lain kafir.

Nik Aziz tidak perlu berselindung di sebalik kata-kata, ‘UMNO mempunyai unsur kafir’ untuk mengelirukan ahli PAS yang akan menerimanya sebagai fatwa baru bahawa UMNO kafir. Kalau benar beliau menyebut bahawa UMNO menolak Al-Quran dan beerti kafir, ia adalah satu pembohongan dan dusta yang teramat besar.

Jika para pemimpin PAS tidak membetulkan kesalahan ‘fatwa’ Nik Aziz ini, jika disalah tafsir oleh para pengikut PAS dan jika disalah lafaz kepada ahli UMNO oleh golongan fanatik PAS, adalah dibimbangi kekafiran itu akan kembali kepada mereka.

Dan tidakkah Nik Aziz sedar dengan kedudukannya yang dikenali sebagai ulamak, Menteri Besar dan Mursyidul Am yang lebih tinggi daripada Presiden PAS, fatwa songsangnya boleh merosakkan akidah pengikutnya sendiri?

Mungkin benar pendapat yang mengatakan terdapat unsur khawarij dalam PAS kerana parti itu dengan senang menuduh UMNO kafir semata-mata tidak sealiran dengannya walaupun matlamat perjuangan sama.

Justeru Nik Aziz tidak boleh lari daripada tanggungjawab jika umat Islam berpecah, rosak akidah dan kuasa politik Melayu hancur. Dan beliau juga tidak boleh menganggap tohmahan itu sebagai ‘cakap-cakap politik' sahaja apabila tersepit nanti.








Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Khamis, Jun 09, 2011

DAP dicabar perjuangkan Sekolah Malaysia!



















Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan dicabar memperjuangkan 'Sekolah Malaysia' jika benar beliau ikhlas menolak politik perkauman, kerana sikap negatif itu berpunca daripada sistem pendidikan vernakular di negara ini.

Sambil menyifatkan tindakan Hannah yang mahu mendaftarkan keturunan bayinya sebagai 'Anak Malaysia' tidak lebih demi matlamat politik murahan, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, DAP mesti menyahut cabaran beliau itu.

Katanya, cubaan ADUN Subang Jaya itu jelas membuktikan pemimpin DAP adalah hipokrit, kerana mereka lebih mementing isu remeh berbanding persoalan pokok, iaitu sistem pendidikan yang menjadi punca utama mengapa jurang perkauman kian melebar.

"Mereka ini hipokrit besar, sama macam perangai Anwar Ibrahim. Kalau benar ikhlas mahu mengecilkan jurang perkauman mengapa tidak memperjuangkan penubuhan 'Sekolah Malaysia? Mengapa pemimpin DAP sanggup pertahankan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina?

"Saya cabar Hannah dan mana-mana pemimpin DAP supaya perjuangkan 'Sekolah Malaysia' kerana masalah perkauman di negara ini punca utamanya kerana sistem vernakular," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Hannah bahawa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara tidak membenarkan beliau dan suami, R. Muniandy mendaftarkan bangsa bayi mereka, Shay Adora Ram, yang berusia enam hari sebagai 'Anak Malaysia'.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam berkata, beliau percaya tiada seorang pun pemimpin DAP akan berani menyahut cabaran tersebut kerana selaku parti paling cauvinis, DAP tidak akan berganjak daripada memperjuangkan penubuhan sebanyak mungkin sekolah jenis kebangsaan Cina.

"Itu asas penubuhan DAP, mereka tidak akan lari dari perjuangan tersebut. Tidak seperti Pas yang berganjak dari asas penubuhan parti itu iaitu menubuhkan negara Islam dan menggantikan pula dengan negara berkebajikan," jelasnya.

Ada berani ka DAP?

Suara politik
Taminsari..

Selasa, Jun 07, 2011

Pok Nik gembira Mat Sabu, ayam laga belaan PAS menang!
























Mohd Sabu dikenali ramai sebagai salah seorang yang begitu meminati dan mengkagumi perjuangan Hizbullah di Lubnan dan revolusi Islam Iran sejak dari dulu lagi. Minat, sokongan dan kecenderungan beliau diterjemahkan dengan kerapnya beliau berkunjung ke Lubnan dan Tehran dan seringkali menggunakan contoh perjuangan mereka di dalam ceramahnya.

Namun sedarkah bahawa minat, sokongan dan kecenderungan beliau telah mula bertukar kepada pegangan agama dan aqidah? Tanyalah beliau tentang aqidah ataupun amalan orang Syiah, nescaya beliau akan dapat menghuraikannya dengan panjang lebar dan begitu terperinci. Tanyalah orang-orang syiah di Malaysia nescaya mereka akan menganggap Mohd Sabu adalah sebahagian daripada mereka.

Mungkin atas sebab itulah jarang dilihat beliau solat jamaah bersama-sama. Malah diakui oleh pimpinan peringkat tertinggi bahawa mereka juga tidak pernah melihat beliau solat jamaah bersama (walaupun diimamkan oleh Tn Guru Hj Hadi). Dan yang lebih malang sekali, beliau telah mula menyebarkan fahaman syiah kedalam parti PAS, terutamanya ke atas golongan pemuda. Pernah dilaporkan apabila beliau membawa petugas-petugas Kuala Kedah melawat Thailand, mereka telah berhenti solat dimasjid-masjid yang dikenali ramai sebagai masjid orang syiah di sana.

Mungkin ada yang masih ingat beberapa siri demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dan Wisma Denmark sewaktu ketika dahulu. Ingatkah, ada satu golongan syiah yang datang membawa sepanduk dan poster besar Imam Khomeini/Khameini sambil membaca selawat cara Iran dengan lahjah Iran. Dan tahukah bahawa semua itu ditaja oleh Mohd Sabu dan di dalam kelompok tersebut juga terdapat beberapa pemuda PAS daripada Kuala Kedah!

Bukan setakat itu sahaja, malah ahli-ahli perhubungan negeri P.Pinang dan kebanyakan jawatankuasa kawasan di Pulau Pinang juga telah mula diresapi pengaruh syiah. Mereka cukup kagum dengan Mohd Sabu dan syiahnya.

Secara nyata Mohd Sabu telah menggunakan pengaruh dan jawatannya untuk mengembangkan ajaran dan pegangan syiah dikalangan ahli PAS. Sebab itulah tidak hairan kenapa beliau kerap berkunjung ke Lubnan dan Tehran dan seringkali beliau membawa ahli-ahli dan pemuda bersama-samanya. (Kadangkala ahli tertanya-tanya daripada mana mereka memperolehi wang yang banyak untuk kerap berkunjung ketempat tersebut.)

Dan seringkali juga beliau menolak dan mengelak untuk melawat ke Lubnan dan Tehran bersama-sama pimpinan PAS yang lain, kerana mungkin dikhuatiri tembelangnya akan pecah. Suasana ini bukan lagi menjadi rahsia kepada ahli dan pimpinan PAS yang lain. Tidak dapat dinafikan bahawa beliau adalah 'crowd puller' bagi PAS. Ceramah beliau seringkali mendapat sambutan orang ramai, baik ahli PAS mahupun UMNO. Tetapi seringkali juga ceramah beliau menjadi fitnah kepada PAS.

Umum mengetahui, beliau sentiasa nampak hebat dengan gaya bahasa yang kasar dan kesat, kadangkala mencarut dan selalunya mencerca dan memaki pihak lawan sesuka hati. Ramai orang suka (terutamanya ahli PAS) tetapi terlebih ramai yang benci dan meluat (terutamanya dikalangan orang awam dan ahli UMNO). Sebab itulah beliau dilarang berceramah di kebanyakkan tempat yang menjadi kubu kuat UMNO termasuk di dalam beberapa pilihanraya kecil kerana dikhuatiri menjadi fitnah kepada parti dan ramai orang akan lari dari mengundi pembangkang.

Ceramah beliau bukan membawa kepada kesedaran Wai Islam ataupun pembentukan Syakhsiyah Islamiyah tetapi hanya menyemai dan menyubur perasaan benci dan marah kepada mereka-mereka yang sepatutnya menjadi madu kepada PAS.

Kalau hendak mencungkil dan mendedahkan segala cela keperibadian Mohd Sabu, dikhuatiri akan memalukan dan mengaibkan pimpinan jemaah PAS. Cukuplah mengingati kembali peristiwa khalwat beliau sewaktu menjadi ahli Parlimen di Kelantan. Kes tersebut walaupun dibuang oleh Mahkamah Syariah atas sebab-sebab teknikal dan semua orang tahu tentang kebenarannya. Kalau tidak masakan Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Fadhil Nor memarahi beliau dan berkata 'pasai apa nak pi cari penyakit'dengan membenarkan perempuan bukan muhrim memasuki bilik hotel beliau?

Beliau seringkali menyarankan jemaah PAS didalam ceramahnya supaya sentiasa hidup sederhana. Tetapi sayangnya beliau sendiri tidak dapat melakukan apa yang disarankannya sendiri. Mungkin boleh bertanyakan beliau tentang rumah banglo di Bukit Merah, sebuah kereta Naza Ria dan sebuah kereta Perdana apakah ini corak hidup sederhana yang dimaksudkan?

Dalam keadaan beliau tidak ada pendapatan tetap, bagaimana mungkin beliau dapat memperolehi kesemuanya itu? Bayangkanlah kehidupan sederhana yang bagaimana beliau akan zahirkan sekiranya PAS memerintah dan beliau adalah salah seorang daripada Menteri Kabinet?? Patutlah beliau menyamakan pimpinan PAS dangan UMNO kerana rupa-rupanya pimpinan PAS yang beliau maksudkan itu adalah diri beliau sendiri!

Adalah menjadi prinsip amalan bagi pimpinan untuk melaksanakan konsep kerahsiaan dan keterbukaan dalam gerak kerja harakah. Ada perkara-perkara yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan umum mahupun ahli parti atas dasar maslahat umum terutamanya hal-hal berkaitan penyusunan dan perancangan. Namun konsep ini seolah-oleh tidak dimengerti oleh Mohd Sabu. Jika tidak masakan maklumat rahsia Parti boleh bocor ke tangan pihak ke tiga.

Beberapa kali dilaporkan orang syiah P.Pinang terlebih dahulu tahu mengenai beberapa keputusan di peringkat pimpinan daripada ahli parti sendiri! Sedarlah bahawa suasana ini amat merbahaya dan menjadi ancaman kepada parti dan gerakan Islam keseluruhannya. Ini menunjukkan wujudnya di dalam barisan saf pimpinan Parti Islam Semalaysia (PAS/PIS) dipengaruhi oleh Syiah, termasuk juga barisan Pemuda di dalam Parti tersebut. Cacian ke atas para sahabat Nabi s.a.w. dilakukan dalam majlis-majlis tertutup mereka.

Sedia umum tahu, apabila ada usaha dari umat Islam untuk diadakan muzakarah bersama untuk menyelesaikan isu Islam, politik dan perkara-perkara untuk penyatuan umat Islam, para pimpinan dan barisan pemuda PAS telah memberi berbagai pandangan dan alasan supaya pertemuan tidak dapat direalisasikan.

Kenapa? Adakah ia di ibaratkan pertembungan diantara fahaman Syiah dan Ahl Al-Sunnah Waljamaah yang sudah tentu puak-puak yang berfahaman Syiah dalam PAS mencuba mengelak sedaya-upaya untuk belakunya muzakarah. Mereka juga mengatakan Islam itu PAS, PAS itu lebih Islam. Fahaman yang di serapkan kedalam permikiran jamaah PAS umpama seperti puak-puak berfahaman Syiah yang mengatakan Al-Quran yang ada sekarang ini tidak tepat berbandingkan dengan kitab-kitab Syiah?

Ketika ditanya kepada salah seorang pemimpin SYIAH di Iran (Misbah al-Yazdi) mengapa kerajaan Iran melarang Ahl al-Sunnah dari membina masjid di Tehran, katanya : "Kami membenarkan pembinaan masjid di Tehran jika dibenarkan pembinaan Husainiyah (tempat ibadat penganut Syi'ah) di Mekah." Kerana itu kerajaan SYIAH Iran melarang para ulama Ahl al-Sunnah dari mengajar di masjid-masjid (walau yang kecil), sekolah-sekolah dan universiti-universiti.

Sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawasanya ketika kebangkitan revolusi Iran, golongan Ahl al-Sunnah merupakan antara yang membantu kebangkitan tersebut kerana mereka ketika itu beranggapan bahawasanya pemerintahan yang hendak ditegakkan oleh Khomeini adalah lebih baik dari pemerintahan Syah Iran. Akan tetapi yang jelas berlaku hari ini adalah sebaliknya. Inilah hasil daripada sangka baik yang diamalkan oleh golongan Ahl al-Sunnah yang tidak mengetahui hakikat ajaran SYIAH.

Tindak-tanduk keperibadian sikap dan cara yang diamalkan puak-puak golongan fanatik PAS banyak dipengaruhi oleh sikap-sikap penganut Syiah. Perhatikan gerak-geri mereka jika berjaya memerintah negeri. Perkara yang akan diutamakan adalah mengambil-alih pentadbiran Masjid, Surau, SAR, Dewan orang ramai dan sebagainya? Kenapa? adakah mereka tergolong dari mereka-mereka yang berfahaman Syiah? Mengapa kepentingan institusi dan umat Islam diporak-perandakan oleh puak-puak golongan PAS?

Adakah amalan ibadat, aqidah orang Islam umumnya tidak setanding dengan orang-orang PAS? Berapa banyak masjid yang telah dibina oleh PAS untuk menegakkan syiar Islam? Adakah sumber tidak mencukupi setelah berpuluh-puluh tahun? Ini boleh diertikan apabila berbalik kepada isu masjid di Iran diatas. Sejarah telah berlaku dengan adanya sembahyang dua imam, sembelihan dan bermacam-macam unsur Syiah yang membawa kepada wujudnya fatwa-fatwa songsang.

Adakah ini cara Ahl Al-Sunnah Waljamaah yang berpandukan Al-Quran dan Sunaah atau fahaman Syiah yang telah meresapi pemikiran, fahaman kebanyakan orang-orang PAS? Nik Aziz juga memberi seribu alasan dan menganggap UMNO sebagai musuh sudah sekian lamanya. Adakah Nik Aziz juga menyokong perjuangan Syiah sepertimana Mat Sabu yang disayanginya?

Tuan Guru Haji Hadi juga turut menolak telah berlaku dua golongan dalam PAS di Terengganu sehingga menjadikan pilihan raya kecil disana sebagai medan untuk menguji kekuasaan masing-masing.

"Itu hanya andaian musuh, oleh kerana musuh dalam keadaan kelam kabut sekarang, jadi pandai-pandailah dia mengadakan sesuatu pada parti lawan, itu memang dah jadi kaedah manusia.

Biarlah lawan nak kata PAS sampai ada dua tiga kumpulan pun namun yang penting kita akan berdepan dengan senang hati," ujarnya.

Siapakah dua golongan yang dimaksudkan itu? Erdogan? Sunah Wal-Jamaah atau SYIAH?Kebanyakan mereka ini berselindung di sebalik jemaah Ahl Al-Sunnah Waljamaah supaya fahaman mereka tidak dihidu dan di cop berfahaman Syiah dimana PAS telah mendidik ahli-ahli mereka supaya menyimpan rahsia. Sebab itulah keburukan dan kesilapan mengenai mereka tidak diumumkan secara terperinci melalui Harakah dan media sealiran dengan mereka.

Kepada bangsa Melayu yang beragama Islam, jemaah Ahl Al-Sunnah Waljamaah, mulalah untuk menentang kebatilan, kepalsuan dan penipuan yang dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Jangan lupa bahawa musuh sebenar umat Islam telah berada didepan mata, cuma ramai yang tidak melihatnya.

Fokus adalah untuk membela dan memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara yang tidak mungkin diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat yang tak tentu arah ini dan selamatkan umat Islam dari di keliru dengan fahaman yang telah dibawa oleh Penganut Ajaran Sesat/Syiah (PAS) ini supaya Islam di muka bumi Malaysia ini terpelihara hendaknya.

Selamat berjuang... Semoga Allah SWT selamatkan umat Islam di Malaysia. InsyaAllah.

Suara Politik
Taminsari

Apabila Kumpulan Erdogan Menguasai Kepimpinan PAS!

Menang sorak kampung tergadai’, ‘Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ dan bersedialah untuk melupakan kepimpinan ulama serta perjuangan negara Islam.’’

Mungkin itulah yang boleh dikatakan kepada kumpulan pro ulama apabila muktamar tahunan parti itu berakhir hari ini. Keputusan pemilihan yang diumumkan semalam menyaksikan golongan pro ulama bakal menjadi pengikut sahaja kepada golongan profesional yang menguasai sebahagian besar jawatan yang dipertandingkan.

Ulama turut kehilangan kerusi Timbalan Presiden yang dikuasai sejak tahun 1981 dan tidak mempunyai seorang pun wakil bagi kerusi Naib Presiden manakala bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas pusat hanya ada lapan sahaja wakil mereka di dalamnya berbanding 18 kerusi yang dipertandingkan.

Walaupun ketika Muktamar Pemuda di Shah Alam pada Khamis lalu memastikan golongan ulama terus menguasai Dewan tersebut tetapi arus tersebut tidak sampai ke muktamar induk di Gombak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan seorang ulama kini harus bersedia menghadapi cabaran daripada golongan profesional yang sudah tentulah mempunyai suara majoriti bagi menentukan hala tuju politik parti itu. Biar pun ada yang mengatakan Pas mempunyai Majlis Syura yang boleh memberikan kata putus tetapi kewujudan majlis tersebut buat masa ini ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ sahaja.

Jika Majlis Syura benar-benar berfungsi sudah pastilah tidak wujud perebutan jawatan dalam parti tersebut. Bagaimana pula dengan keputusan majlis berkenaan yang merestui perbincangan kerajaan perpaduan diadakan tetapi akhirnya ditentang oleh sesetengah pemimpin Pas sendiri?

Sebenarnya, arus perubahan yang berlaku di dalam Pas juga didorong oleh ucapan dasar Abdul Hadi yang begitu bersemangat menghentam UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta begitu teruja menguasai Putrajaya bersama-sama pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Akibat keghairahan tersebut Abdul Hadi terlepas pandang bahawa ucapannya boleh menimbulkan semangat kepada kelompok pro profesional untuk menguasai parti itu. Tindakan Abdul Hadi yang bercakap soal membangunkan negara berkebajikan dilihat meletakkan pemimpin daripada golongan ulama tidak diperlukan lagi kerana Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam.

Malahan keterujaan Abdul Hadi mahu Pas menjadi sebuah parti yang cukup kuat bagi menghadapi pilihan raya umum turut mempengaruhi perwakilan untuk memastikan golongan profesional memikul tanggungjawab itu.

Lemah

Sebelum ini ulama-ulama di dalam Pas telah digambarkan sebagai kelompok yang lemah dan tidak bermaya untuk berhadapan dengan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh itu bagi memastikan impian Abdul Hadi tercapai maka beliau diberikan satu barisan kepimpinan yang kononnya paling sesuai untuk melaksanakan perjuangan tersebut. Ia bermakna selepas ini golongan ulama tidak akan mempunyai apa-apa kuasa atau peranan lagi selain hanya menurut sahaja apa juga strategi yang disusun oleh golongan profesional.

Jika dalam ucapannya Abdul Hadi menganggap ulama yang menyebelahi UMNO tidak mampu menterjemah kefahaman Islam mengenai politik semasa, bagaimana pula dengan ulama Pas? Apakah mereka benar-benar memahami politik sehingga tidak mampu berkompromi sesama mereka bagi memastikan undi tidak pecah dan orang lain mengaut keuntungan? Sebenarnya Pas yang gagal mendidik ulamanya untuk memahami politik semasa sehinggakan kesempatan itu diambil oleh golongan profesional mengatur strategi bagi memperluaskan penguasaan mereka.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden kerana gagal memainkan peranan menasihatkan anak saudaranya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menarik diri bagi mengelak undi ulama berpecah. Semua orang tahu bagaimana hubungannya dengan penyandang jawatan tersebut, Nasharudin Mat Isa.

Nik Abdul Aziz tidak menyukai Nasharudin yang dikaitkan dengan usaha menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO biarpun ia demi perpaduan Melayu dan umat Islam. Sebab itulah pada 20 Mei lalu, Nik Abdul Aziz mengakui bahawa beliau sudah mempunyai calon pilihan bagi jawatan Timbalan Presiden. Walaupun enggan menyebut nama calon itu tetapi semua orang pasti bahawa calon tersebut bukannya Nasharudin.

Beliau juga sudah tentu tidak merujuk kepada Mohamad Sabu yang dipertahannya habis-habisan apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah tersebut didakwa atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Kota Bharu suatu ketika dulu. Ia kerana Nik Abdul Aziz berpesan kepada perwakilan supaya ‘‘mengambil kira orang yang dipilih layak memimpin umat Islam dengan tingkah laku dan kata-kata.’’

Sebagai seorang yang pernah berkata bahawa seseorang pemimpin itu hanya boleh ditukar atau digantikan jika melanggar hukum syarak dan melakukan dosa besar, Nik Abdul Aziz boleh memainkan peranan menasihatkan Tuan Ibrahim menarik diri. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak mahu berbuat demikian kerana yakin perwakilan akan memahami isyarat yang beliau berikan, kesudahannya golongan ulama berputih mata berikutan kekalahan Nasharudin dan Tuan Ibrahim.

Sandiwara

Seperkara lagi walaupun ada pemimpin Pas menafikan dakwaan bahawa calon-calon yang menang rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kenyataan itu boleh dianggap sandiwara sahaja. Ini kerana ada antara mereka yang dipilih mempunyai cara dan corak berpolitik seperti Anwar dan boleh dikategorikan sebagai ‘political animal’. Malah mereka juga sanggup membela Anwar bermati-matian dan turun naik ke mahkamah demi menyokong Anwar.

Dan berdasarkan kepada barisan yang terpilih jelaslah harapan untuk melihat Pas tidak lagi akan menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP sudah berkubur. Apatah lagi, Abdul Hadi sendiri dalam ucapan dasarnya begitu mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan dan menganggap seolah-olah Malaysia akan menjadi negara terbaik di muka bumi Allah ini kalau pembangkang memerintah.

Jika dikaji seorang demi seorang pemimpin-pemimpin yang terpilih mereka tidak boleh menafikan sebahagian besar mereka bukan sahaja rapat dengan Anwar malah sentiasa sahaja bersama-sama menyokong agenda politik PKR dan DAP. Lebih daripada itu, ada antaranya tidak membawa akhlak sebagai pemimpin dari sebuah parti Islam tetapi tetap dipilih oleh perwakilan atau sebelum ini dicalonkan di peringkat akar umbi.

Semua itu berlaku kerana Pas semakin terhakis jati dirinya dan ini diakui sendiri oleh beberapa penyokong Pas yang menghubungi penulis sebaik sahaja keputusan pemilihan diketahui. ‘‘Inilah akibat jika pemimpin dan ahli Pas berkawan rapat dengan Anwar, PKR dan DAP. Sebahagian mereka sudah ‘mewarisi’ corak politik pemimpin dan kelompok tersebut serta meninggalkan jati diri Pas,’’ kata seorang pemimpin muda kepada penulis.

Justeru kita tidak perlu mengharapkan bahawa Pas selepas ini akan bertindak sebagai sebuah parti yang berpolitik secara berhemah seperti mana diamalkan oleh golongan ulama sebelum ini. Sebaliknya akan berhadapan dengan sekumpulan pemimpin yang akan ‘memusuhi’ BN dan UMNO habis-habisan serta mengalakkan rakyat turun ke jalanan kononnya bagi memperjuangkan demokrasi.

Apa yang mengecewakan pemimpin dan ahli Pas sengaja menolak peringatan Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr.Harun Taib supaya kepimpinan Pas tidak menghilangkan identiti serta jati diri Islam yang dijunjung sekian lama hanya kerana terlalu ingin merai kehendak pihak tertentu terutamanya rakan komponen dalam pakatan pembangkang.

Tetapi peringatan itu bagai menjirus air ke daun keladi, impian ke Putrajaya yang diuar-uarkan oleh Anwar sudah mempengaruhi nafsu politik sebahagian ahli-ahli Pas sehingga mereka melihat kalau Pas tidak mengukuhkan kerjasama dengan PKR dan DAP maka impian mereka tidak akan tercapai.

Kesudahannya mereka memilih pemimpin-pemimpin yang dilihat benar-benar komited untuk mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan, biar pun selama ini Pas dilihat hanya menjadi ‘pak turut’ dan ‘kuda tunggangan’ sahaja.

Malahan Abdul Hadi sendiri sudah diramalkan selepas ini tidak akan mempunyai ‘kekuatan lagi’ bagi menghalang ombak penguasaan politik oleh puak-puak yang ‘berkiblatkan’ Anwar di dalam Pas. Segalanya kerana kesilapan Presiden Pas itu sendiri yang sudah seolah-olah sudah memberi restu kepada ‘kehadiran ombak’ itu melalui ucapan dasarnya.-UM.

Suara Politik
Taminsari