Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, Jun 29, 2011
Harapan warga Shah Alam!
UMNO Bahagian Shah Alam bersama lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) serta parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini berharap cadangan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan.
Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Shah Alam, Datuk Nawawi Md. Zin berkata, memorandum berhubung perkara itu, yang merupakan suara hati warga Shah Alam, sudah pun dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya pada 11 Jun lalu.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada kementerian berkenaan dan usaha sedang dilakukan untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam berkata, kunjungan hormat itu disifatkan sebagai penting bagi mendapatkan reaksi awal kerajaan, selain boleh membincangkan cadangan dalam memorandum tersebut.
“Dalam keadaan ekonomi hari ini, UMNO Bahagian membawakan suara hati rakyat di negeri ini bersama pelbagai NGO dan amat berharap kerajaan dapat memenuhi permintaan itu.
“Jika sebelum ini, beberapa kutipan tol sudah ditamatkan dan kami harap tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau juga dapat dimansuhkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 11 Jun lalu, Nawawi menyerahkan memorandum memansuhkan tol tersebut kepada Shaziman bagi dikemukakan untuk pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Ashaari Ibrahim yang mewakili Shaziman selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian tersebut.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari pula berkata, golongan muda sentiasa memberikan sokongan kepada usaha meringankan beban kewangan rakyat termasuk memansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya Persekutuan yang telah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu.
“Dalam keadaan ekonomi sedang mengalami pemulihan, kami merayu agar kerajaan dapat menamatkan operasi kutipan tol di kedua-dua plaza tol tersebut,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Kamaruddin Ahmad berkata, Lebuh raya Persekutuan adalah pintu masuk utama ke Shah Alam dan sewajarnya ia tidak ‘dihiasi’ dengan plaza tol.
“Mengikut perkiraan kita, syarikat konsesi lebuh raya itu sudah berjaya mengutip balik nilai pelaburan mereka bagi membangun dan menaik taraf lebuh raya berkenaan,” katanya.
Sementara itu : Boleh jadi hadiah paling bermakna!
Warga bandar raya ini yang begitu terbeban dengan bayaran tol sama ada untuk ke ibu negara atau Klang menyambut baik usaha UMNO Bahagian Shah Alam yang mencadangkan agar kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau ditamatkan.
Seorang pengguna, Azhari Zain, 40, berkata, sudah sampai masanya kutipan tol di Batu Tiga yang dilaluinya dua hingga tiga kali sehari dimansuhkan bagi meringankan beban rakyat.
"Sudah begitu lama Plaza Tol Batu Tiga beroperasi dan saya yakin syarikat konsesi terbabit sudah mendapat pulangan daripada pelaburan mereka.
"Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mendengar rintihan rakyat di Shah Alam dan Klang yang dihimpit masalah kewangan akibat kenaikan kos hidup," katanya kepada di sini hari ini.
Beliau mengulas penyerahan memorandum oleh UMNO Bahagian Shah Alam kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berhubung cadangan pemansuhan kutipan tol di Lebuh raya Persekutuan.
Seorang peniaga, Shafiz Ahmad, 30, yang melalui Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga untuk urusan kerja di sekitar Lembah Klang berkata, pemansuhan kutipan tol itu membuktikan kerajaan sedia ada sebagai prihatin dan memahami masalah rakyat.
"Diharap Kerajaan Persekutuan dapat berunding dengan Plus Expressway Bhd. sebagai pemegang konsesi demi kebajikan rakyat negeri ini yang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk tol," katanya.
Seorang mekanik, Mohamad Khir, 20, yang bekerja di Shah Alam berkata, tempoh waktu 20 tahun dan jumlah kenderaan yang tinggi pastinya telah membolehkan pelaburan yang dibuat oleh syarikat konsesinya dikutip semula.
"Bagi orang yang berpendapatan tinggi, RM2.20 setiap hari mungkin tidak memberi kesan kepada pendapatan mereka tetapi bagi saya, ia adalah satu jumlah yang agak tinggi.
"Orang ramai di sini juga tidak dapat lari daripada membayar tol kerana hampir semua laluan keluar masuk ke Shah Alam dan Klang ada plaza tol," katanya.
Pengusaha kedai komputer di USJ 3 Subang Jaya, Mohamad Idris Midin, 28, berkata, inisiatif yang diambil oleh UMNO Bahagian Shah Alam untuk mendesak kerajaan menghapuskan kutipan tol tersebut amat dialu-alukan kerana perkara itu memang menjadi perbualan masyarakat di sini.
"Sudah hampir lima tahun saya berulang-alik melalui plaza tol di Lebuh raya Persekutuan ini dan sekiranya ia dimansuhkan, dapatlah beban kewangan kami diringankan sedikit," katanya.
Saiful Ahmad, 25, pula berkata, seandainya tol tersebut dimansuhkan, ia akan menjadi hadiah paling berharga daripada kerajaan Pusat kepada rakyat sejajar dengan konsep Rakyat Didahulukan.
Semuga apa yang disuarakan ini mendapat perhatian dan pertimbangan dari pihak kerajaan. InsyaAllah.
Suara Politik
Taminsari..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan