Isnin, September 28, 2015

Khairuddin mohon dibebaskan daripada tahanan di bawah Sosma?


Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini memfailkan notis usul habaes corpus supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan atas tuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Khairuddin, 53, selaku pemohon memfailkan notis tersebut di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguamnya, Fahmi Abd. Moin.

Dalam permohonannya itu, Khairuddin menamakan Timbalan Ketua Polis daerah Dang Wangi, Habibi Majinji; Ketua Polis Daerah Dangi Wangi; Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Suara Politik
Belantan

Ada kira-kira pakatan pembangkang tanpa Pas?


September akan diingati oleh Pas sebagai bulan pengkhianatan. Selepas 16 September yang menyaksikan pemimpin serpihan Pas membentuk parti sendiri Parti Amanah Negara (Amanah), pada 22 September lalu mereka membentuk sebuah pakatan pembangkang baharu yang menyisihkan Pas.

Dari awal desas-desus pembentukan pakatan baharu, Pas memang menunjukkan sikap berbeza. Mereka bertegas tidak mahu menjalin kerjasama dengan pengkhianat dan juga DAP, parti yang sejak lama dicurigai.

Dalam keadaan begitu hanya PKR yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu membawa Pas ke dalam bahtera baharu kononnya untuk menyelamatkan Malaysia itu.

Perbincangan pun diatur untuk mempertemukan parti-parti pembangkang dan NGO sealiran dalam satu perbincangan meja bulat.

Beberapa hari sebelum pertemuan meja bulat diadakan, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan khusus dengan pimpinan Pas.

Yang umum tahu tentulah PKR akan sedaya upaya memujuk Pas menyertai pakatan baharu itu, sekurang-kurangnya agar tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya kelak.

Tetapi seperti ada sesuatu yang disembunyikan, Pas tidak dimaklumkan tentang agenda sebenar meja bulat 22 September itu. Jadilah pertemuan PKR dengan pimpinan Pas umpama wayang penglipurlara sahaja.

Pas merasakan firasat mereka terbukti benar. Mereka betul untuk tidak menyertai pakatan baharu. Kemusykilan Pas itu diumumkan melalui satu kenyataan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pas mengesan ada pihak tertentu yang tergesa-gesa mengumumkan kelahiran gabungan baharu itu, Pas melihat dakwaan mereka itu lebih terserlah dan seolah-olah dibenarkan melalui pengisytiharan serta-merta kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan oleh DAP Pulau Pinang.

"Tindakan sepantas kilat itu telah menambat persepsi di minda rakyat mengenai siapa sebenarnya perancang utama di dalam pakatan yang baharu ini," kata pemimpin Pas ini yang selalunya menunjukkan sikap diplomasi apabila berhadapan dengan DAP dan PKR.

Apakah maksud kias Tuan Ibrahim ini? Tuan Ibrahim menjelaskan Pas langsung tidak dimaklumkan tentang adanya persidangan meja bulat pembangkang dalam pertemuan dengan PKR pada 15 September lalu.


Persidangan meja bulat pembangkang dimaklumkan kemudian, dan pada awalnya diberi gambaran sekadar perbincangan isu melibatkan kepentingan rakyat.

"Namun apa yang berlaku tenyata persidangan itu mempunyai agenda lain," kata Tuan Ibrahim. Kenyataan Pas itu disusuli dengan dakwaan wujudnya konspirasi terancang menyisihkan Pas dalam pakatan baharu.

DAP yang dilihat menakhoda pakatan itu bersama PKR dan Amanah seperti sengaja mahu menyisihkan Pas.

Belum pun bersama, Pas sudah merasa mereka dikhianati. Sentiasa ada agenda dalam agenda. Entah apa lagi agenda tersirat yang belum terdedah kepada umum.

Tidak berprinsip

Masalahnya, Pas juga yang kelihatan terhegeh-hegeh dan boleh diterjemah sebagai tidak berprinsip. Hanya Pas yang menganggap Pakatan Rakyat belum musnah.

Hujahnya, masih ada kerjasama dengan PKR sedangkan parti itu terang-terangan bermain kayu tiga.

Malangnya Pas merelakan sahaja pasangannya, PKR berlaku curang dengan DAP dan Amanah. Hari ini berkasih-kasih dengan DAP dan Amanah, esok bermanja-manja di riba Pas.

Yang ternampak menaruh harapan tinggi dengan pakatan baharu ini ialah DAP dan parti baharu asuhan mereka, Amanah.
PKR masih ragu-ragu walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sekali lagi, digula-gulakan dengan jawatan Perdana Menteri.
Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong dalam kenyataannya menegaskan bahawa tanpa Pas, pakatan baharu itu masih mampu menarik sokongan pengundi Melayu.

Ahli Parlimen Kluang itu malah melihat Pas tidak berupaya untuk menarik minat orang Melayu bandar dan pengundi bukan Melayu jika tidak kerana kumpulan progresifnya yang kini telah keluar daripada parti Islam itu.

Jadi, kehadiran Amanah akan dipergunakan untuk menawan 30 hingga 40 kerusi marginal yang selama ini dikuasai UMNO.
Kerusi itu kebanyakannya separa bandar di pantai barat Semenanjung dan bercampur-campur dari segi komposisi etniknya.

Inilah kira-kira DAP. Mereka tak peduli pun soal pertembungan tiga penjuru. Nampaknya PKR lebih yakin bersama dengan DAP dan Amanah dalam mengharungi pilihan raya umum kelak.

Maka, berterusanlah PKR bermain silap mata dengan Pas kerana tujuannya mahu mengekalkan kekuasaan kerajaan PKR di Selangor. Percayalah; lambat-laun Pas akan ditinggal jua oleh PKR.

Kini, setelah tertubuhnya pakatan baharu itu mereka akan lebih fokus untuk menggerakkan gelombang antikerajaan. Hasrat mereka mahu membenamkan UMNO untuk selama- lamanya.

Gelombangnya telah dirasai. Kita kini seakan-akan berada dalam mood pilihan raya. Rakyat juga yang terjebak hinggakan apa juga usaha pemulihan ekonomi mahu disabotaj.

Ada pihak yang sengaja mahu menggagalkan pemulihan ekonomi negara kerana dari segi politik bakal menganggu gerakan songsang pihak yang satu lagi.-UMO

Suara Politik
Belantan

Ahad, September 27, 2015

Duta Besar China sudah mula tunjuk 'besar kepala'...!!! Cuba campuri urusan dalaman Malaysia?


PUTRAJAYA 26 Sept. – Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang akan dipanggil pada Isnin ini untuk memberi penjelasan berhubung kenya­taannya yang didakwa mencampuri urusan hal ehwal dalaman negara ini.

Menurut sumber Wisma Putra, tindakan itu bertujuan meminta penjelasan lanjut Huikang mengenai kenyataan beliau yang menyatakan kerajaan China menentang segala bentuk keganasan dan diskriminasi terhadap kaum tertentu di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini. Kita lihat dahulu hasil penjelasan beliau (Huikang) pada hari Isnin ini,” katanya kepada pemberita hari ini.


Huikang ketika dalam sidang akhbar sejurus mengadakan lawatan ke Jalan Petaling semalam berkata, kerajaan China menentang pihak yang cuba mewujudkan segala bentuk keganasan yang bertujuan mengganggu ketenteraman awam.

Ujar beliau, pihaknya turut menentang diskriminasi yang menyasarkan satu kaum tertentu di Jalan Petaling.

Beliau turut memberi amaran bahawa Beijing berani dan tidak takut untuk menyuarakan pandangan terhadap insiden yang boleh menjejaskan kepentingan para peniaga di Jalan Petaling serta hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, September 25, 2015

SIAPA LEBIH DAHULU BIADAB?

Individu yang diburu polis kerana menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu, kelihatan selamba memijak gambar pemimpin Melayu Islam.

GELENG kepala kita men­dengar ada pihak me­nga­takan Himpunan Rakyat Bersatu kelmarin suatu serangan perkauman ter­hadap rakyat negara ini.

Siapa yang mulakan babak perkauman ini dengan kencing ke atas gambar pemimpin Melayu? Siapa yang membuat provokasi ‘ritual sembahyang’ ke atas gambar pemim­pin Melayu seolah-olah tiada adab, tatasusila dan tamadun orang Timur dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 tempoh hari?

Dengan perarakan kumpulan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu didominasi rata-rata para penyokong Cina DAP, adakah Maria Chin Abdullah (boleh Google siapa dia) tidak sedar atau sengaja tidak ambil peduli mengapa himpunan berbaju merah diadakan?

Bukankah itu hasil tindak balas daripada provokasi yang dicetuskan Bersih 4.0 yang dikuasai penyokong Cina DAP?

Andai seseorang datang dari belakang dan sekeh kepala Maria Chin, takkanlah Maria Chin tak marah? Mungkin sekali tak apa, bagaimana pula berulang kali, dari Bersih 1, 2, 3 dan 4. Mahu duduk diam sajakah lagi?

Inilah yang dikatakan bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik - ular apatah lagi, biawak pun ikut sekali.

Sebab itu, Himpunan Rakyat Bersatu dianjurkan. Sekurang-kurangnya untuk menunjukkan suara ‘masih ada orang perhatikan kamu’. Kerana itu ‘lidah’ terpaksa digunakan untuk melawan musuh yang semakin biadab. Apabila kuat, orang baru segan. Apabila lembut, orang sudu. Terpaksa sesekali pakai falsafah ‘kendur berdenting-den­ting, tegang berjela-jela.’


Apabila Maria Chin tertawa besar di pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur tempoh hari yang gambarnya terpampang di muka depan akhbar ini, ramai yang marah. Sudahlah tak mahu bertanggungjawab selaku penganjur Bersih 4.0 kerana ‘mengtongsampahkan’ jalan di ibu negara termasuk berdekatan Dataran Merdeka, boleh pula berahsia dari mana dana diperoleh untuk menganjurkan perhimpunan haram.

Siapa di sini yang biadab dahulu?

Kalau adapun sentimen ‘Tanah Melayu’, adakah itu juga salah? Maria Chin atau sesiapa sahaja terma­suk daripada DAP perlu membaca­nya sebagai ‘suatu ingatan bahawa hak Melayu dan Bumiputera sedia terjamin dan kekal dalam Perlembagaan. Hak masyarakat Cina, India dan lain-lain juga terjamin dan kekal di sisi undang-undang negara ini’.

Semua yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan itu hakikatnya ialah kontrak sosial, yakni ikatan janji kemasyarakatan.

Seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Me­layu daripada Pusat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan percaya, akibat provokasi Bersih 4.0 itulah muncul bantahan kumpulan ‘baju merah’ tempoh hari yang mewarnai ibu negara.

Malah, kata beliau kepada akhbar ini, penyertaan pemimpin-pemimpin UMNO dalam kalangan ahli Majlis Tertingginya dan menteri dalam himpunan itu juga tidak harus dipersoalkan kerana mereka turut menjiwai rasa resah gelisah sebahagian besar orang Melayu yang berasa tercabar akibat penganjuran Bersih 4.0, yang merupakan satu perhimpunan haram.


“Apabila Bersih 4.0 diminta menganjurkan perhimpunan di Padang Merbok atau stadium, mereka tolak dan tetap mahukan Dataran Merdeka yang tidak dibenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Tetapi apabila Himpunan Rakyat Bersatu buat di Padang Merbok dan dibenarkan, mereka (Bersih 4.0) marah pula,” katanya.

Malah, kata beliau, kalau diimbau kembali, Bersih 4.0 tidak ada integriti untuk memperjuangkan rakyat kerana didominasi penyokong Cina DAP yang tidak mewakili kaum Cina negara ini. Lihatlah, ramai pemimpin DAP sertainya (Bersih 4.0), daripada Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok dan Tony Pua, termasuklah juga Tian Chua daripada PKR. Jadi, jangan marah kalau ada orang UMNO turut sertai ‘baju merah’, kata Chandrakumanan lagi.

Jika itu pengertiannya, Himpunan Rakyat Bersatu kalau ada pesertanya melaungkan sentimen Me­layu, sekadar mahu mengingatkan pihak berkenaan sahaja. Iaitu, akan adanya hak-hak istimewa dan khas orang Melayu/Bumiputera, hak Raja Perkara 38 dan 181, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per. 159), kedudukan agama Islam dan lain-lain agama (Per.3), siapa itu Melayu di bawah perkara 160. Semua ini telah berakar tunjang hampir 60 tahun.

Maria Chin atau sesiapa sahaja perlu tahu menghormati orang lain terlebih dahulu, sebelum mahu mendapatkan penghormatan untuk dirinya atau Bersih 4.0.

Di satu segi lain, UMNO dan Pas yang menunjangi orang Me­layu mesti berani menempelak sesiapa sahaja yang cuba menggugat sensitiviti orang Melayu. Jika ada pertubuhan yang memekak, UMNO dan Pas mesti bersatu menempelak mereka.

Jika pengguna Internet menderhaka Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja di negara ini, heret mereka untuk didakwa dengan cepat dan berkesan.

Pemimpin tak harus lembik, takut-takut atau teragak-agak ketika berdepan dengan sebarang penca­bulan hak asasi kaum.

Perimbangan kuasa ini perlu di­terima oleh orang Melayu dan Bumiputera serta kaum-kaum Malaysia yang lain.

Kita mesti hidupkan budaya berundang-undang mahir, berbi­cara juga mesti mahir dan menang.

Suara Politik
Belantan

Khamis, September 24, 2015

Tony PuaKA diminta fokus pada skandal sendiri?


Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dinasihatkan memberi tumpuan terlebih dahulu terhadap siasatan penglibatannya dalam skandal membocorkan maklumat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan berhenti daripada mempersoalkan 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB).

1MDB dalam kenyataan di sini hari ini berkata, syarikat berkenaan turut hairan bagaimana pemimpin DAP itu tidak terkesan langsung dengan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang jelas menyatakan mereka telah menilai dokumen-dokumen dalam siasatan PAC, sekali gus itu adalah perbuatan melanggar undang-undang.

“1MDB merujuk kepada kenya­taan Tony yang meminta 1MDB menjawab tuduhan yang dikeluarkan oleh WSJ. Tony lupa menyatakan penafian jelas oleh 1MDB yang dikeluarkan pada 9 dan 18 September lalu.

“Tony sepatutnya terlebih dahulu fokus untuk menjawab siasatan polis yang sedang berjalan dan menjawab persoalan rakyat terhadap skandal yang telah mencemar maruah PAC,” kata 1MDB.

Menurut 1MDB, berdasarkan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan, syarikat itu telah menjelaskan bahawa Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) sememangnya masih menjadi penjamin kepada dua bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion (RM14.79 bilion).

Katanya, WSJ sekali lagi menyiarkan artikel berniat jahat dan salah pada 18 September 2015 yang menyentuh tentang deposit 1MDB berjumlah AS$1 bilion (RM4.2 bilion), sedangkan aset-aset syarikat itu telah ditamatkan.

Suara Politik
Belantan

Rabu, September 23, 2015

Relakah Pas diperkotak-katikkan lagi?


Bercelaru dan keliru – Mungkin itu­lah istilah paling tepat untuk menggambarkan konflik dalam pakatan pembangkang sekarang. Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan serpihan Pas menyebabkan situasi itu berlaku.

DAP mahu kekal dalam pakatan pembangkang tetapi menolak Pas. DAP mahu bekerjasama dengan PKR dan Amanah sahaja. PKR pula mahukan pakatan itu menggabungkan semua parti iaitu PKR, DAP, Pas dan Amanah, manakala Amanah pula bersedia bekerjasama dengan Pas dalam pakatan tetapi Pas pula tidak mahu bekerjasama dengan Amanah dan DAP tetapi mahu kekal bersahabat dengan PKR.

Sebenarnya, penyelesaiannya mudah, Pas seharusnya mengekalkan pendirian untuk terus berada dalam blok pembangkang tetapi tidak bekerjasama dengan ketiga-tiga parti tersebut dalam satu pakatan. Ini memandangkan berdasarkan kekuatan yang ada pada Pas, ketiga-tiga parti itu lebih memerlukan Pas.

Walaupun DAP enggan bekerjasama dengan Pas tetapi mereka memahami kekuatan Pas dalam usaha meraih sokongan orang Melayu. Amanah pula tidak mempunyai apa-apa kekuatan selain sebuah parti yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan selepas pemimpinnya tewas dalam pemilihan Pas pada Jun lalu.

PKR pula seperti mana diketahui banyak pihak bergantung kepada sokongan penyokong Pas untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, oleh itu Pas perlu memahami nilai yang ada kepada mereka dan bukannya membiarkan orang lain mencaturkan untuk mereka dalam menentukan haluan politik.


Kalau mengkaji semula apa yang berlaku dalam pakatan sebelum ini termasuklah terbentuknya Amanah, Pas sepatutnya tidak boleh menyerah kalah semata-mata mahukan kuasa. DAP dan Ama­nah sama sahaja pernah menghina Pas habis-habisan. Malah kewujudan Amanah atas alasan pakatan pembangkang perlu ‘dibentuk semula’ – ertinya pakatan tanpa Pas.

Apa yang pemimpin-pemimpin Amanah tidak pernah kata kepada Pas, begitu juga DAP. PKR pula tidak pernah dilihat mahu menyokong Pas bila ada isu sebaliknya sering mengamalkan politik selamat demi menjaga hati DAP.

Sebab itulah PKR walaupun mahu terus berkawan dengan Pas namun tiada jaminan mereka tidak akan membuat perangai lama iaitu tunduk kepada kehendak politik DAP. Dalam banyak krisis yang berlaku DAP dan PKR boleh dikatakan senada dan Pas sering di­pinggirkan.

Oleh itu Pas tidak boleh mengikut nafsu politiknya sehingga sanggup membiarkan maruahnya terus diinjak-injak semata-mata mahu meraih kuasa. Pas jangan terperangkap dengan sandiwara politik PKR, DAP dan Amanah.

Pas perlu ingat berapa ramai wakil rakyat yang berada dalam Amanah sekarang mencapai kemenangan atas tiket Pas tetapi mereka tidak mahu meletakkan jawatan, alasannya mereka dipilih oleh rakyat.

Jika benar merasakan rakyat bersama mereka sepatutnya semua wakil rakyat tersebut membenarkan pilihan raya kecil diadakan, ketika itu kita boleh lihat apakah rakyat memilih mereka atas nama individu atau parti.

Amanah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kekuatan. Mereka memahami situasi ini, sebab itulah secara tiba-tiba pemimpin Amanah bernada lembut dengan Pas walaupun sebelum ini pelbagai kecaman dilemparkan.

Oleh itu Pas seharusnya memikirkan semasak-masakkan apa juga keputusan yang hendak dilakukan dalam soal bekerjasama dalam pakatan pembangkang. Pas bukanlah parti yang ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan atau dilahirkan akibat kekecewaan pemimpinnya tidak mendapat jawatan dalam parti tetapi Pas diwujudkan oleh sekumpulan ulama demi menegakkan syiar Islam di negara ini. Jangan lupa ‘bai’ah’ tersebut! - UMO

Suara Politik
Belantan

Selasa, September 22, 2015

ROS perlu semak penubuhan DAP, menyimpang tujuan asal?


Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu meneliti dan menyemak semula penubuhan DAP kerana didakwa telah menyimpang daripada tujuan asal sebagai parti politik yang memperjuangkan hak rakyat.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abd. Rahman berkata, hal ini jelas kerana DAP telah memperlihatkan sikap biadab malah menjadikan parti itu sebagai tempat menyuburkan kebencian antara kaum di negara ini.

“Kalau boleh, kita haramkan DAP, mereka sangat melampau terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Oleh sebab itu, saya berharap ROS akan membuat siasatan terhadap DAP,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan kepada semua pihak sama ada kumpulan dari dalam mahupun luar negara agar jangan sesekali cuba mencarik-carikkan maruah orang Melayu.

Tegas beliau, Melayu merupakan bangsa bermaruah yang akan bangkit mempertahankan nusa sehingga ke titisan darah terakhir jika maruahnya dihina sebagaimana dibuktikan menerusi Himpunan Rakyat Bersatu Rabu lalu.

Tambah Ezaruddin, tindakan tersebut harus dilakukan bagi mengekang niat jahat mana-mana individu yang ingin menimbulkan kekecohan di negara ini, di samping dapat meningkatkan semangat kecintaan kepada rakyat.

Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwan­ddin Hamzah berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan nama bangsa dan agama dalam perjuangan politik kerana jelas akan memecahbelahkan masyarakat.

“Perpecahan yang berlaku akan menjejaskan sektor ekonomi dan perniagaan mereka yang tidak terlibat. Sebagai contoh, orang Me­layu mungkin tidak akan mengadakan kerjasama perniagaan dengan kaum Cina walaupun bukan semua kaum itu terlibat dalam menghina agama Islam dan Melayu.

“Selain itu, saya berharap agar kerajaan dapat memberi keuta­maan dan bantuan kepada orang Melayu, khususnya dalam dasar ekonomi negara. Penglibatan anak muda Melayu dalam semua sektor negara juga harus diperluaskan,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Ahad, September 20, 2015

Khairuddin rancang bertemu FBI?

Khairuddin Abu Hassan

Ahli perniagaan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan pihak berkuasa semalam didakwa sedang merancang meminta Amerika Syarikat (AS) supaya campur tangan dalam hal ehwal negara ini.

Tindakan itu disifatkan pihak berkuasa sebagai cubaan memudaratkan sistem demokrasi di negara ini dengan menjadikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai alasan.

Menerusi perancangan tersebut, Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan dijadualkan bertemu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Isnin ini, di lokasi rahsia di negara kuasa besar berkenaan.

Perkara itu diakui sendiri peguam Khairuddin, Matthias Chang yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada akhbar New York Times menerusi temubual telefon.


Menurut Matthias yang juga salah seorang individu yang disekat Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini, pertemuan antara Khairuddin dengan FBI itu diatur dengan kerjasama pihak Kedutaan AS di Malaysia.

“Khairuddin sepatutnya dijadualkan bertemu FBI di Amerika pada Isnin,” kata Matthias sebagaimana dipetik daripada laman web akhbar itu, http://www.nytimes.com hari ini.

Sebelum ini, Khairuddin didakwa bersama Matthias bertindak membuat laporan palsu dengan mengemukakan bukti-bukti yang telah diubahsuai kepada Peguam Negara Switzerland bagi mendesak siasatan ke atas isu 1MDB.

Dalam pada itu, akhbar yang sama melaporkan, Khairuddin dalam satu temubual baru-baru ini juga turut mengakui bahawa beliau merancang untuk mengemukakan dokumen berkaitan dakwaan pengubahan wang haram kepada FBI.

“Saya percaya pihak berkuasa AS ada rekod pergerakan wang,” kata Khairuddin tanpa mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa Khairuddin direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan perkara itu tetapi beliau enggan mengulas lanjut mengenai status dokumen yang diserahkan Khairuddin kepada pihak asing yang didakwa palsu.

“Khairuddin ditahan selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Akta 124C Kanun Keseksaan,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Azmin kata himpunan 'baju merah' memalukan...!!! Betul ke?


Negara disajikan dengan satu hari penghinaan dan memalukan apabila beribu-ribu 'baju merah' bersorak tentang ketuanan Melayu, menyemai rasa takut dan menghasut kebencian terhadap kaum lain pada Hari Malaysia, baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, Hari Malaysia sepatutnya disambut dengan kegembiraan dan kebahagiaan sebagai sebuah negara yang bersatu.

"Saya tidak tergambar rasa malu dan jijik melihat Melayu berbaju merah, lelaki dan perempuan, sambil melaungkan slogan perkauman dan ungkapan penghinaan dan kebencian terhadap kaum lain," kata Azmin.


"Adakah ini idea terbaik Umno untuk mengembalikan maruah Melayu?," kata beliau.

Katanya, himpunan tersebut cuma menambah penghinaan terhadap agama Islam dan maruah Melayu.

"Pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab untuk hari penghinaan telah melanggar kod tidak tertulis (unwritten code) kelakuan sebagai sebuah negara, untuk melayan semua ahli komuniti dengan cara bermaruah dan rasa terhormat.

"Mereka patut menyesal, itupun kalau mereka masih ada maruah," kata Azmin lagi.


Beliau berkata, Hari Malaysia juga satu peringatan bahawa negara ini hidup berbilang kaum dan disatukan di bawah Agong sebagai ketuanya.

"Daripada berarak dengan rasa benci dan permusuhan, kita sepatutnya berarak seiring sebagai sebuah negara tanpa mengira bangsa, warna kulit dan nyanyian Negaraku," tambah Azmin.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, September 19, 2015

Polis tahan suami Umi Aida?

Laman Facebook Umie Aida yang memaparkan kenyataan suaminya ditahan polis sebentar tadi.

SHAH ALAM - Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan ditahan polis di rumahnya kira-kira jam 9 malam tadi.

Menurut status Facebook isterinya, Datin Paduka Umie Aida Rahmad, "...suami saya telah ditahan atas Akta 124C".

"Saya doakan ALLAH sentiasa melindungi mu, amin," katanya.

Suara Politik
Belantan

Rabu, September 16, 2015

Himpunan Rakyat: Bukti PM masih miliki mandat popular!

MOHD. Ali Rustam (kanan) melaungkan slogan 'Hidup Melayu' dihadapan ribuan peserta Himpunan Rakyat di Padang Merbok, di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Penyertaan kira-kira 200,000 peserta dalam Himpunan Rakyat Bersatu jelas menunjukkan kerajaan sedia ada masih mempunyai sokongan padu.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata kerajaan masih berdiri kukuh kerana sokongan rakyat dan ia terbukti dengan kehadiran ribuan peserta.




“Hari ini, bukan hanya perjuangan bangsa tetapi turut menunjukkan sokongan terhadap kerajaan.“Boleh dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai mandat popular untuk terajui negara,” katanya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Isnin, September 14, 2015

MCA : DAP gagal fahami sensitiviti orang Melayu?




DAP perlu bertanggungjawab di atas keangkuhan, kesombongan dan keengganannya untuk memahami orang Melayu dan menghormati agama Islam yang boleh menyebabkan perpaduan kaum berada dalam keadaan goyah.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mendakwa, pemimpin dan ahli DAP gagal untuk memahami sensitiviti orang Melayu dan menjadi penyebab ketegangan kaum semakin memuncak.

Ti Lian Ker

“Apabila pemimpin DAP mempermainkan pemimpin Melayu seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka tidak peduli perasaan dan kemarahan yang dirasakan orang Melayu.

“Mungkin adab orang Melayu yang menuntut untuk tidak kurang ajar dan bersabar menyebabkan pemimpin DAP berulang kali memperkecilkan pemimpin Melayu yang lama-kelamaan boleh memercikkan api persengketaan antara kaum,” dakwanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Semalam, Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok mengecam Lian Ker yang disifatkan sebagai ‘mayat berjalan’ berikutan kenyataannya mengenai Bersih 4.

Teresa berkata demikian apabila mendakwa Lian Ker mengulang mesej tajuk berita Utusan Malaysia yang menggambarkan DAP mengawal perhimpunan Bersih 4.0. Dakwa Lian Ker, tindakan kurang ajar penyokong DAP di perhimpunan Bersih 4.0 tidak mewakili semua kaum Cina dalam negara.

“Apabila ada yang memijak gambar pemimpin Melayu di Bersih 4.0, orang Melayu akan memandang serong kepada keseluruhan kaum Cina walhal mereka hanya mewaki­li DAP.

“MCA tidak mahu insiden se­perti 13 Mei berlaku lagi dan DAP perlu bertanggungjawab terhadap segala hal menyebabkan ketegangan kaum yang telah mereka wujudkan, bukan terus mengapi-apikan masyarakat Cina dengan kemarahan untuk membenci kerajaan yang akhirnya akan menyebabkan perpecahan,” dakwanya.


Dakwa Lian Ker, walaupun pernah tidak setuju dan mengkritik pemimpin Pas mengenai polisi, beliau tidak pernah menggunakan serangan peribadi untuk menghentam dan mempermainkan Presiden parti itu seperti yang dilakukan DAP.

“Dalam politik, apabila emosi sedang memuncak, kaum dan agama akan menjadi isu utama dan inilah yang digunakan DAP untuk mendapat sokongan tanpa berfikir mengenai perpaduan kaum. Ini menunjukkan DAP gagal sebagai parti yang kononnya memperjuangkan nasib pelbagai kaum,” dakwanya.

Suara Politik
Belantan

Ahad, September 13, 2015

DAP cetus provokasi terlebih dahulu?



Pemimpin DAP dan pembangkang lain tidak wajar sama sekali menuduh Himpunan Rakyat Bersatu yang dijadualkan 16 September ini suatu bentuk provokasi kerana DAP sendiri yang mencetuskan provokasi itu terlebih dahulu menerusi penglibatan sebahagian besar penyokong Cina mereka menerusi Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Membangkitkan perkara itu, Pe­ngerusi Pertubuhan Pu­sat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan mempersoalkan, di sebalik hak untuk rakyat Malaysia berhimpun secara aman, penganjur Bersih 4.0 termasuk pemimpin DAP sendiri telah mengawal peserta-peserta Bersih 4.0 untuk ‘kencing dan memijak’ gambar-gambar pe­mimpin kerajaan dan parti terbabit.

Datuk A. Chandrakumanan

“Kamu cakap Himpunan Rak­yat Bersatu atau kumpulan Baju Merah akan membuat provokasi, tetapi daripada mana provokasi itu bermula? Kamu telah pecah­belahkan kaum jika dilihat dari Bersih 4.0 dengan hanya 10 peratus sahaja penyertaan orang Melayu tetapi sebahagiannya penyokong Cina DAP.

“Tindakan kencing dan pijak gambar pemimpin adakah budaya kita? Oleh kerana siapa provokasi ini? Oleh penyokong Cina DAP. Kalau DAP tidak menghasut penyokong Cina mereka secara maksimum, ini tidak akan berlaku.

“Mengapa dulu Bersih 4.0, pihak berkuasa kata jangan buat masa menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2015, kamu tetap buat, mengapa dulu diminta buat dalam stadium, masih tetap buat di sekitar Dataran Merdeka dan kawasan-kawasan berkepentingan Melayu? Ini bila ‘kumpulan Baju Merah’ mahu buat pada sambutan Hari Malaysia nanti, kamu pula boleh kata ini suatu bentuk provokasi,” kata beliau kepada pemberita hari ini.


Chandrakumanan turut mempersoalkan kenyataan Naib Pre­siden PKR, Tian Chua supaya pihak polis membiarkan sahaja Himpunan Rakyat Bersatu berlangsung.

“Apa motif dia berkata begitu? Adakah akan datang seseorang menyamar dengan memakai baju merah, seterusnya mencetuskan pergaduhan?

“Adakah kerana elok ‘dibiarkan’, maka nak kacau, provokasi atau salahkan kerajaan jika sesuatu berlaku? Sudahlah himpunan Bersih 4.0, kamu (penganjurnya) letakkan semua tanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuklah sehingga soal sampah-sarap yang berterabur selepas himpunan itu, tetapi bila masa kamu, kamu ambil kesempatan, bila masa orang, kamu salahkan mereka pula,” kata beliau.

Beliau turut mengajak rakyat negara ini supaya bersyukur atas nikmat kestabilan dan keamanan yang dikecapi Malaysia sehingga hari ini.

Suara Politik
Belantan

Ribut, petir punca tragedi di Masjidilharam Mekah?


Petir menyambar salah sebuah kren sebelum ia tumbang menghempap salah satu tiang di masjid sebelum jatuh menimpa Mataf. 

DUBAI 12 Sept. - Insiden sebuah kren tumbang yang mengakibatkan 107 orang terbunuh di Masjidilharam semalam dipercayai berpunca akibat petir dan angin kencang, lapor pihak berkuasa Arab Saudi.

Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pertahanan Awam, Jeneral Suleiman al-Amr berkata, hujan lebat, petir dan angin kencang dengan kelajuan luar biasa menyebabkan banyak pokok tumbang, panel jatuh dan sebuah kren tumbang.

Suleiman menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam laman sosial Twitter, berkata, angka kematian mungkin meningkat dan kebanyakan 238 mangsa yang cedera hanya mengalami cedera ringan.

“Sebanyak 15 pasukan mencari dan menyelamat telah dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu membawa mangsa yang cedera ke hospital,” kata Suleimen.

KEDAAAN kren pembinaan yang terbalik di Masjidilharam Mekah yang dirakam awal pagi semalam. Insiden yang berlaku dalam hujan lebat dan ribut pada petang Jumaat lalu itu mengorbankan sekurang-kurangnya 107 jemaah haji dan mencederakan lebih 238 yang lain.

Malah, beberapa agensi berita turut melaporkan berlakunya petir di kawasan Masjidilharam sebelum kren tersebut tumbang.

Menurut laporan portal Saudigazette.com, hujan lebat dan banjir kilat yang melanda Mekah malam semalam merupakan antara yang terburuk sejak beberapa dekad yang lalu.

Katanya, hujan yang diiringi dengan angin kuat itu telah melanda seluruh kota suci umat Islam termasuk beberapa kawasan di pinggir bandar.

“Cuaca buruk itu mengakibatkan banyak kenderaan hanyut dibawa arus deras, pokok tumbang di jalan-jalan utama menyebabkan penutupan beberapa jalan raya sehingga menghalang pergerakan kenderaan untuk keluar masuk.

“Pasukan pertahanan awam, peronda keselamatan, polis trafik serta majlis perbandaran telah digerakkan untuk membersihkan kawasan serta memulihkan semula pergerakan lalu lintas di jalan-jalan utama tersebut.

“Malah, pihak majlis perbandaran juga telah menggerakkan semua anggota serta peralatan untuk membersihkan kawasan yang terjejas apabila lebih daripada 800 peralatan digunakan bagi membersihkan kawasan runtuhan,” kata portal tersebut. -UMO

Suara Politik
Belantan

Jumaat, September 11, 2015

Hasrat PKR mahukan Pas hanya mainan politik?


Hasrat PKR mahu meneruskan kerjasama politik dengan Pas dilihat sebagai mainan politik atas konsep ‘siapa makan siapa’.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, ia kerana PKR perlu bergantung kepada Pas untuk kekal berkuasa di Selangor.

“Jika Pas Selangor diketepikan buat masa ini, maka ia akan menyebabkan rombakan Exco. PKR perlu berhadapan bukan sahaja dengan BN dan bekas menteri besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim, tetapi Pas.

“Ini adalah satu sikap kepimpinan PKR yang tidak konsisten. Dari satu sudut mereka dilihat bersahabat baik dengan DAP dan menyokong kumpulan anti Pas, tetapi sudut lain pula, cuba meneruskan hubungan dengan parti itu,” katanya.

Menurutnya, situasi itu mungkin pada pandangan orang ramai Pas digula-gulakan dengan kuasa dan juga peruntukan yang boleh disalurkan Kerajaan Selangor kepada wakil rakyat Pas.

“Jadi buat masa ini walaupun PR dikatakan hancur, roh Pas sama macam Harapan Baru yang mahukan gula-gula politik ekonomi,” katanya.

Md Shukri yakin permusuhan Pas dan Harapan Baru reda menjelang PRU14 yang dijadualkan pada 2018.

“Saya percaya Pas akan bersama kelompok Harapan Baru bergandingan dengan DAP dan PKR sebagai landasan mendapatkan kepuasan untuk menumbangkan BN,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa Pas tidak akan selesa jika bersama Umno dan BN dengan sikap serta nilai politik parti itu sendiri.

“Senario politik semasa menjelang PRU14 tidak akan menjadikan Pas bersendirian, sekurang-kurangnya Pas akan kembali bersama sekutu mereka dalam PR 2.0.

“Jika ini berlaku, DAP adalah sebenarnya ketua pembangkang dan Pas parti penambah perisa sahaja,” katanya.

Jelasnya, kesemua langkah tersebut dibuat bagi menjamin survival politik PKR terutamanya di Selangor.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan bahawa PKR tetap akan meneruskan kerjasama dengan Pas dan menerima mana-mana pihak yang terikat dengan pendirian sama untuk melakukan perubahan serta reformasi secara total.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata demikian sebagai pandangan terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang tidak akan berbuat baik dengan Pas buat masa ini.

Suara Politik
Belantan

Polis Thailand ada bukti komplot guling kerajaan?


Bukti daripada polis Thailand boleh dianggap penting dalam siasatan oleh polis Malaysia terhadap peranan beberapa individu Malaysia yang terkemuka di sebalik komplot menjatuhkan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut sumber-sumber polis.

Komplot itu, menurut mereka, dilaksanakan melalui kempen media bertujuan menyerang 1Malaysia Development Bhd.(1MDB).

Sumber polis Thailand berkata, warga Switzerland, Xavier Andre Justo membekalkan para penyiasat dengan urutan masa terperinci mengenai konspirasi untuk menggugat kerajaan Malaysia yang dirancang oleh pihak-pihak diketuai oleh editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sejak enam bulan lepas.

Justo, yang ditahan pada pertengahan Jun di Thailand, telah mengaku mencuri dan cuba memeras ugut bekas majikannya dengan menggunakan maklumat sulit yang dicuri dan telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Pada April 2011, semasa bertugas sebagai ketua unit IT PetroSaudi International Ltd., (PetroSaudi), dia mencuri lebih 90 gigabyte data dari server syarikat dan kontraknya dengan syarikat tersebut ditamatkan sejurus selepas itu.

Pada 2013, Justo cuba memperoleh ganjaran kewangan daripada maklumat yang dicurinya dengan memeras bekas majikannya.

Percubaan itu gagal dan lelaki berusia 48 tahun itu mula mencari pembeli baharu bagi maklumat tersebut.

Sumber-sumber polis berkata, melalui seorang rakan di Switzerland, Justo telah menghubungi ahli perniagaan yang berpusat di London, Kamal Siddiqi yang memperkenalkannya dengan Rewcastle-Brown, yang kemudian melakukan pelbagai percubaan untuk bertindak sebagai perantara bagi menjual maklumat yang dicuri dengan beberapa kumpulan Malaysia.

Menurut sumber polis Thailand, Rewcastle-Brown mulanya menghubungi Nurul Izzah Anwar, anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim yang kini dihukum penjara, bagi mendapatkan maklumat daripada Justo tetapi percubaan itu tidak berjaya berikutan perbezaan dalam kaedah pembayaran.


Selepas pelbagai percubaan dengan pembeli yang berpotensi, Rewcastle Brown akhirnya dapat menghubungi ahli pembangkang Tony Pua pada sekitar November tahun lepas yang membolehkan dia berhubung dengan pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong.

Sumber-sumber polis berkata Brown, Justo dan Kooi Ong mengadakan pertemuan di Fullerton Hotel di Singapura pada sekitar Februari tahun ini dan sejurus selepas itu, pemilik akhbar The Edge dan Justo bersetuju dengan terma-terma bagi penjualan data korporat yang dicuri itu.

Menurut sumber-sumber tersebut, Kooi Ong bersetuju membayar AS$2 juta kepada Justo Consulting Co Ltd, yang berpusat di bandar peranginan pulau Koh Samui, Thailand, bagi penjualan apa yang disifatkan sebagai "Justo Property IT Software".

Justo mengaku bahawa persetujuan tersebut bertujuan bagi membuat pembayaran untuk penjualan maklumat PetroSaudi yang dicuri.

Sejurus selepas persetujuan itu selesai, Sarawak Report mula membuat liputan agresif bersama The Edge dan portal berita Malaysian Insider mengenai perkembangan berhubung PetroSaudi dan 1MDB.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, September 05, 2015

Dilaknat Allah, rasul - Abdul Hadi?


Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Pas yang mengkhianati bai’ah dilafazkan mereka sebelum menjadi calon parti pada pilihan raya umum lalu akan dilaknat Allah dan rasul.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awng berkata, selagi Pas terus berjuang pada landasan menegakkan al-Quran dan Sunah selaras dengan ajaran Islam, bai’ah tersebut seharusnya diteruskan.

“Selagi perjuangan Islam itu dibawa, tidak boleh khianat. Kalau khianat, dilaknat oleh Allah, dilaknat oleh Rasul, dilaknat oleh semua yang melaknat.

“Ayat ini mana lagi besar dengan cerai bini? Ada orang dia kata laknat ini tidak apa. Biar kata apa pun, bini (dia) rasa sayang lagi. Ada orang begitu,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, Terengganu hari ini.

Selasa lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan 22 bekas pemimpinnya termasuk tujuh wakil rakyat bukan lagi ahli parti itu sebaik sahaja mereka dilaporkan berada dalam barisan kepemimpinan Parti Pekerja.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli yang pernah melafazkan bai’ah cerai talak tiga merupakan satu-satunya wakil rakyat di Kelantan yang terlibat dalam senarai itu.

Dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat Pas di Kelantan yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik menceraikan isteri ma­sing-masing dengan talak tiga.

Perkara itu terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri tersebut sejak 2004.

Semalam, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengesahkan perkahwinan Mohd. Hatta de­ngan isterinya bercerai talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri itu.

Walau bagaimanapun, Mohd. Hatta menafikan perkara tersebut tetapi enggan memberi penjelasan lanjut, sambil secara sinis berterima kasih dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang didakwa ‘meng­atur kehidupannya.’

Dalam pada itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din ketika dihubungi berkata, bai’ah yang dibuat oleh kesemua wakil rakyat parti itu adalah dengan Allah, justeru secara jelas, sekiranya ia dikhianati bermakna mereka mengkhianati Allah.

Atas sebab itu, beliau berkata, tidak timbul soal membayar kafa- rah yang sesuai sebagai ‘denda’ kerana melanggar baiah parti itu seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kelmarin.

“Baiah tidak boleh bayar kafarah sebab jelas daripada ayat Allah yang bermaksud sesungguhnya orang-orang yang berbai’ah dengan kamu wahai Muhammad, mereka sebenarnya berbai’ah dengan Allah.

“Yang boleh dibayar dengan kafarah itu ialah sumpah, melanggar sumpah dan perlu bayar kafarah. Yang mereka hadapi sekarang ini ialah apa yang mereka lakukan ialah bai’ah,” katanya.

‘Selagi perjuangan Islam itu dibawa, tidak boleh khianat’.

Suara Politik
Belantan

Mat Sabu meroyan lagi - Harapan Baru tidak boleh guna nama rasmi Amanah?


Parti Pekerja-Pekerja Malaysia tidak boleh dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) kerana ia bukan parti politik tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, oleh itu Harapan Baru tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi perlembagaan parti pekerja itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Sekarang ini mereka tiada rumah (parti). Ingin pakai rumah orang lain. Parti pekerja bukan parti politik. Kalau mereka ingin teruskan (jenamakan semula Parti Pekerja dan) pakai nama Amanah, mereka kena ubah (pinda) perlembagaan Parti Pekerja.

"Mereka juga kena ubah sistem pentadbiran Parti Pekerja dan tunjukkan terlebih dahulu kerja-kerja pentadbiran untuk membuktikan mereka mewakili sebuah parti politik dan bukannya parti pekerja," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Harapan Baru, Mohamad Sabu pada Isnin lepas yang mengumumkan akan menukarkan nama Parti Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai nama rasmi wadah politik gerakan itu.


Bekas Timbalan Presiden Pas yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, HB telah mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia, dan butiran mengenai penjenamaan semula itu akan diserah kepada ROS secepat mungkin bagi mendapatkan
kelulusan.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor menegaskan, Amanah juga perlu melalui proses lantikan dalaman seperti keanggotaan, pengisian jawatan, dan sekurang-kurangnya perlu mengadakan mesyuarat parti.

Beliau berkata, setelah selesai proses tersebut, barulah Amanah boleh mendaftar diri ke ROS untuk kelulusan dan sebarang tindakan lanjut.

Sehingga kini, Nur Jazlan berkata, ROS belum menerima permohonan pendaftaran parti Amanah tersebut.

Sebelum ini, HB telah mengemukakan untuk mewujudkan parti politik baharu dengan menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI), bagaimanapun ROS menolak permohonan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, sebelum ini dilaporkan berkata, bahawa permohonan itu ditolak kerana Islam adalah hak untuk semua orang yang beragama Islam dan penggunaan nama Islam pada parti politik boleh menyebabkan kekeliruan.

Suara Politik
Belantan

Khamis, September 03, 2015

Bai’ah: Ramai wakil rakyat Pas tangguh hasrat?


Ramai wakil rakyat dan pemimpin Pas berhasrat untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia walaupun terpaksa menangguhkan seketika penghijrahan tersebut kerana Bai'ah yang dilafazkan masing-masing.

Pengerusi Parti Pekerja Malaysia, Mohamad Sabu atau Mat Sabu mengakui perkara itu dan wakil-wakil rakyat Pas terutamanya dari Kelantan akan merujuk pakar-pakar agama terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia melibatkan lafaz talak tiga tersebut.

"Ramai wakil rakyat Pas berminat menyertai Parti Pekerja tetapi masih takut untuk keluar parti kerana terikat dengan bai'ah dan taklik talak tiga bagi mereka di Kelantan," katanya selepas menyampaikan ceramah parti itu di Kampung Belimbing, Tanah Merah, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krai yang juga Ahli Jawantankuasa Parti Pekerja, Dr. Mohd. Hatta Ramli, Naib Pengerusinya, Hasanuddin Mohd. Yunus dan Pengerusi Parti Pekerja negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Ketika ditanya mengenai jumlah sebenar wakil rakyat yang didakwa bakal berhijrah itu, Mat Sabu hanya menegaskan, jumlahnya cukup besar.

"Saya tak boleh sebutlah berapa ramai wakil rakyat Pas akan sertai Parti Pekerja, tetapi ramailah. Cuma menunggu sikit 'clearance' (pencerahan) pasal bai'ah.

"Apabila sudah jelas (bai'ah) nanti ramailah yang akan sertai. Mereka juga sudah nilai pandangan ulama Mesir, Yusuf al-Qaradawi dan beberapa ulama lain mengenai soal itu,"katanya.

Harapan Baru yang merupakan serpihan Pas telah mengambil alih Parti Pekerja untuk bergerak sebagai sebuah parti politik seterusnya membentuk pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan PKR.

Dengan pengambilalihan tersebut, 10 wakil rakyat Pas iaitu masing-masing lima ahli Parlimen dan Adun yang berada dalam senarai kepemimpinan Parti Pekerja, secara automatik terbatal keahlian dalam Pas.

Antara pemimpin serta wakil rakyat Pas yang menyertai parti itu ialah Mohd. Hatta, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yussof Rawa.

Dalam perkembangan yang sama, Mat Sabu mengulangi harapannya untuk memastikan hasrat 50,000 ahli menjelang 16 September ini, akan tercapai.

"Kita tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menyertai Parti Pekerja dan ia dilakukan secara sukarela. Sesiapa sahaja, Pas, Umno pun boleh masuk menyertai parti ini," katanya.

Suara Politik
Belantan

Katanya GHB ambil alih Parti Pekerja?

MOHAMAD SABU (kanan) bergambar bersama seorang wanita Cina yang tersebar melalui media sosial dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, kelmarin.

Gerakan Harapan Baru (GHB) yang merupakan serpihan Pas telah mengambil alih Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja) untuk bergerak sebagai sebuah parti politik.

Dengan pengambilalihan tersebut, 10 wakil rakyat Pas iaitu masing-masing lima Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada dalam senarai kepemimpinan Parti Pekerja, secara automatik terbatal keahlian dalam Pas.

Bekas Timbalan Presiden Pas yang kini merupakan Pengerusi Parti Pekerja, Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengekalkan nama Parti Pekerja selepas permohonan menggunakan nama Parti Progresif Islam ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Beliau bagaimanapun memberitahu, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada ROS agar dapat menggunakan nama Parti Amanah Negara.

Mengulas lebih lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, parti yang menggunakan wadah Islam itu akan bekerjasama dengan DAP serta PKR bagi menubuhkan Pakatan 2.0 berikutan pakatan pembangkang yang sebelum ini disertai Pas telah roboh.

“Apabila menyertai parti baharu, mengikut Perlembagaan Pas, secara automatik wakil-wakil rakyat Pas yang menyertai Parti Pekerja keluar daripada parti asal,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.

Berhubung kedudukan negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang, Mohamad berkata, wakil-wakil rakyat dalam partinya akan memberi kerjasama kepada kerajaan sedia ada di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Ditanya mengenai keahlian parti itu yang terbuka kepada semua agama dan bangsa, Mohamad memberitahu, parti yang menggunakan wadah Islam tetapi terbuka kepada semua agama merupakan sesuatu yang baharu di Malaysia namun perkara itu telah pun dipraktikkan di negara-negara lain.
Beliau menjangkakan partinya akan menerima sebanyak 35,000 ahli baharu apabila dilancarkan pada 16 September ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, Mohamad turut mengumumkan senarai kepemimpinan parti yang diputuskan menerusi Kongres Luar Biasa pada 25 Ogos lalu, antaranya, Timbalan Pengerusi, Salahudin Ayub; Naib Pengerusi, Mujahid Yusuf Rawa dan Hasanuddin Mohd. Yunus; Setiausaha Agung, Mohd. Anuar Mohd. Tahir dan Bendahari Agung, Asmuni Awi.

Yang turut hadir memberi sokongan dalam sidang akhbar itu adalah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib; Ahli Parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Pengerusi Bersama Perhimpunan Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga.

Mengenai pertanyaan pemberita sama ada Parti Pekerja akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, Mohamad berkata, pihaknya belum berbincang mengenai perkara itu namun akan melihat kepada perkembangan semasa.

Dalam pada itu, Penasihat Parti Pekerja, Ahmad Awang berkata, wakil-wakil rakyat Pas yang menyertai Parti Pekerja tidak perlu terikat dengan baiah yang dibuat dengan Pas sebelum pilihan raya.

“Pas bertanding atas nama pakatan, oleh kerana itu, kemenangan yang diraih adalah atas nama pakatan. Walaupun pada ketika itu baiah atas parti, hakikatnya baiah atas pakatan.

“Sekarang ini pakatan sudah roboh, jadi, sudah tidak lagi sah apa yang terikat dalam baiah,” katanya yang merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Perak.

> Penasihat Umum: Ahmad Awang

> Pengerusi: Mohamad Sabu

> Timbalan Pengerusi: Salahuddin Ayub

> Naib Pengerusi: Mujahid Yusuf (Ahli Parlimen Parit Buntar)*

> Naib Pengerusi: Hasanuddin Mohd. Yunus

> Ketua Wanita: Dr. Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja)*

> Ketua Pemuda: Mohd. Sany Hamzan

> Setiausaha Agung: Mohd. Anuar Mohd. Tahir

> Pen. Setiausaha Agung: Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus

> Bendahari Agung: Asmuni Awi

> Setiausaha Organisasi: Suhaizan Kaiat

Ahli-Ahli Jawatankuasa;

> Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai)*

> Khalid Abd. Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)*

> Gopalan K. Papachan

> Izham Hashim

> Adly Zahari

> Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah

> Datuk Seri Mohd. Nizar Jamaluddin (ADUN Changkat Jering)*

> Mazlan Aliman

> Aminolhuda Hassan (ADUN Parit Yaani)*

> Dr. Dzulkefly Ahmad

> Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang)*

> Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi (ADUN Pengkalan Kundor)*

> Saari Sungib (ADUN Hulu Kelang)*

> Zulkifli Mohamad Omar

> Hu Pang Chow

> Wan Abdul Rahim Wan Abdullah

> Hasnul Baharudin (ADUN Morib)*

* wakil-wakil rakyat Pas yang telah keluar parti secara automatik

Suara Politik
Belantan

Selasa, September 01, 2015

DAP kuasai perhimpunan haram BERSIH 4?

Perhimpunan haram Bersih 4.0 menjadi medan memaki-hamun kerajaan dan Perdana Menteri di Kuala Lumpur, semalam.

Siapa kuasai perhimpunan haram Bersih 4.0? Apakah benar ia bertujuan bagi menuntut sebuah pilihan raya bersih seperti mana asal penubuhan pertubuhan haram tersebut? Atau ia menjadi medan kepada kaum tertentu untuk menunjukkan kekuatan mereka atau melunaskan agenda pembangkang bagi meracuni fikiran rakyat?

Segala persoalan itu terjawab jika kita mengkaji kehadiran lebih 50,000 orang di tengah-tengah bandar raya ini hari ini. Kelompok yang paling banyak atau disifatkan mendominasi kehadiran peserta perhimpunan haram itu terdiri daripada kaum Cina.

Jumlah mereka dikatakan melebihi 80 peratus daripada keseluruhan peserta yang hadir. Jika dalam perhimpunan haram Bersih sebelum ini, kelompok tersebut dilihat tidak memberi sokongan berikutan jumlah kehadiran yang kecil tetapi kali ini mereka mula `tunjuk belang’, apabila menjadi peserta teramai.


Difahamkan sebahagian mereka adalah penyokong-penyokong DAP khususnya yang datang dari Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Tindak-tanduk mereka sepanjang perhimpunan haram tersebut tidak lagi `secara sembunyi-sembunyi’, tetapi ada antara mereka secara terbuka membawa sepanduk-sepanduk memaki hamun kepemimpinan negara dengan bahasa kesat.

Walaupun ada kelompok yang cuba menafikan dominasi kaum Cina dalam perhimpunan tersebut namun gambar-gambar yang dirakam termasuklah oleh media-media asing membuktikan hakikat sebaliknya. Malah 'lebih menarik’ mereka juga menjadi peserta yang berada di barisan paling hadapan.

Justeru tidak keterlaluan jika ada tanggapan bahawa kelompok itu mula mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku dalam parti politik Melayu khususnya melibatkan Pas. Ini memandangkan jumlah penyokong parti itu dikatakan hampir tidak ada sama sekali. Yang hadir hanyalah kelompok orang Melayu yang menyokong Gerakan Harapan Baru (GHB) di bawah pimpinan Mohamad Sabu atau penyokong PKR.


Turut dipersoalkan ialah ketelusan penganjur perhimpunan haram itu yang sebelum ini menyatakan ia tidak bermotif politik. Ini kerana Pengerusi Bersih, Maria Chin sendiri dalam ucapannya menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak habis-habisan.

Selain beliau, antara pemimpin lain yang turut menyampaikan ucapan berbaur politik ialah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang menggesa seluruh rakyat Malaysia bangkit menyingkirkan Najib, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mendakwa perhimpunan itu bertujuan menyelamatkan negara daripada krisis politik dan ekonomi.


Walaupun penganjur perhimpunan haram itu mendabik dada bahawa perhimpunan tersebut mencatatkan kehadiran paling ramai berbanding sebelum ini, namun apa yang pasti tindakan melanggar undang-undang itu telah menyusahkan orang ramai khususnya peniaga-peniaga.

Hampir kesemua peniaga terpaksa menutup perniagaan mereka sepanjang perhimpunan berlangsung kerana bimbang sesuatu tidak diingini berlaku. Mereka menanggung kerugian ribuan ringgit berikutan terpaksa mengambil langkah berkenaan.

Begitu juga dengan pemandu teksi mereka mengeluh kerana sukar mendapat penumpang untuk memasuki bandar raya, rintihan yang sama turut disampaikan oleh orang ramai yang terjejas akibat kesesakan lalu lintas.


Aktiviti hari minggu warga kota terjejas teruk akibat 'kegilaan’ peserta-peserta haram Bersih untuk mengadakan demonstrasi.

Selain itu apa yang dikesalkan ialah kebiadaban penganjur Bersih yang memilih untuk mengadakan perhimpunan haram tersebut ketika kawasan sekitar ibu negara sedang dipersiapkan bagi sambutan Hari Kebangsaan 2015, semalam.

Ia menimbulkan persoalan, apakah motif sebenar mereka memilih menjelang Hari Kebangsaan untuk berbuat demikian? Adakah ia bertujuan menyelamatkan negara atau mahu menjejaskan imej Malaysia di mata dunia?

Suara Politik
Belantan