Ahad, September 20, 2015

Khairuddin rancang bertemu FBI?

Khairuddin Abu Hassan

Ahli perniagaan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan pihak berkuasa semalam didakwa sedang merancang meminta Amerika Syarikat (AS) supaya campur tangan dalam hal ehwal negara ini.

Tindakan itu disifatkan pihak berkuasa sebagai cubaan memudaratkan sistem demokrasi di negara ini dengan menjadikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai alasan.

Menerusi perancangan tersebut, Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan dijadualkan bertemu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Isnin ini, di lokasi rahsia di negara kuasa besar berkenaan.

Perkara itu diakui sendiri peguam Khairuddin, Matthias Chang yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada akhbar New York Times menerusi temubual telefon.


Menurut Matthias yang juga salah seorang individu yang disekat Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini, pertemuan antara Khairuddin dengan FBI itu diatur dengan kerjasama pihak Kedutaan AS di Malaysia.

“Khairuddin sepatutnya dijadualkan bertemu FBI di Amerika pada Isnin,” kata Matthias sebagaimana dipetik daripada laman web akhbar itu, http://www.nytimes.com hari ini.

Sebelum ini, Khairuddin didakwa bersama Matthias bertindak membuat laporan palsu dengan mengemukakan bukti-bukti yang telah diubahsuai kepada Peguam Negara Switzerland bagi mendesak siasatan ke atas isu 1MDB.

Dalam pada itu, akhbar yang sama melaporkan, Khairuddin dalam satu temubual baru-baru ini juga turut mengakui bahawa beliau merancang untuk mengemukakan dokumen berkaitan dakwaan pengubahan wang haram kepada FBI.

“Saya percaya pihak berkuasa AS ada rekod pergerakan wang,” kata Khairuddin tanpa mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa Khairuddin direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan perkara itu tetapi beliau enggan mengulas lanjut mengenai status dokumen yang diserahkan Khairuddin kepada pihak asing yang didakwa palsu.

“Khairuddin ditahan selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Akta 124C Kanun Keseksaan,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: