Khamis, September 03, 2015

Katanya GHB ambil alih Parti Pekerja?

MOHAMAD SABU (kanan) bergambar bersama seorang wanita Cina yang tersebar melalui media sosial dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, kelmarin.

Gerakan Harapan Baru (GHB) yang merupakan serpihan Pas telah mengambil alih Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja) untuk bergerak sebagai sebuah parti politik.

Dengan pengambilalihan tersebut, 10 wakil rakyat Pas iaitu masing-masing lima Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada dalam senarai kepemimpinan Parti Pekerja, secara automatik terbatal keahlian dalam Pas.

Bekas Timbalan Presiden Pas yang kini merupakan Pengerusi Parti Pekerja, Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengekalkan nama Parti Pekerja selepas permohonan menggunakan nama Parti Progresif Islam ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Beliau bagaimanapun memberitahu, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada ROS agar dapat menggunakan nama Parti Amanah Negara.

Mengulas lebih lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, parti yang menggunakan wadah Islam itu akan bekerjasama dengan DAP serta PKR bagi menubuhkan Pakatan 2.0 berikutan pakatan pembangkang yang sebelum ini disertai Pas telah roboh.

“Apabila menyertai parti baharu, mengikut Perlembagaan Pas, secara automatik wakil-wakil rakyat Pas yang menyertai Parti Pekerja keluar daripada parti asal,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.

Berhubung kedudukan negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang, Mohamad berkata, wakil-wakil rakyat dalam partinya akan memberi kerjasama kepada kerajaan sedia ada di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Ditanya mengenai keahlian parti itu yang terbuka kepada semua agama dan bangsa, Mohamad memberitahu, parti yang menggunakan wadah Islam tetapi terbuka kepada semua agama merupakan sesuatu yang baharu di Malaysia namun perkara itu telah pun dipraktikkan di negara-negara lain.
Beliau menjangkakan partinya akan menerima sebanyak 35,000 ahli baharu apabila dilancarkan pada 16 September ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, Mohamad turut mengumumkan senarai kepemimpinan parti yang diputuskan menerusi Kongres Luar Biasa pada 25 Ogos lalu, antaranya, Timbalan Pengerusi, Salahudin Ayub; Naib Pengerusi, Mujahid Yusuf Rawa dan Hasanuddin Mohd. Yunus; Setiausaha Agung, Mohd. Anuar Mohd. Tahir dan Bendahari Agung, Asmuni Awi.

Yang turut hadir memberi sokongan dalam sidang akhbar itu adalah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib; Ahli Parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Pengerusi Bersama Perhimpunan Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga.

Mengenai pertanyaan pemberita sama ada Parti Pekerja akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, Mohamad berkata, pihaknya belum berbincang mengenai perkara itu namun akan melihat kepada perkembangan semasa.

Dalam pada itu, Penasihat Parti Pekerja, Ahmad Awang berkata, wakil-wakil rakyat Pas yang menyertai Parti Pekerja tidak perlu terikat dengan baiah yang dibuat dengan Pas sebelum pilihan raya.

“Pas bertanding atas nama pakatan, oleh kerana itu, kemenangan yang diraih adalah atas nama pakatan. Walaupun pada ketika itu baiah atas parti, hakikatnya baiah atas pakatan.

“Sekarang ini pakatan sudah roboh, jadi, sudah tidak lagi sah apa yang terikat dalam baiah,” katanya yang merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Perak.

> Penasihat Umum: Ahmad Awang

> Pengerusi: Mohamad Sabu

> Timbalan Pengerusi: Salahuddin Ayub

> Naib Pengerusi: Mujahid Yusuf (Ahli Parlimen Parit Buntar)*

> Naib Pengerusi: Hasanuddin Mohd. Yunus

> Ketua Wanita: Dr. Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja)*

> Ketua Pemuda: Mohd. Sany Hamzan

> Setiausaha Agung: Mohd. Anuar Mohd. Tahir

> Pen. Setiausaha Agung: Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus

> Bendahari Agung: Asmuni Awi

> Setiausaha Organisasi: Suhaizan Kaiat

Ahli-Ahli Jawatankuasa;

> Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai)*

> Khalid Abd. Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)*

> Gopalan K. Papachan

> Izham Hashim

> Adly Zahari

> Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah

> Datuk Seri Mohd. Nizar Jamaluddin (ADUN Changkat Jering)*

> Mazlan Aliman

> Aminolhuda Hassan (ADUN Parit Yaani)*

> Dr. Dzulkefly Ahmad

> Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang)*

> Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi (ADUN Pengkalan Kundor)*

> Saari Sungib (ADUN Hulu Kelang)*

> Zulkifli Mohamad Omar

> Hu Pang Chow

> Wan Abdul Rahim Wan Abdullah

> Hasnul Baharudin (ADUN Morib)*

* wakil-wakil rakyat Pas yang telah keluar parti secara automatik

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: