Selasa, Jun 14, 2011

HUDUD Hanyalah Senjata Politik Pas!

Bagi orang-orang Melayu amat sukar untuk membezakan antara UMNO dan PAS, kalau PAS mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, UMNO juga boleh mendakwa ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu Islam, demikian juga kalau PAS mendakwa ianya memperjuangkan Islam, UMNO juga mendakwa ianya memperjuangkan Islam, bahkan dalam Perlembagaan UMNO sendiri tertulis dengan jelas matlamat Islam dalam perjuangannya.

Oleh itu untuk menunjukkan yang PAS itu lebih Islam dari UMNO, maka PAS telah membangkitkan hukum hudud yang belum lagi dibangkitkan oleh UMNO dan menggunakan hukum itu sebagai isu politik, supaya dengan demikian penonjolan Islam yang ada pada PAS itu dapat menenggelamkan Islam yang ada pada UMNO.

Isu-isu lain seperti mengkafirkan UMNO, UMNO parti asabiah, UMNO mengasingkan agama daripada politik dan sebagainya dianggap sudah lapok sukar untuk dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi. Justeru itu semasa kempen Pilihanraya Umum 1990, PAS telah membesar-besarkan isu hudud dan berjanji kepada rakyat, khasnya di Kelantan sekiranya parti itu berkuasa mereka akan melaksanakan hukum tersebut.

Setelah PAS berjaya memerintah Negeri Kelantan, maka janji yang dibuat oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu hanya tinggal janji, kerana sebelum itu tidak ada apa-apa persediaan yang dibuat bagi melaksanakan hukum tersebut. Tetapi apabila Pilihanraya Umum yang baru heboh diperkatakan yang ianya akan diadakan tidak lama lagi, maka mahu tak mahu janji itu harus diselesaikan walau dengan apa cara sekalipun. Kalau tidak ianya akan mengancam kedudukan parti yang membuat janji itu.

Justeru itu dalam tempoh yang singkat, secara tiba-tiba pada 24 dan 25hb November 1993, maka bergemalah suara-suara yang lantang dan bersemangat di Dewan Undangan Negeri Kelantan, menandakan lahirnya hukum Hudud untuk dilaksanakan di negeri itu.
Oleh kerana hudud itu sudah dan diluluskan berdasarkan kepentingan politik dan bukan berdasarkan kebenaran serta perancangan yang rapi dan menyeluruh, maka banyaklah kelemahan dan kelonggaran yang tidak mencerminkan Hudud Islam tetapi lebih mencerminkan Hudud PAS.

Antara kelemahan-kelemahan dan kelonggaran yang terdapat dalam Hudud PAS itu menurut mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana hukum tersebut tidak dibuat melalui proses mengikut kehendak dan amalan dalam Islam, iaitu berdasarkan akidah feqah yang syaamil.

Kajiannya amat terhad tidak boleh ditafsirkan sebagai selari dengan kaedah feqah untuk mencapai muslihat ummah. Undang-undang itu juga hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam dikenakan mengikut Undang-undang Jenayah Biasa, perbezaan antara kedua-duanya amat ketara, tidak mencerminkan keadilan dalam apa jua sistem nilai dan agama. Justeru itu maka Hukum Hudud yang ditaja oleh PAS itu terpaksa ditolak dan dikaji semula.

Walaupun hukum itu ditolak, tetapi bagi pemimpin dan ahli-ahli PAS bukanlah merupakan masalah pokok yang perlu dikesali, yang penting mereka dapat melepaskan diri daripada ikatan janjinya terhadap rakyat Kelantan, kalau tidak janji itu akan mengancam kedudukan mereka dalam pilihanraya yang akan datang, sekarang mereka telah terselamat dari ancaman itu bahkan mereka juga telah mendapat modal baru untuk memancing undi dan modal itu sekarang telahpun kedengaran di sana-sini terkeluar dari lidah-lidah PAS yang panas dan membakar, kononnya UMNO menentang Hukum Hudud, UMNO membuat tipu helah untuk melaksanakan hukum hudud, UMNO menggunakan ulamak ala Amerika untuk menolak Hukum Hudud dan bermacam-macam tuduhan lagi dibuat.

Walau apa pun diperkatakan, UMNO tetap berpegang kepada aqidah dan kepercayaan bahawa Hukum Hudud itu adalah Hukum Allah yang jelas termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, ianya tidak boleh ditolak dan diingkari kebenaran dan kesempurnaannya, sesiapa yang menolak dan mengingkarinya boleh membawa kepada kekufuran dan kepada sesiapa yang menuduh orang lain menolak dan mengingkari Hukum Hudud itu seperti juga ia menuduh orang lain kafir, sekiranya tuduhan itu tidak benar maka tuduhan itu kembali kepada orang yang menuduh itu sendiri.

Ini berdasarkan Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abu Zar dalam Kitab Sahih Imam Bukhari dan Sahih Imam Muslim yang bermaksud;

" Barangsiapa yang menuduh fasik dan kafir, terhadap seseorang yang lain, maka ia sendiri akan menjadi fasik atau kafir, jika tuduhan itu tidak benar ".

Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.

UMNO tetap berpegang kepada prinsip perjuangannya dalam menegak dan mengembangkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Dan undang-undang Hudud itu sebahagian kecil dari undang-undang Jenayah Islam yang sangat luas. Seperti apa yang telah dikatakan oleh Ustaz Abdul Hadi, “ Hukum Hudud itu adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam”.

UMNO juga tidak akan mencemarkan Hukum Hudud yang lebih sempurna dan agung itu di mata orang-orang bukan Islam lantaran kepentingan politik, sedangkan kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakannya belum lagi mengizinkan. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Anis Shukran berkata...

ulasan yang baik, inilah dia mereka yang memperalatkan ugama tapi tak sedar-sedar.