Isnin, Ogos 25, 2014

Hadi nafi istana campur tangan?


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan sebarang campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga mendorong parti itu turut menamakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Sultan Sharafuddin tidak mengeluarkan sebarang titah kepada Abdul Hadi berhubung kemelut kedudukan Menteri Besar Selangor ketika baginda menerima menghadap Presiden Pas itu.

Menurut Ahmad Samsuri, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat sebelum ini adalah tidak tepat dan mengelirukan sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan.

"Pihak Pejabat Presiden Pas ingin membetulkan maklumat yang telah ditulis secara tidak tepat oleh Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat seolah-olah wujud titah arahan tertentu Tuanku Sultan mengenai isu Menteri Besar kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Maklumat yang tidak tepat ini pula telah dipetik oleh media sosial dan arus perdana beberapa hari lalu dan telah mengundang kekeliruan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan sebelum ini dilaporkan berkata, Pas menamakan Azmin sebagai salah satu calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor selain Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail selepas Abdul Hadi menghadap Sultan Selangor.

Ketua Pemuda Pas itu berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar bagi mempertahankan langkah partinya yang membuat pusingan U dalam isu Menteri Besar Selangor.

Menurut Ahmad Samsuri, Abdul Hadi telah memohon menghadap pada hari raya keempat sempena Aidilfitri dan tidak ada sebarang titah arahan daripada baginda mengenai isu berkenaan.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Aku Melayu Rasis berkata...

apa nak sibuk, dah negeri Selangor adalah negerinya, memanglah sultan tu berhak campurtangan. Kalau sultan mengiakan semua apa menterinya buat, itu maknanya sultan boneka.