Khamis, Ogos 28, 2014

'Lawak jenaka' di kongres PKR?

Lengang... banyak kerusi tidak dipenuhi semasa Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-10 di Shah Alam yang berakhir kelmarin memaparkan pelbagai kenyataan melucukan oleh pemimpin-pemimpin parti itu.

Selain ia usaha mempromosikan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kononnya sebagai calon Menteri Besar (MB) Selangor yang paling sesuai dan layak, kongres itu juga menjadi medan untuk mempertahankan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adalah sesuatu yang aneh apabila masalah dalaman PKR khususnya pemilihan parti yang berlangsung penuh kontroversi termasuk adegan tumbuk-menumbuk, membaling kerusi dan dakwaan berlakunya penipuan undi tidak diberi perhatian serius oleh pemimpin dan ahli PKR.

Ucapan pemimpin-pemimpin parti itu lebih dikategorikan sesi membodek, mempertahankan perkara yang tidak sewajarnya dan tidak memaparkan realiti sebenar.

Berikut penulis paparkan antara hujah-hujah pemimpin PKR yang boleh dianggap hanya menjadi bahan jenaka kepada rakyat berbanding apa yang sebenarnya berlaku;


* Wan Azizah yang sudah tidak sabar- sabar lagi untuk menjadi MB Selangor dengan lantang mengkritik kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah beliau seratus kali lebih baik daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu jika menjadi pemimpin nombor satu negeri tersebut.

Presiden yang dianggap hanya sekadar menjadi 'penghias organisasi' dan muncul setahun sekali untuk berucap, mengecam Abdul Khalid kerana tidak menggunakan dana kerajaan negeri sehingga mengabaikan kebajikan rakyat.

Wan Azizah menggambarkan seolah-olah rakyat Selangor berada dalam keadaan cukup teruk dengan dibelenggu pelbagai masalah di bawah kepimpinan Abdul Khalid.

Kalaulah soal mengabaikan kebajikan rakyat menjadi perhitungan utama Wan Azizah kenapakah beliau tidak bertanya secara jujur siapakah sebenar yang menyebabkan rakyat Selangor kini berada dalam keadaan terabai?

Bukankah suaminya yang bertanggungjawab mengatur 'Langkah Kajang' sehingga memungkinkan perebutan kerusi MB Selangor tercetus. Jika benar beliau seorang Presiden parti yang berkuasa kenapa tidak menghalang suaminya daripada berbuat demikian?

Kenapakah Wan Azizah tidak menolak cadangan Anwar supaya beliau bertanding di Kajang dan seterusnya mengelakkan amalan nepotisme berlaku?


* Rafizi Ramli tidak boleh marah kalau beliau dilihat 'pengampu' nombor satu kepada Anwar. Tindakan beliau mencabar mana-mana pemimpin dan ahli PKR yang menentang nepotisme meninggalkan parti itu membuktikan betapa mentahnya pemikiran politik individu yang kononnya diiktiraf pakar strategi PKR itu.

Sepatutnya Rafizi membentangkan fakta kenapa tindakan Anwar membenarkan isterinya menjadi Presiden parti dan calon MB Selangor serta anak mereka Nurul Izzah menjadi Naib Presiden tidak boleh dianggap nepotisme memandangkan kalau amalan itu dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), Rafizi antara orang yang paling lantang mengkritik. Tetapi apabila perkara itu berlaku dalam PKR, Rafizi berhujah seperti kanak-kanak sekolah.

Malah Rafizi juga seolah-olah lupa siapa dirinya apabila memberi amaran kepada Abdul Khalid supaya tidak membubarkan DUN.

Rafizi sepatutnya tidak takut kalau DUN dibubarkan kerana bukankah PKR boleh menggunakan 'kebijaksanaan' beliau untuk mengatur strategi bagi memastikan Selangor terus berada di tangan pakatan pembangkang?

Rafizi sebenarnya tidak berkemampuan berbuat demikian kerana 'otak strategi' beliau selama ini sememangnya dipertikaikan oleh ahli-ahli PKR.

Namun memandangkan beliau rapat dengan Anwar dan bersedia mempertahankan pemimpin PKR tersebut sehingga sanggup mencabar keluar parti jika mana-mana ahli tidak bersetuju dengan kepimpinan parti, Rafizi terselamat.

Bagaimanapun dalam kalangan rakyat, Rafizi tidak mempunyai kredibiliti dan integriti sehebat Abdul Khalid.



* Hujah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin lebih melucukan apabila beliau dilaporkan berkata, UMNO akan kalah 56-0 jika pilihan raya diadakan di Selangor.

Kenyataan itu boleh dianggap hanya satu khayalan, tidak berpijak di bumi nyata dan untuk menyedapkan hati sahaja.

Ini memandangkan jika pilihan raya di negeri itu diadakan, PKR bukan sahaja tidak akan mampu mempertahankan kerusi sedia ada malah pakatan pembangkang juga berkemungkinan akan kehilangan kuasa.

Ini memandangkan pakatan pembangkang bertahan di Selangor kerana kredibiliti Abdul Khalid, sekarang beliau sudah dipecat daripada parti itu secara tidak terhormat dan PKR mahu meletakkan Wan Azizah yang rakyat negeri itu amat memahami sejauhmanakah kemampuan beliau untuk memimpin.

Oleh itu tidak perlulah Zuraida bermimpi di siang hari sebaliknya menerima hakikat bahawa rakyat negeri tersebut tidak boleh diperbodohkan dengan sewenang-wenangnya .

Tambahan pula PKR kini mempunyai hubungan cukup dingin dengan Pas yang merupakan penggerak utama kepada kempen pilihan raya pakatan pembangkang.

Ahli-ahli Pas pasti tidak akan melupakan kenyataan-kenyataan pemimpin PKR yang memperlekehkan pemimpin Pas dalam isu perebutan kerusi MB Selangor.

Begitulah serba sedikit catatan mengenai kongres PKR yang jelas membuktikan perjuangan untuk rakyat hanyalah sekadar retorik politik bagi memuaskan nafsu politik pemimpin parti tersebut.

Pemimpin PKR berhujah seolah-olah parti merekalah yang paling sempurna, tindakan politik mereka yang paling bijak dan merekalah paling sesuai untuk memerintah Selangor dan negara ini.

Hakikatnya, PKR hanyalah sebuah parti yang sedang dilumuri pelbagai masalah sama ada luaran mahupun dalaman tetapi kebijaksanaan pemimpinnya bersandiwara memungkinkan segala keburukan mampu ditutupi dan segala kepalsuan mampu dilindungi.

Tetapi percayalah sikap hipokrit pemimpin PKR tidak akan bertahan lama kerana rakyat semakin memahami wajah sebenar parti yang ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan tersebut.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: