Isnin, Ogos 18, 2014

'Langkah Kajang', langkah malang?


Arena politik pasti mencatatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai 'satu sejarah hitam' dalam politik negara. Bermula daripada kerusi itulah politik Selangor menjadi kucar-kacir akibat perebutan kerusi menteri besar negeri tersebut.

Sebanyak dua kali, pengundi-pengundi Kajang dengan rela membenarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menguasai kerusi DUN itu. Kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan kali kedua, dalam pilihan raya kecil yang sengaja direka bagi memuaskan nafsu politik pemimpin parti tersebut.

Harapan kononnya, Kajang akan dibangun dan dimajukan sesuai dengan janji ia akan memantapkan usaha pembangkang menguasai Putrajaya hanya satu pembohongan.

Kehadiran Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Presiden kepada sebuah parti paling berkuasa dalam pakatan pembangkang dan 'dicaturkan' oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk Kajang.

Sebaliknya, Wan Azizah dipersiapkan bagi memenuhi agenda Anwar untuk menghumban Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kerusi Menteri Besar Selangor.

Tidak mengapalah jika Abdul Khalid gagal melaksanakan tanggungjawab, tidak salah juga kalau langkah itu dilakukan jika anak jati Selangor itu ada masalah moral seperti mana dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin PKR tertentu atau beliau sudah melakukan kesilapan yang menyusahkan rakyat.


Abdul Khalid bukan mahu disingkirkan sebab semua itu tetapi hanya kerana Anwar ingin menguasai pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dengan menjadikan Wan Azizah sebagai 'wakil rasmi' beliau.

Dalam mengkaji kemelut politik di Selangor, penulis boleh menggariskan beberapa perkara yang terdedah sepanjang ia berlaku bagi membolehkan rakyat menilai siapakah Anwar dan wajah sebenar pakatan pembangkang.

HANYA KERANA NAFSU POLITIK

'Langkah Kajang' direncanakan oleh PKR, bagi memenuhi tuntutan nafsu politik mereka semata-mata. Mereka tidak layak bercakap soal demi kepentingan rakyat Selangor kerana kalau benar itu hujahnya, kenapakah perlu PRK Kajang sengaja diadakan tanpa sebab? Perlu diingat ADUN Kajang sebelum ini bukannya sakit atau tidak berupaya menjalankan tanggungjawabnya tetapi beliau meletakkan jawatan tanpa alasan.

Tindakan itu semata-mata bagi membolehkan Anwar yang semakin pudar harapan menjadi Perdana Menteri dan sedang berhadapan dengan hukuman penjara kerana meliwat pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan - telah meletakkan isterinya, Wan Azizah sebagai calon dan seterusnya menjadi 'alat' untuk beliau menghumban Abdul Khalid daripada kerusi menteri besar.


Jika benar Abdul Khalid tidak layak, tidak mampu atau gagal memenuhi agenda pakatan pembangkang, kenapakah Wan Azizah yang dipilih? Hebat sangatkah wanita bernama Wan Azizah ini yang orang ketahui sanggup mengorbankan segala-galanya untuk suami yang beliau anggap sebagai 'anugerah Tuhan'.

Wan Azizah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh suatu ketika dulu kerana menggantikan Anwar dan Wan Azizah juga meletakkan jawatan kerana hendak memberi laluan kepada suaminya. Menjadi Presiden PKR pula, Wan Azizah tidak ubah sekadar 'penghias' organisasi sahaja kerana yang benar-benar berkuasa ialah Anwar!

DEMOKRASI ALA MATLAMAT MENGHALALKAN CARA

Bijak sekali pemimpin-pemimpin pembangkang berhujah soal demokrasi apabila mereka mahu memastikan agenda Anwar melalui 'Langkah Kajang' berjaya. Mereka mendesak Abdul Khalid menghormati prinsip demokrasi apabila beliau bertindak memecat enam Exco Selangor daripada DAP dan PKR. Wan Azizah pula mahu Abdul Khalid menghormati prinsip tersebut dengan alasan beliau sudah mendapat sokongan majoriti ADUN untuk menjadi menteri besar. Paling menarik, ada pemimpin pembangkang berhujah, sebarang percaturan politik untuk membentuk Kerajaan Negeri Selangor melalui gabungan Pas, UMNO dan Bebas sebagai tidak bermoral dan perbuatan terkutuk yang ditolak dalam amalan demokrasi.

Tetapi pernahkah mereka bertanya, apakah 'gagasan Langkah Kajang' itu memenuhi prinsip demokrasi? Apakah tindakan menyingkirkan seorang menteri besar tanpa sebarang alasan kukuh itu bukan satu perbuatan terkutuk yang ditolak dalam amalan demokrasi?


Sebenarnya demokrasi yang diamalkan oleh pemimpin PKR dalam memenuhi agenda 'Langkah Kajang' lebih menjurus kepada matlamat menghalalkan cara. Demokrasi bukan sahaja menjadi alat tetapi diperalatkan demi memenuhi politik pemimpin-pemimpin kanan parti itu.

MORAL POLITIK SEMAKIN TERHAKIS

Pergolakan politik di Selangor yang dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin PKR boleh disifatkan semakin terhakis moral politik mereka. Kalau benar mereka berpegang kepada prinsip tersebut, sepatutnya tumpuan utama ialah menyelesaikan dahulu kemelut dalaman yang tercetus ketika pemilihan parti itu di seluruh negara baru-baru ini.

Pelbagai adegan dapat disaksikan ketika pemilihan PKR berlangsung termasuklah baling kerusi, tumbuk menumbuk dan penipuan dalam pengundian. Kesemua masalah itu masih belum selesai, ada kes dibawa kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), tetapi adakah pemimpin PKR memandang serius masalah itu?

Sudah pasti tidak, sebaliknya wajah hodoh itu ditutupi dengan mencipta 'Langkah Kajang'. Persoalannya layakkah sebuah parti mahu meletakkan pemimpinnya menerajui sebuah negeri sedangkan urusan 'rumah tangga' sendiri masih lintang pukang? Adakah ini moral politik yang betul atau sememangnya soal moral sudah menjadi perkara kedua kepada pemimpin-pemimpin PKR?

TERDEDAH WAJAH SEBENAR SEKUTU

Pergolakan di Selangor juga mengesahkan kerjasama pakatan pembangkang hanyalah retorik politik dan sikap hipokrit paling tinggi yang ditonjolkan oleh mereka, biarpun sebelum ini menyedari masing-masing mempunyai ideologi perjuangan amat berbeza.


Dalam 'Langkah Kajang', Pas dilihat berada dalam situasi paling malang, apabila sudah terdedah kini hakikatnya perasaan hormat kepada parti itu oleh sekutunya sekadar retorik politik sahaja.

Perasaan 'hormat' kepada Pas ada syaratnya, kalau parti tersebut mengikut agenda dan kemahuan politik PKR dan DAP. Jika Pas membuat keputusan sebaliknya - biarpun atas prinsip kebenaran dan keadilan, mereka akan dikecam habis-habisan.

PAS DITEKAN DARI DALAM, DITIKAM DARI LUAR

Ketika pemimpin-pemimpin PKR dan DAP bersatu dalam menjayakan 'Langkah Kajang', Pas pula dilihat berpecah dua. Biarpun Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah membuat pendirian, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong manakala Majlis Syura Ulama memperkukuhkan pendirian Presiden Pas dalam soal mempertahankan Abdul Khalid, ada dalam kalangan pemimpin Pas secara terbuka membuat kenyataan menyokong Wan Azizah.


Malah Pas dilihat semakin buruk apabila dua ADUN mereka di Selangor menyatakan sokongan kepada Wan Azizah tanpa mempedulikan pendirian pucuk pimpinan parti dan Majlis Syura Ulama.

Dalam masa yang sama, sekutu Pas turut menikam parti itu, bukan lagi dari belakang tetapi secara berhadapan semata-mata kerana Pas enggan tunduk kepada nafsu politik mereka.

RUMUSAN

Sudah terbukti 'Langkah Kajang' adalah langkah malang yang menyaksikan ada orang berperanan sebagai 'tok dalang' dan ada pula bakal menjadi 'lebai malang' termasuklah rakyat Selangor yang terpedaya dengan temberang pembangkang.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: