Khamis, Ogos 14, 2014

Abdul Khalid pamer 'seni politik' sebagai seorang Menteri Besar?


Dalam tempoh 24 jam selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk terus berada di kerusi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil langkah pertamanya dalam usaha memulihkan pentadbiran kerajaan negeri.

Tindakan beliau memecat enam Exco Kerajaan Negeri daripada DAP dan PKR dilihat sebagai tindak balas terhadap kenyataan mereka beberapa jam sebelum pemecatan itu bahawa akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat ming guan exco.

Keenam-enam Exco itu tidak harus menyalahkan Abdul Khalid terhadap pemecatan tersebut kerana mana mungkin beliau bekerja dengan orang yang boleh dianggap tidak menghormati beliau sebagai ketua.

Tambahan pula, mereka juga hanya melihat Abdul Khalid yang walaupun mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus mentadbir sekadar berfungsi dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada pakatan pembangkang dilantik.


Oleh itu, Abdul Khalid tidak ada pilihan selain memecat mereka dan menyusun barisan Exco baharu bagi memastikan kelancaran pentadbir an kerajaan negeri.

Hujah kononnya mereka mahu terus berada dalam barisan Exco bagi menghormati kehendak rakyat dan titah Sultan Selangor boleh dipersoalkan kerana rakyat sememangnya memberi kemenangan kepada pakatan pembangkang di negeri itu kerana kewibawaan Abdul Khalid dan apabila beliau dipecat oleh PKR, Sultan Selangor memperkenankan beliau terus kekal sebagai Menteri Besar.

PKR dan DAP perlu menerima pemecatan tersebut dengan hati terbuka sementara menanti bulan November untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Abdul Khalid kalau mereka berhasrat berbuat demikian.

Abdul Khalid sudah menegaskan kelmarin, "Sekiranya mereka merasakan tidak ada lagi kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Besar, adalah lebih baik mereka tidak lagi menjadi Exco".


Itulah yang Abdul Khalid lakukan kerana kenyataan bersama keenam-enam Exco itu sudah membayangkan mereka tidak mempunyai kepercayaan kepada Menteri Besar Selangor.

Justeru Abdul Khalid terpaksa menunjukkan jalan keluar sebagai isyarat bahawa beliau hanya mahu bekerja dengan mereka yang bersedia menerima beliau sebagai 'bos'.

Langkah Abdul Khalid juga sekali gus membuktikan kepada kepemimpinan PKR dan DAP supaya jangan memandang rendah 'seni politik' yang beliau miliki.

Percayalah jika kedua-dua parti itu terus memberi tekanan kepada beliau hanya semata-mata mahu memenuhi nafsu politik pemimpin-pemimpin kanan PKR, Abdul Khalid sebagai Menteri Besar boleh melakukan tindakan lebih hebat lagi kerana beliau masih mempunyai 'peluru terakhir' - Apakah ia sama-samalah kita tunggu!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: