Rabu, Ogos 06, 2014

Dakwaan Saifuddin tuduhan liar - Khalid?


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan salah laku yang dilemparkan terhadapnya oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail hanya sebagai tuduhan liar yang bermotif politik dan berniat jahat semata-mata.

Abdul Khalid berkata, dakwaan sedemikian sedikit pun tidak menjejaskan kedudukannya sebaliknya beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri ini.

Menurutnya, sekiranya dakwaan itu benar, Saifuddin sepatutnya sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) selain mendedahkan bukti-bukti lain bagi mengukuhkan dakwaannya.

"Sekiranya Saifuddin yakin beliau juga berada di pihak yang benar, maka beliau dan rakan-rakan dalam PKR sepatutnya membuat laporan dengan kadar segera kepada SPRM, pihak polis dan BNM selain mendedahkan sekiranya ada bukti-bukti bagi mengukuhkan dakwaan salah laku itu.

"Kegagalan Saifuddin dan rakan-rakan dalam PKR untuk berbuat demikian hanya akan mengundang spekulasi bahawa tuduhan-tuduhan tersebut bermotifkan politik dan berniat jahat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Saifuddin dalam laporan sebuah portal berita hari ini berkata, Abdul Khalid perlu ditukar kerana masalah `keraguan integriti' susulan isu penyelesaian hutangnya dengan sebuah bank.

Saifuddin mendakwa, beberapa urusan perniagaan melibatkan kerajaan negeri dan sebuah syarikat pemaju bernilai ratusan juta ringgit yang berlaku selepas penyelesaian hutang itu sehingga kini tidak dijelaskan secara memuaskan oleh Abdul Khalid.

Selain itu, Saifuddin mendakwa, Abdul Khalid turut memberi projek rumah mampu milik di Selangor bernilai RM591 juta kepada syarikat sama.

Perkara itu merupakan antara kandungan dokumen penjelasan bertulis PKR yang akan diberikan kepada pemimpin tertinggi pakatan pembangkang esok bagi mewajarkan cadangan penukaran Abdul Khalid daripada menerajui pentadbiran Selangor.

Abdul Khalid menegaskan, beliau memandang serius tuduhan salah laku tersebut dan menafikan dakwaan berkenaan kerana perkara tersebut tidak benar sama sekali.

Beliau turut bersedia memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama sekiranya ada siasatan dijalankan terhadap dirinya.

Menteri Besar Selangor itu turut mengingatkan rakan-rakan seperjuangannya dalam parti supaya berhati-hati membuat tuduhan kerana dirinya berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: