Jumaat, Ogos 22, 2014

Abdul Hadi perlu tegas hapus parasit dalam Pas?


Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta bertegas dan menggunakan sepenuhnya kuasa yang dimiliki beliau sebagai Presiden Pas untuk menghapuskan golongan parasit dalaman daripada terus menghancurkan parti itu.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, tanpa ketegasan itu, suara dan perjuangan ulama di dalam Pas akan tenggelam kerana 80 peratus daripada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat telah dikuasai oleh golongan berkenaan.

Beliau berkata, krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor membuktikan bagaimana pengaruh kumpulan parasit itu yang terdiri daripada golongan profesional berjaya menenggelamkan suara ulama sehingga Pas terpaksa patuh kepada keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Saya rasa selama ini Presiden Pas terlalu berlembut. Beliau sepatutnya menjadi pemimpin yang lebih tegas dan tahu bagaimana caranya menjinakkan pemimpin bawahannya untuk memastikan dasar parti tidak lagi tersasar.

"Abdul Hadi perlu menggunakan kuasanya sebagai Presiden dan itu bukanlah satu masalah kerana jika tidak, para pemimpin yang tidak menyokongnya akan mengambil kesempatan sehingga berlaku seperti sekarang," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz seperti dilaporkan Utusan Malaysia baru-baru ini yang menyifatkan krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor sebagai kemuncak toleransi dan setiakawan Pas dalam pakatan pembangkang.


Sabtu lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat memutuskan untuk mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali untuk jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun pada sebelah petangnya, Pas akur dengan ketetapan pakatan pembangkang yang tetap menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Keputusan berkenaan sekali gus menolak pendirian Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama Pas yang sebelum ini mempertahankan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Hasan berkata, pandangan Nik Abduh itu menggambarkan ketidakselesaan Pas di dalam pakatan pembangkang namun realitinya, parti itu terpaksa mematuhi apa sahaja keputusan yang telah diatur oleh sesetengah pemimpin yang menyokong PKR dan DAP.

"Kenyataan Nik Abduh dan (bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat) Nasrudin Hassan sentiasa seiring dengan parti setiap kali memberi pendapat tetapi kalau sekadar memberi pandangan apa gunanya kerana keputusan parti akhirnya dipengaruhi oleh parasit ini.

"Kumpulan parasit ini semakin kukuh bertapak malah di media sosial atau pun forum-forum pembangkang merekalah yang hadir mewakili parti. Jadi sokongan itu semakin bertambah terutama daripada golongan muda berumur 40 tahun ke bawah," katanya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: