Sabtu, Ogos 23, 2014

Sama-sama berdoa, mengenang mangsa #MH17.


Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu dalam menghadapi suasana sedih pada Hari Perkabungan Negara bagi memperingati tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Perdana Menteri turut meminta rakyat supaya sama-sama mendoakan dan mengenang mangsa-mangsa tragedi tersebut.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu dalam menghadapi saat-saat memilukan ini dan sama-sama berdoa.

"Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang dirasai ketika melihat jenazah dibawa pulang, doa dan harapan saya mengiringi mangsa dan keluarga MH17," katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Sementara itu, Najib dalam laman Facebooknya berkata, seluruh rakyat Malaysia turut bersimpati dan sama-sama berdoa dengan waris serta kenalan mangsa-mangsa tragedi pesawat MH17.

Menurut beliau, seluruh negara berkabung di atas pemergian mereka dan jenazah mangsa tragedi itu mula dibawa pulang ke tanah air hari ini.

"Bulan lalu, sebanyak 43 rakyat Malaysia terkorban di timur Ukraine. Hari ini, kita berkabung di atas pemergian mereka. Hari ini, kita membawa mereka pulang.

"Simpati dan doa kita kepada para waris dan kenalan semua mangsa. Hari ini, kami semua bersama anda," katanya.

Najib menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pesawat khas yang membawa 20 jenazah rakyat Malaysia itu mendarat di KLIA pada pukul 9.54 pagi sebelum dihantar ke lokasi yang ditetapkan keluarga masing-masing untuk dikebumikan atau disemadikan.

Suara politik
Belantan

Tiada ulasan: