Sabtu, Ogos 02, 2014

Tony Pua hanya syok sendiri - Pas?


Kenyataan kononnya Pas akan lenyap di Selangor sekiranya pilihan raya mengejut diadakan ekoran krisis dalam kalangan pakatan pembangkang berhubung kedudukan pucuk pimpinan negeri Selangor gagal diselesaikan merupakan kenyataan 'syok sendiri.'

Sambil menempelak kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, sejarah terus memperlihatkan Pas tetap bertahan, akan tetap kuat dan bangkit dengan jenteranya yang semakin meluas di semua peringkat.

Katanya, rakyat menilai setiap orang bertanding berdasarkan parti, peribadi, bakti mereka dan persoalan Pas akan lenyap merupakan suatu yang amat mustahil kerana Pas terbukti bertahan di negara ini sejak 51 tahun lalu.

"Pas tak mungkin lenyap dan sentiasa boleh bertahan. Di Terengganu, kita jatuh pada 2004, tapi kita bangkit sekarang, tinggal dua kerusi lagi untuk kita kuasai.

"Kita ada jentera di mana-mana sahaja. Yang tak ada jentera ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR). DAP hanya ada jentera di peringkat elit sedangkan rangkaian Pas di peringkat akar umbi, di semua tempat.

"Itu terpulang kepada Tony Pua untuk memberi amaran namun istilahnya adalah 'syok sendiri'," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.

Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor dilaporkan mendakwa pakatan pembangkang berisiko kalah, manakala Pas pula mungkin lenyap kerana kehilangan banyak sokongan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan untuk menyelesaikan isu penggantian Tan Seri Abdul Khalid.

Amaran itu dibuat berikutan tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada minggu lalu yang menyokong Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar yang boleh menimbulkan perpecahan ketara pakatan pembangkang.

Dr. Mohd Khairudin berkata, sekiranya pakatan pembangkang tewas, PKR seharus dipersalahkan sebagai punca dan bukannya Pas kerana mencetuskan konflik ini.

"Pas hanya berpegang kepada pendirian asal, kita bersetuju dengan Menteri Besar Selangor sedia ada, tetapi yang timbulkan masalah adalah PKR," katanya.

"Kalau jatuh sekali pun, sebabnya adalah kerana PKR. Pas hanya mempertahankan Abdul Khalid supaya rakyat boleh melihat pakatan pembangkang sebagai sebuah parti yang telus dan memang berkhidmat untuk rakyat kerana setakat hari ini tak ada satu hujah yang kuat untuk menurunkan dia," ujarnya.

Katanya, selagi tidak ada bukti-bukti penyelewengan dikemukakan terhadap Abdul Khalid, maka adalah menjadi tanggungjawab Pas sebagai pemimpin ummah untuk terus mempertahankan Abdul Khalid.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: