Selasa, Ogos 19, 2014

Pas Selangor 'langgar perintah Pas Pusat', tidak iktiraf Azizah?


Meskipun pakatan pembangkang membuat keputusan menamakan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pas Selangor tetap tidak mengiktiraf Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Sallehen Mukhyi berkata, meskipun Jawatankuasa Pas Pusat akur dengan majlis pimpinan pakatan pembangkang menamakan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar, tindakan tersebut tidak boleh dianggap sebagai satu keputusan sah.

Ini kerana, jelasnya, pencalonan Wan Azizah dikatakan tidak mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Pas Selangor sebelum ini menolak Wan Azizah bukan sebab beliau wanita tetapi kita dimaklumkan pencalonan beliau tidak diperkenan Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah).

"Bagaimanapun, kita akur dengan keputusan pakatan pembangkang semalam untuk tetap mencalonkan beliau (Wan Azizah). Mungkin ini percubaan (untuk mendapat perkenan Sultan Selangor). Kita tengok bagaimana nanti," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru dari Pas, Abdul Rani Osman sebelum ini memberitahu, penolakan Wan Azizah sebagai Menteri Besar bukan disebabkan faktor gender sebaliknya ada faktor lain.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan faktor tersebut.

Sementara itu, Sallehen yang juga ADUN Sabak menjelaskan, dalam tempoh peralihan ini, beliau bersama tiga lagi ADUN Pas akan tetap meneruskan tugas sebagai Exco bagi memastikan pentadbiran negeri yang diterajui Abdul Khalid tetap berjalan lancar.

"Pentadbiran berjalan seperti biasa termasuk mesyuarat Exco mingguan pada Rabu ini. Kita tunggu sehingga Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah) pulang dari luar negara pada 27 Ogos ini," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat semalam.

"Semalam kita dah buat satu keputusan yang menetapkan empat perkara dan kita akan ikut keputusan itu. Apa pun yang diarahkan oleh Pas Pusat, kita akan patuhi," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: