Rabu, Ogos 20, 2014

Pas 'persenda' ulama, Majlis Syura?


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan keputusan pimpinan Pas membuat pusingan U dengan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai 'mempersenda' kumpulan ulama dan Majlis Syura parti itu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan Pas menyokong pencalonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan mencalonkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Menteri Besar seolah-olah 'meludah' ke muka sendiri.

Katanya, keputusan tersebut juga telah memalukan kepemimpinan ulama parti yang sebelum ini memberi sokongan penuh kepada Abdul Khalid termasuklah Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Jadi, apabila keputusan terbaru ini dibuat, Perkasa berpendapat Pas seolah-olah 'membuat' undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdul Hadi, selain menolak keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura.


"Secara moralnya, kalau parti sudah tidak 'percaya' dengan Abdul Hadi, beliau perlu berundur dan letak jawatan. Pas sebelum ini mendakwa UMNO sebagai tidak islamik, tetapi adakah tidak menghormati ketetapan dibuat Majlis Syura yang diterajui kumpulan ulama sesuatu yang islamik?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perkasa Parlimen Batu Gajah, Ipoh Barat dan Ipoh Timur serta jamuan Hari Raya Perkasa Perak yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di sini semalam.

Ibrahim mengulas mengenai keputusan Pas membuat pusingan U berhubung kemelut Menteri Besar Selangor yang menyaksikan parti itu menarik semula sokongan terhadap Abdul Khalid dan mengemukakan dua nama iaitu Wan Azizah dan Azmin bagi mengisi jawatan itu.


Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, meskipun Wan Azizah dan Azmin telah dicalonkan, belum tentu lagi kedua-duanya mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menggantikan Abdul Khalid.

Lebih-lebih lagi, kata Ibrahim, Wan Azizah paling tidak menepati undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor yang menetapkan Menteri Besar harus lelaki.

"Dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri, jawatan Menteri Besar dirujuk sebagai he yang membawa maksud lelaki. Wan Azizah seorang wanita, jadi beliau tidak memenuhi syarat itu," jelas beliau.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: