Ahad, Ogos 24, 2014

Hadi akui ahli Pas ada masalah 'mental'?


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui parti itu kini berhadapan dengan masalah sikap dalam kalangan mereka yang tidak beradab dalam ‘berjemaah’.

Menurut Abdul Hadi, mereka itu bukan sahaja lantang kerana cuba bertindak mendahului pemimpin tetapi juga mahu agar pemimpin mengikut apa-apa langkah yang mereka mahukan.

Abdul Hadi membayangkan gambaran itu melalui kenyataan berkias dalam sedutan video yang dimuat naik dalam Facebook rasminya petang ini.

“Kalau sembahyang berjemaah, ada adab sembahyang berjemaah. Antaranya imam boleh baca kuat, makmum tak boleh baca kuat. Kalau kata ‘amin’ tak apalah. Ini (baca) Fatihah sama kuat dengan tok imam juga.

“Kemudiannya, rukuk dan sujud tak boleh dahului imam. (Mereka) ini pintas rukuk dan sujud dulu (daripada imam). Ini yang berlaku.


“Jadi kita kena ada adab-adab berjemaah. Kadang-kadang (apabila) berasa lambat sudah, nak suruh beri salam deras (segera), suruh tok imam beri salam deras, ini masalah yang kita hadapi,’’ katanya.

Kenyataan beliau difahamkan merujuk kepada kemelut politik yang berlaku di Selangor apabila pendirian beliau dan Majlis Syura Ulama disanggah oleh beberapa pemimpin pro Anwar Ibrahim (Anwarinas) berhubung kedudukan menteri besar.

Sebelum ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri Pas di Selangor memutuskan menyatakan pendirian mereka menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail walaupun pucuk pimpinan tertinggi Pas belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Langkah yang mereka ambil dengan kesediaan untuk dipecat daripada parti dibuat sebelum Jawatankuasa Pas Pusat bermesyuarat dan memutuskan pendirian rasmi pada 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Pas akhirnya turut menamakan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bersama Azizah sebagai calon dan pakatan pembangkang kemudiannya memutuskan nama Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Ekoran itu, Pas Terengganu mengingatkan pergolakan politik di Selangor perlu dijadikan pengajaran besar kepada Pas untuk ‘menapis’ barisan kepimpinan sebelum diberi kepercayaan agar mereka memikul agenda parti dengan sentiasa taat dan setia kepada presiden dalam apa jua keadaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat menegaskan, mereka tersasar daripada ‘akhlak berjemaah’ tidak perlu dan tidak layak diberi amanah dengan dilantik menjadi pemimpin kepada ‘Harakah Islamiyah’ pada masa akan datang.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: