Isnin, Ogos 11, 2014

Tergamakkah Pas melukakan hati Anwar?


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim buat seketika boleh menarik nafas lega. Majlis Syura Ulama Pas sudah menyatakan sokongan. Kenyataan badan tertinggi Pas itu cukup kuat.

Abdul Khalid perlu kekal memimpin Selangor. Selagi beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan, beliau akan terus memegang jawatan tersebut. Majlis Syura menegaskan, keputusan itu dibuat berasaskan hukum syarak kerana kepentingan rakyat mengatasi kepentingan individu dan parti.

Ketika kemelut jawatan Menteri Besar Selangor baru bermula, beberapa pemimpin tertinggi dan kanan Pas sudah menyatakan pendirian yang sama. Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka mahu Abdul Khalid kekal sebagai

Menteri Besar. Parti itu melihat tidak ada sebab yang munasabah mengapa isteri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Ismail perlu menggantikan beliau. Walaupun itu satu tuntutan dan kemahuan Anwar dalam Langkah Kajang, Pas berpandangan sebaliknya.

Pada sebelah malam hari yang sama Majlis Syura Pas membuat keputusan itu, kira-kira 1,000 penyokong Abdul Khalid menyertai majlis solat hajat perdana di kediaman rasminya. Menariknya, majoriti yang hadir adalah pemimpin dan ahli Pas Selangor. Sokongan daripada pemimpin Pas kumpulan ulama nampak kental. Setakat semalam, bunyinya tegas dan tidak goyah. Cuma sedikit pelik, suara puak Anwarinas di dalam Pas masih tidak kuat kedengaran. Kalaupun ada, bunyinya tidak terlalu lantang dan sayup-sayup sahaja. Adakah ini satu strategi, masih menunggu arahan atau menanti masa yang sesuai?

Dalam keadaan diasak dan didesak bertubi-tubi oleh partinya sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya berundur, sokongan kumpulan ulama Pas memberi sedikit kekuatan kepada Abdul Khalid.

Dalam majlis yang sama juga beliau dengan berani memberitahu tidak akan hadir 'menghadap' Lembaga Disiplin parti. Abdul Khalid sebelum ini diarahkan hadir bagi menjawab beberapa pertuduhan.

Sebenarnya, hayat politik Abdul Khalid sudah berada di penghujung. Kalau mahu diberikan perbandingan, beliau tidak ubah seperti sedang berdiri di atas lantai kaca retak seribu yang akan relai pada bila-bila masa sahaja. Rakan-rakan yang pernah mengangkatnya sebagai Menteri Besar enam tahun lalu tidak henti-henti menikam dan menolak beliau dari pelbagai sudut.

Beliau tidak dikagumi lagi. Label pemimpin berintegriti, berpengalaman luas dan bersih rasuah sudah mula digugurkan satu persatu daripada beliau. Satu demi satu 'keburukan' Abdul Khalid didedahkan. Enam tahun lalu ketika mula-mula dilantik, tidak pula kedengaran cerita mengenai 'pekung ini' dan 'pekung itu' . Alih-alih setelah Langkah Kajang (yang mahu isteri Anwar dilantik sebagai menteri besar yang baharu) mula menampakkan kegagalan macam-macam cerita buruk Abdul Khalid muncul.

Percayalah selepas ini, ada macam-macam lagi 'cerita busuk Menteri Besar' menunggu giliran untuk disebarkan. Tidak mustahil kalau kisah-kisah ini digarap dalam bentuk yang lebih jijik dan jelik.

Cerita-cerita sedemikian mahu mewajarkan kenapa beliau perlu diganti. Tuduhan yang dibuat sekarang nampak longgar dan tidak terkesan di hati ahli-ahli parti. Pas sendiri awal-awal lagi tidak mempercayainya.

Selagi Abdul Khalid bertahan, tidak tumbang, selagi itulah beliau akan diserang. Ingat para pemimpin PKR juga masih menyimpan 'senjata pemusnah terakhir' mereka iaitu memecat Abdul Khalid daripada parti. Perkara ini lambat laun akan berlaku juga, jika segala 'kerja keras' sedang berjalan sekarang tidak berkesan.

Melihat senario politik yang sedang berlaku di Selangor pada masa ini, penyokong dan musuh politik Abdul Khalid kena mengakui peranan Pas. Sebelum ini, walaupun menjadi penyumbang terbesar kerusi dalam pembentukan kerajaan negeri Selangor, Pas tenggelam dibandingkan dengan DAP dan PKR. Parti itu lebih menonjol sebagai pengikut. Suaranya tenggelam timbul tetapi dalam kebanyakan kes, kata-kata Pas tidak dipedulikan , Sehingga ke satu peringkat Pas, dicap sebagai parti yang sudah 'dicucuk hidung' oleh dua sekutunya itu.

Tetapi berbeza dalam kemelut Menteri Besar Selangor ini, kalau tidak kerana sokongan Pas, jenazah politik Abdul Khalid sudah lama diusung ke tanah perkuburan. Setakat ini Pas masih kelihatan bermati-matian mempertahankannya. DAP sudah lama senada dengan PKR mahukan beliau turun dari takhta Menteri Besar. Beberapa pemimpin Pas sanggup bertelagah dengan pemimpin DAP bagi mempertahankan Abdul Khalid. Malah sampai ke satu peringkat ada pemimpin DAP mahu menyaman pemimpin Pas rentetan daripada perang mulut tuduh menuduh itu.

Seperkara lagi yang perlu diakui, hubungan intim yang dipamerkan DAP dan Pas selama ini hanyalah wayang. Mereka berpura-pura manis ketika berhadapan tetapi realitinya kedua-dua parti itu saling mencurigai dan diselubungi syak wasangka antara satu sama lain. Syukurlah, sekurang-kurangnya, isu ini dapat memperlihatkan warna sebenar wajah kedua-dua parti politik itu.

Walau apa pun keputusan yang dibuat oleh Pas berhubung kedudukan Abdul Khalid, itu bukan masalah PKR. Mengenali PKR, hanya pemimpin mereka sahaja yang betul. Walaupun ada suara akar umbi yang mendesak kemelut ini dihentikan menerusi mesyuarat agung luar biasa, perkara ini tidak akan berlaku.

Persoalan sekarang adakah Pas akan terus dan mampu mempertahankan sokongan mereka kepada Abdul Khalid. Mesyuarat majlis tertinggi pakatan pembangkang dikatakan akan berlangsung esok. Adakah keputusan Majlis Syura Pas akan menjadi asas kepada pendirian yang akan diambil oleh Pas dalam mesyuarat pakatan pembangkang esok ? Atau mereka tiba-tiba 'cair' dan berubah hati apabila berhadapan dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang pada mesyuarat tersebut. Sayugia diingatkan mesyuarat tertinggi Pas hanya akan diadakan seminggu selepas itu. Macam-macam boleh berlaku.

Sejarah sebelum ini pun pernah menunjukkan Pas juga 'flip-flop' dan boleh membuat pusingan U pada saat-saat akhir. Harapnya dalam mesyuarat esok, para pemimpin Pas yang hadir ada kekuatan untuk menyatakan pendirian Majlis Syura. Persoalannya tergamakkah para pemimpin Pas 'melukakan hati' Anwar dan Kit Siang esok?

Suara Politik
Belantan

2 ulasan:

UMNO PARTI PENJARA berkata...

(( Sidang Tertutup )) -Penyelesaian Akhir Krisis MB Selangor

Hakikat yg pasti, UMNO takut terkubur di Selangor Jika Wan Azizah menjadi MB Selangor... Mungkin Ya!

UMNO perlu menerima hakikat ini yg memulakan drama ini berlarutan kerana mengumumkan Anwar bersalah kes liwat beberapa hari sblm sempat bertanding di kajang... Kemaruk kuasa di negeri termaju ini, menjadikan UMNO sanggup buat apa saja... Tapi tak mungkin pd Wan Azizah.. UMNO sudah berada di jalan mati...

Tapi, jika pemimpin lain yg menjadi MB selangor, mungkin UMNO mempunyai jalan2 lain yg lebih mudah!

Tawaran yg ditawarkan UMNO hanyalah cerita dongeng...

Konflik Anwar dan Khalid bersifat sementara..

Khalid akan pulang ke pangkuan PKR melalui Anwar juga sebenarnya..

Jadi, jangan susah hati sgt ye :)


Sumber
>>> Klik Di Sini

Taminsari berkata...

Pada ketika ini, Anwar sedang berada di Rusila, Marang, masih berusaha untuk bertemu dengan Hadi Awang, Presiden PAS.

Jangkaannya, Hadi Awang menyambutnya di muka pintu, ternyata meleset sama sekali.
Sebaliknya dia yang terpaksa menunggu Hadi Awang pulang dari masjid berdekatan, sekaligus memberikan isyarat kepada Anwar Ibrahim yang turut disertai oleh ADUN Bandar, Azan Ismail bahawa kedatangannya tidak begitu dialu-alukan oleh Presiden PAS itu.

Turut menemani Anwar adalah Saifuddin Nasution, orang yang paling kuat MENCELAKAKAN Hadi Awang selepas Hadi Awang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Khalid Ibrahim.

Sebelum itu, Anwar Ibrahim yang mengharapkan Hadi Awang akan datang berjumpanya di Prince Court Hotel, ternyata hampa apabila Hadi Awang langsung tidak datang, malah Anwar sebaliknya diarahkan ke Marang.

Hadi Awang dikatakan tidak berpuas hati dengan Anwar Ibrahim yang pandai mengarah itu ini dan kemudian membelakangi PAS dalam segala hal, termasuklah KAJANG MOVE.