Selasa, Ogos 05, 2014

Wajah sebenar sahabat 'sekatil' Pas?


Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bersama-sama sekutunya yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerang Pas habis-habisan. Pelbagai tuduhan mereka lemparkan terhadap parti itu termasuklah pengkhianat, pembelot dan perkauman.

Segalanya hanya kerana dalam Pas sendiri ada 'pengkhianat' dan 'pembelot' yang sanggup melanggar prinsip kerahsiaan dalam berjemaah apabila membocorkan perbincangan dalam aplikasi WhatsApp kepada umum.

Walaupun ia sekadar satu perbincangan dan bukan keputusan namun pandangan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki seolah-olah diterima sebagai satu pendirian rasmi parti tersebut.

Justeru bagaikan 'kera kena belacan' maka muncullah 'wira-wira' termasuk dalam kalangan NGO yang menyerang Pas. Mereka cuba memberi tekanan kepada Pas supaya mengambil tindakan ke atas Dr. Mohd. Zuhdi. Ini kerana pada tafsiran mereka, beliau seolah-oleh sudah melakukan satu dosa besar kepada pakatan pembangkang dan mengaitkan pandangan beliau dengan isu perkauman.

Puak-puak ini adalah antara golongan yang terpekik terlolong di jalanan bagi menuntut keadilan dan mahu pelaksanaan demokrasi yang lebih telus tetapi apakah kedua-dua perkara ini terpakai dalam isu melibatkan Dr. Mohd. Zuhdi?

Sudah pasti tidak! Puak-puak itu termasuklah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Pengerusi Bersih 2.0, Marina Chin Abdullah dan Setiausaha Agung Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook menunjukkan wajah sebenar mereka terhadap Pas.

Tanpa mengambil kira segala pengorbanan Pas dalam menjayakan perjuangan pakatan pembangkang termasuk turun ke jalanan bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, ketiga-tiga pihak itu mengecam Pas semahu-mahunya. Malah mereka juga tergamak menuduh Pas parti perkauman hanya kerana Dr. Mohd. Zuhdi bercakap soal kedudukan kuasa orang Melayu dan Islam dalam WhatsApp tersebut.

Sudah terbuktilah kini, PKR, DAP dan Bersih seolah-olah melihat Pas hanyalah alat dan 'pak turut' kepada segala kehendak dan perancangan mereka. Mereka tidak mahu Pas bercakap, merancang atau membuat matlamat apa-apa khususnya berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam.

Mereka mahu Pas mengikut rentak politik yang disusun oleh PKR melalui perancangan Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipersetujui oleh DAP. Bagi PKR, DAP dan NGO yang bersekongkol dengan mereka, Pas perlu dilayan ibarat 'suruh duduk, duduk... suruh berdiri, berdiri.' Oleh itu di manakah maruah Pas sebagai sebuah parti paling kanan dalam pakatan pembangkang dan mempunyai sejarah cukup hebat dalam politik negara serta dipimpin oleh golongan ulama?

Dr. Mohd. Zuhdi yang terkenal dengan sikap lantangnya mengkritik pendekatan politik Anwar memberi pandangan secara ikhlas berhubung kedudukan Pas. Malah pandangan beliau itu merupakan sentimen yang turut bertebaran di peringkat akar umbi, oleh itu kenapakah ia begitu dipandang negatif oleh PKR, DAP dan Bersih?


Kenapakah mereka takut sangat apabila ada pemimpin-pemimpin Pas mempunyai hasrat untuk bekerjasama dengan UMNO demi kuasa politik orang Melayu dan Islam? Kalau baru sekadar perbincangan dalam WhatsApp pun pemimpin-pemimpin PKR dan DAP sudah 'meroyan tidak tentu hala', bagaimana pula jika ia benar-benar berlaku?

Apa yang melucukan dalam keghairahan mengkritik Pas, Marina Chin Abdullah berkata, "Pas mengkhianati idea mereka sendiri apabila menyentuh isu perkauman. Parti itu nampaknya lupa kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka."

Marina Chin ternyata membuat kenyataan tanpa mengkaji dahulu apa isu sebenar yang memungkinkan berlakunya perbincangan dalam WhatsApp melibatkan Dr. Mohd. Zuhdi.

Yang melupakan kepentingan rakyat bukannya Pas tetapi pemimpin-pemimpin PKR yang siang, malam, pagi, petang seolah-olah tiada agenda lain, selain mahu menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kerusi Menteri Besar Selangor.

Dan kalau mahu bercakap soal kepentingan rakyat, kenapakah Marina Chin tidak bertanya kepada Anwar dan PKR, layakkah isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Abdul Khalid? Kenapakah Marina Chin tidak mempersoalkan layakkah PKR menentukan siapa Menteri Besar Selangor sedangkan kerusi parti itu di Dewan Undangan Negeri kurang berbanding Pas? Sebagai orang yang kononnya memperjuangkan hak rakyat melalui pilhan raya, kenapakah Marina Chin tidak mencadangkan supaya kerusi Menteri Besar Selangor diserahkan kepada Pas memandangkan rakyat memberi mandat lebih banyak kepada parti itu berbanding PKR?

Tumpang semangkuk

Lebih melucukan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pula 'tumpang semangkuk' apabila menggesa Dr. Mohd. Zuhdi memohon maaf secara terbuka kepada penyokong pakatan pembangkang kerana dianggap mengeluarkan pandangan bersifat rasis dan ekstrem.

Kenyataan Tony Pua itu bertaraf 'Maharaja Lawak Mega' - penulis tidak mahu menghuraikan apa-apa biarlah kita memikir dan menilai sendiri layakkah orang seperti Tony Pua bercakap sedemikian kepada Pas.

Namun begitu apa pun kecaman pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Bersih terhadap Pas tidak penting. Apa yang lebih utama ialah pendirian kepimpinan Pas yang akan bermesyuarat pada 10 Ogos ini. Isu Dr. Mohd. Zuhdi sudah mendedahkan wajah sebenar sahabat-sahabat Pas.


Ternyata berdasarkan kenyataan yang dibuat, mereka langsung tidak pernah mahu menghormati pendirian Pas, jauh sekali menerima perjuangan Islam Pas. Mereka hanya mahu memastikan Pas berada dalam pakatan pembangkang demi kepentingan politik mereka dan apabila cita-cita itu tercapai, belum tentu Pas akan dilayan dengan sewajarnya.

Sememangnya, tiada siapa berhak untuk memaksa Pas keluar pakatan, malah Pas boleh sahaja terus berada dalam kerjasama tersebut kalau merasakan ia akan membawa keuntungan politik kepada mereka tetapi janganlah membiarkan parti yang melaungkan perjuangan Islam itu dihina. Jangan merelakan parti yang diasaskan oleh golongan ulama dilayan bagaikan 'melukut di tepi gantang' dan jangan benarkan mana-mana pihak melayan Pas seperti 'pak turut'.

Kepimpinan Pas perlu bertegas dalam soal ini, jangan tunduk kepada desakan supaya tindakan diambil ke atas Dr. Mohd. Zuhdi tetapi ambillah tindakan tegas kepada 'pengkhianat' dan 'pembelot' yang membocorkan perbincangan melalui WhatsApp kepada umum.

Pemimpin yang bertindak demikian seribu kali lebih bahaya daripada Dr. Mohd. Zuhdi. Sekurang-kurangnya beliau bercakap dari segi kepentingan politik Pas, tetapi orang yang menyebarkan perbincangan melalui WhatsApp tersebut ibarat 'musuh dalam selimut' dan 'gunting dalam lipatan' bagi Pas.

Oleh itu kepimpinan Pas perlu benar-benar berhati-hati dalam soal ini, apa pun tindakan atau keputusan yang hendak mereka lakukan maka ia harus berpaksikan kepada mempertahankan maruah Pas sebagai parti yang berteraskan kepada perjuangan Islam.

Dan kepimpinan Pas tidak boleh membiarkan orang luar terutamanya mereka yang sudah terang-terang menentang perjuangan Islam Pas mengajar mereka bagaimana hendak mendisiplinkan pemimpin-pemimpin parti itu.

Untuk sekelian kalinya, buktikanlah Pas ialah parti bermaruah, Pas - parti bermartabat dan Pas - parti paling berakhlak serta paling ampuh berbanding PKR dan DAP. Berikut pandangan penganalisis politik Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang harus difikirkan oleh Pas.

''Malang buat Pas yang hanya melukut di tepi gantang. Hanya berputih mata melihat pengorbanan mereka ke atas parti dan agenda Islam hanya untuk memuaskan selera politik Anwar, PKR dan DAP. Pas hanya menelan air liur tetapi rakan-rakannya yang lain sedang rakus menjamu selera politik. Mahu tunggu apa lagi Pas?"

Bagi penulis, jawapannya ada dalam sanubari pemimpin dan ahli Pas yang benar-benar berjuang untuk memartabatkan orang Melayu dan menegakkan Islam.

Oleh : Zulkifly Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: