Selasa, Ogos 26, 2014

Mampukah imej dan maruah Pas dipulihkan?


Hari ini jika diizinkan Allah SWT, segala teka-teki tentang kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar (MB) Selangor akan diketahui.

Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin teruja kerana merasakan Presiden mereka, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini dilihat sekadar 'penghias organisasi' bakal menggantikan Abdul Khalid.

Walaupun dalam hati kecil, mereka memahami Wan Azizah tidak layak untuk menduduki jawatan yang cukup penting di Selangor itu, namun disebabkan atas kehendak Anwar Ibrahim, mereka terpaksa akur.

Tambahan pula, mereka melihat tiada apa-apa lagi halangan untuk Wan Azizah menjadi MB Selangor memandangkan beliau mendakwa disokong oleh 30 ADUN melalui satu akuan bersumpah.

Tetapi mereka tidak harus lupa, pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan DAP hanya berhak mencalonkan nama sahaja, kata putus terletak di bawah budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda mempunyai kuasa mengikut undang-undang tubuh negeri sama ada hendak memperkenan atau tidak pencalonan yang dibuat oleh parti-parti yang terlibat.

Namun, walau siapa pun yang menjadi MB Selangor ia tetap tidak mampu memadam maruah Pas yang tercalar sepanjang kemelut itu berlaku.

Walaupun Pas cuba menunjukkan mereka mempunyai sedikit kebebasan dengan turut mencalonkan Azmin Ali tetapi kepimpinan parti itu mempunyai tanggungjawab berat bagi memulihkan parti itu yang kini cukup popular dengan gelaran 'PPU' -Parti Pusingan U.


Sekali lagi perlu ditegaskan ia bukanlah salah kelompok ulama yang berada dalam parti tersebut tetapi ia akibat keghairahan segelintir kelompok bukan ulama yang terlalu 'berkiblatkan' kepada Anwar, PKR dan DAP.

Kelompok ini semakin menampakkan wajah sebenar mereka dan ia seolah-olah 'menjelma' sepanjang krisis di Selangor berlaku.

Menyedari bahaya inilah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan secara terbuka menegur segelintir pemimpin yang hanya berselindung di sebalik perjuangan Pas namun sebenarnya tidak setia dan menyokong kumpulan lain.

Tegas Nasrudin, perjuangan sebenar memerlukan istiqamah, iaitu aktif dan komited berdasarkan kasih sayang kepada jemaah bukannya secara bermuka-muka atau melibatkan diri dalam jemaah tetapi hati bersama kumpulan lain.

Persoalannya mampukah kepimpinan Pas menyingkirkan kelompok seperti itu yang dianggap hanya memakai kopiah dan menyarung baju Pas tetapi hati lebih PKR daripada PKR dan lebih DAP daripada DAP?

Perlu diingat kelompok ini sudah lama bertapak dalam Pas dan mereka hanya menunggu masa sahaja untuk menguasai Pas seterusnya memastikan Pas benar-benar berada di bawah telunjuk PKR dan DAP.

Seorang penulis blog pro-Pas secara terus-terang mencoretkan bahaya yang sedang menanti Pas jika gelombang pemimpin seumpama itu tidak disekat.

"...(mereka) sudah mula merangka untuk merampas kedudukan yang lebih penting iaitu Presiden. Manakala peranan Mursyidul Am Pas pula akan dikecil dan dikurangkan. Malah sudah ada perancangan untuk menjadikan Mursyidul Am hanyalah sebagai simbol semata-mata tanpa sebarang peranan mahupun kuasa berbanding sekarang."


Berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis melalui rakan-rakan dalam Pas, mereka mengakui perancangan itu sememangnya boleh berlaku jika ahli-ahli Pas terus leka dan tidak menyedari ancaman tersebut.

"Masalahnya, kepimpinan dan ahli Pas terlalu ingin berpegang kepada tahaluf siyasi. Pegangan inilah yang mewujudkan keberanian kepada segelintir pemimpin Pas yang 'berkiblatkan' kepada PKR dan DAP untuk menjayakan agenda mereka.

"Kalaupun hendak berkawan dengan kedua-dua parti itu, janganlah sampai maruah Pas tergadai dan inilah yang terjadi sekarang apabila Pas tidak konsisten dalam menolak Wan Azizah sebagai MB Selangor secara total," kata seorang pemimpin Pas ketika dihubungi.

Di peringkat akar umbi Pas, mereka tertanya-tanya kenapa kepimpinan Pas seolah-olah terlalu tunduk kepada kehendak PKR dan DAP melalui bantuan segelintir pemimpin Pas sendiri.

Hujah kononnya pendirian Pas dalam isu MB Selangor menunjukkan parti tersebut tidak mahu mengkhianati sekutunya hanyalah alasan dangkal kerana menegakkan pendirian dan prinsip sendiri, bukanlah satu pengkhianatan sebaliknya demi mempertahankan maruah sendiri.

Sudah ada andaian Pas kini hanya dilihat pelayan yang memberi khidmat kepada PKR dan DAP. Mereka berada di bawah telunjuk kedua-dua parti itu dan dalam jangka panjang akan berada dalam pelukan kekuasaan PKR dan DAP.

"Ada yang berkata, kita tidak boleh terlalu prejudis dengan PKR dan DAP, bahkan kita mesti menerima mereka dengan sepenuh hati kerana mereka telah membantu Pas.

"Itu mimpi yang seringkali dimomok-momokkan oleh para pemimpin PKR dan DAP memandangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya.


"Tidak ada cara bagi kita jikalau mahu menguatkan jemaah ini, melainkan menghapuskan terus golongan pengkhianat dan bermuka-muka. Kita sudah biasa kalah dan tidak mengapa untuk kita kalah lagi. Sebaliknya kita sudah biasa menang mempertahankan pendirian dan maruah kita. Justeru, mengapa kita harus biarkan pencabulan maruah dilakukan oleh golongan pengkhianat tersebut.

"Mereka tidak seharusnya dibiarkan berada di dalam jemaah ini. Walaupun mereka mungkin memegang beberapa kerusi DUN dan Parlimen, kewujudan dan kemenangan mereka sebenarnya tidak mendatangkan sebarang erti kepada Pas. Apa guna kita menang angka dan jumlah kalau kita sebenarnya ditarik hidung dan dipaksa menyembah pihak lain."

Kenyataan itu sememangnya tepat kerana berbanding PKR dan DAP, Pas jauh lebih berwibawa mempunyai ramai ahli dan mencatatkan rekod cemerlang dalam arena politik tanah air.

Tetapi jumlah yang ramai itu sekarang sekadar menjadi 'hamba politik' kepada PKR dan DAP manakala rekod cemerlang pula semakin tercalar akibat politik 'pak turut' yang diamalkan oleh Pas.

Kepimpinan Pas mempunyai tanggungjawab berat untuk memulihkan maruah parti tersebut yang tercalar namun janganlah menaruh harapan tinggi kerana sudah terbukti sebelum ini, ketegasan dan keberanian Pas akan tersimpan rapi di dalam jubah dan kopiah apabila berhadapan dengan PKR dan DAP.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: