Sabtu, Ogos 09, 2014

Reformasi demi enam juta rakyat Selangor?


Dia masih ingat suasana di ibu negara sekitar lewat 1990-an dahulu yang pernah dicemari banyak demonstrasi jalanan bertujuan menjatuhkan kerajaan ketika itu.

Mana mungkin Ramlan Abu Bakar, 51, boleh lupa kerana dialah salah seorang perancang utama aktiviti tersebut bersama bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor.

Masih terngiang-ngiang di telinganya pesanan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail supaya dia mengatur rancangan untuk menghuru-harakan negara demi menebus maruah suaminya, Anwar Ibrahim yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana didakwa meliwat bekas pemandu peribadinya, Azizan Abu Bakar.

Merosakkan kemudahan awam, membakar kenderaan, merusuh, mencabar anggota polis secara kekerasan, semuanya itu sanggup dilakukannya atas nama keadilan kononnya.

Keluar masuk lokap sudah lali baginya umpama peribahasa, alah bisa tegal biasa.

Ketika itu, dia yang merupakan Bendahari PKR Cabang Bukit Bintang (kini masih lagi ahli parti) turut aktif merekrut kader-kader baharu bagi mencetuskan suasana kacau-bilau di jalan-jalan utama sekitar Kuala Lumpur dengan pelbagai perbuatan ala samseng.




"Bukan susah nak merekrut orang ketika itu kerana emosi rakyat begitu tinggi. Rakyat dalam keadaan teruja untuk menukar kerajaan.

"Tugas saya lebih kepada mencetuskan suasana huru-hara. Itu kepandaian saya. Itu sumbangan tidak berbelah-bahagi saya kepada parti," katanya kepada wartawan.

Bagaimanapun, selepas Anwar dibebaskan daripada hukuman penjara kerana meliwat, pejuang-pejuang sepertinya mula diketepikan.

"Kak Wan (Wan Azizah) memang manusia hipokrit. Waktu susah kami yang dicari tapi apabila senang, kami dipinggirkan begitu sahaja.

"Kami sanggup berpanas, berhujan, kena ketuk kepala tapi orang Khalid (Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang naik (diberi kedudukan baik dalam parti)," jelasnya kecewa.


Merasakan dirinya telah diperdaya semata-mata untuk memenuhi agenda peribadi individu tertentu, Ramlan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang mana dirinya adalah Presiden bagi memastikan kebajikan rakyat di bawah pentadbiran kerajaan PKR Selangor terbela.

Mana-mana pemimpin khususnya daripada PKR yang dilihat menzalimi atau menindas rakyat maka akan diperbetulkan oleh Reformis.

Abdul Khalid tidak terkecuali daripada menjadi 'mangsa' Reformis, antaranya apabila kerajaan negeri menaikkan kadar sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) semasa mula-mula mentadbir dahulu.

Bukan setakat berdemontrasi bagi mendesak sewa PPR tidak dinaikkan, malah Reformis lebih agresif dengan menubuhkan skuad berani bogel untuk 'menyerang' majlis-majlis yang dihadiri Abdul Khalid.


Tindakan Reformis itu ternyata memberi kesan positif apabila kerajaan negeri memutuskan penghuni PPR yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan boleh membayar sewa pada kadar lama.

Kini kemelut politik di Selangor kembali meruncing gara-gara kegilaan Anwar mahu memberikan jawatan Menteri Besar kepada isterinya.

"Anwar sekarang dilihat cukup terdesak. Langkah Kajang adalah perancangannya. Dia nak jadikan Wan Azizah sebagai boneka.

"Dia sedang bersiap sedia jika rayuannya terhadap hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008 ditolak, dia nak elak. Dia akan gunakan platform Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

"Dia juga akan cuba menggagalkan projek-projek mega di Selangor seperti pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, sistem Transit Aliran Massa (MRT) supaya Kerajaan Pusat tunduk kepada desakannya. Itu senjata dia supaya tuduhan meliwat boleh ditarik balik. Ini yang kita nampak," katanya.


Menurutnya, isu-isu di Selangor sebenarnya membabitkan masalah peribadi Anwar dan rakyat dijadikan kambing hitam sehingga terpaksa menanggung kesan buruk.

Dia menambah, Anwar tidak akan peduli sekiranya rakyat menderita asalkan matlamatnya tercapai. Itu yang merisaukan Ramlan sekarang.

Sehubungan itu, Reformis sekarang tiada pilihan melainkan melawan hasrat Anwar tersebut habis-habisan meskipun suatu ketika dahulu mereka pernah bergadai nyawa demi Ketua Umum PKR berkenaan.

Jika dahulu mereka berdemonstrasi di jalan-jalan bagi menjatuhkan kerajaan, selepas ini Reformis mungkin akan membuat perkara yang sama tetapi terhadap Anwar pula.

"Saya merayu semua rakyat tanpa mengira ideologi politik supaya bangkit membantah segala niat jahat Anwar itu.

"Ini soal faedah bersama, rakyat berbilang kaum dan agama. Ini bukan isu menteri besar semata-mata tapi nasib kira-kira enam juta rakyat Selangor dan imej negara," tegasnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: