Isnin, Ogos 11, 2014

Perjalanan seorang MB lawan munafik -- Siapakah munafik yang dimaksudkan itu?


Suasana pada malam Khamis lalu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor agak berbeza. Beberapa anggota Unit Amal kelihatan hilir mudik di kawasan rumah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Seksyen 7 Shah Alam itu. Lantunan takbir yang biasa dilihat dalam setiap acara Pas begitu mendominasi. Tiada langsung sorakan reformasi.

Pemimpin PKR yang hadir pada majlis Solat Hajat Perdana - Mempertahankan Kerajaan Selangor itu boleh dibilang dengan jari. Kalau hadir pun yang ada kaitan dengan jawatan dalam kerajaan negeri. Acara itu lebih kepada majlis anjuran Pas untuk menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor. Yang berucap selain Abdul Khalid ialah tokoh-tokoh Pas negeri.

Sungguh ironi, Abdul Khalid terpaksa melawan kemunafikan partinya sendiri yang sebelum ini begitu memuja-muja malah mengagung-agungkan beliau sebagai menteri besar contoh. Sungguh ironi, Pas pula yang terpaksa membela Abdul Khalid yang kini tidak lagi mempunyai parti untuk bernaung setelah dipecat berkuat kuasa serta-merta semalam.

Mungkin sudah begitu resam perjuangan Pas. Parti ini bermatian-matian membela Penasihat PKR, Anwar Ibrahim daripada apa yang mereka sebut sebagai ketidakadilan dan kezaliman. Sekarang, Pas membela pula Abdul Khalid yang mahu disingkirkan oleh Anwar secara tidak adil dan zalim.


Benar kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menasihatkan Abdul Khalid tentang kumpulan hipokrit atau munafik politik yang kini sedang melingkari perjalanan beliau sebagai seorang menteri besar. Itulah juga yang ditekankan oleh Abdul Khalid dalam ucapannya pada malam itu.

Bijak politik Abdul Khalid. Selain dilihat dekat dengan Sultan Selangor, beliau sentiasa berdampingan dengan pemimpin kanan Pas terutama golongan ulama.

Semasa Ramadan lalu, Abdul Khalid turut mengadakan pertemuan penuh mesej dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau pula sentiasa mempotretkan dirinya sebagai menteri besar prorakyat bukan proparti.

Intipati pertemuan

Kali ini, ADUN Pelabuhan Klang ini mendedahkan intipati pertemuannya dengan Nik Abdul Aziz pada hari ketiga Aidilfitri itu, dalam satu majlis bernuansa agama di kediaman rasmi beliau. Abdul Khalid mahu khalayak mengetahui bahawa beliau sedang diperangi oleh kumpulan munafik.

"Saya ingat nak membawa senjata untuk habiskan munafik," kata Abdul Khalid sambil menambah, tindakan itu tidak diteruskan selepas mendapat nasihat daripada Nik Abdul Aziz agar bersabar dan tidak memalukan mereka yang sedang memeranginya sekarang.



Dalam menghadapi serangan PKR dan sebahagian pemimpin Pas dan DAP, Abdul Khalid menggunakan strategi korporat. Beliau tidak menyerang atau mengugut balik, walaupun sebagai seorang menteri besar dan pimpinan kanan PKR, Abdul Khalid tentu tahu rahsia, aib dan noda parti itu.

Tetapi beliau tidak dedahkan segala keburukan mahupun aib parti dan pemimpin. Beliau patuhi nasihat Nik Aziz, mentor Pas yang masih berpengaruh itu.

Abdul Khalid melawan dengan cara orang korporat menyelesaikan krisis atau masalah - berdasarkan peruntukan undang-undang parti mahupun undang-undang tubuh kerajaan negeri. Jika mengikut undang-undang, jalan yang bakal ditempuh Anwar dan PKR memang tidak mudah.

Setelah menyifatkan surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin PKR sebagai cacat, Abdul Khalid menghantar surat peguam bagi mengingatkan bahawa lembaga itu yang memecat beliau semalam tidak boleh membincangkan kedudukannya.


Abdul Khalid mahu menghantar isyarat beliau tidak mudah diperkotak-katikkan dan akan menggunakan saluran undang-undang untuk mempertahankan kedudukannya. Persis seperti yang Anwar pernah lakukan semasa dipecat daripada UMNO dahulu. Tetapi bezanya, ini jawatan yang melibatkan kuasa Dewan Undangan Negeri dan Sultan, bukan sekadar parti.

Dari segi parti, Abdul Khalid dianggap bukan lagi menteri besar. Tetapi dari segi undang-undang beliau masih seorang menteri besar yang sah. Menteri besar hanya boleh dipecat oleh Sultan Selangor atau melalui undi tidak percaya DUN.

Dalam keadaan begini, Abdul Khalid masih dalam kedudukan menang tetapi perjalanannya semakin pendek. Ternyata melawan munafik politik dengan senjata sabar bukanlah kerja mudah. Bertambah berat kerana gerombolan munafik ini sudah terlalu taksub sehingga sanggup menghalalkan apa sahaja.

Yang jelas rugi dan menjadi mangsa ialah rakyat Selangor. Kontroversi kerusi Menteri Besar Selangor ini bakal menjadi bertambah rumit setelah Abdul Khalid dipecat daripada parti. Tiada penyelesaian mudah.

Dan, kita akan terus melalui fasa pertengkaran politik yang panjang kecuali kita sepakat untuk memadamkan riwayat politik seorang pemimpin itu. Beliaulah punca segala kemunafikan politik ini.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya melihat ini seakan muslihat politik untuk menyelamatkan Anwar dari semua rahsianya dari dibocorkan. Muslihat PAS lebih licik.