Khamis, Ogos 14, 2014

Pakatan Rakyat (PR) Yang Haram Ibarat Retak Menanti Belah?

Ketua Umum PKR(KETUM), Anwar Ibrahim berkata sesuatu kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali di pekarangan Ibu Pejabat PKR sebelum meninggalkan bangunan itu, semalam.

Nasib PR boleh diibaratkan seperti retak menanti belah sekiranya Pas terus menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, 17 Ogos ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir berkata, Pas perlu membuat keputusan dengan bijak sama ada mahu mengutamakan kepentingan Abdul Khalid sebagai wakil bebas atau kesepakatan PR.

“Ini satu pilihan penting bukan saja bagi menentukan nasib Pas, tetapi juga PR. Jadi, Pas perlu membuat keputusan dengan berani dan bijak, bukan atas kepentingan parti.

“Jika mereka pilih Abdul Khalid, ia akan menjadi permulaan bagi pengakhiran PR kerana tiada lagi kesepakatan. Malah, Pas juga akan berdepan masalah kerana parti ini tidak boleh pergi jauh tanpa bantuan parti lain,” katanya.


Wajah KETUM semalam

Sementara itu, pakar geostrategi Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azmi Hassan berkata, kehadiran empat Exco Pas di mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor semalam, memberi petanda awal parti itu akan terus memberi sokongan kepada Abdul Khalid selepas mesyuarat pada 17 Ogos ini.

Menurutnya, tindakan empat Exco berkenaan yang tetap menghadiri mesyuarat walaupun dilarang pucuk pimpinan PR dari PKR dan DAP, kelmarin, turut menunjukkan Pas sebagai parti yang sanggup menongkah arus dan teguh pendirian.

“Saya tidak melihat tindakan empat Exco itu melanggar arahan parti kerana Pas telah menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid. Malah, ia menunjukkan Pas tetap dengan pendiriannya menyokong Abdul Khalid walaupun mendapat tentangan rakan PKR dan DAP.

“Ini sekali gus memberi bayangan Pas akan memutuskan untuk menyokong Abdul Khalid dalam mesyuarat mereka, 17 Ogos ini. Dengan alasan Abdul Khalid tidak terlibat dalam sebarang salah laku, tidak mustahil juga Pas akan berhabis-habisan menyokong beliau walaupun PKR mencadangkan calon lain selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.

Tak mustahil ada Adun PKR sokong Khalid

Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, Azmi berkata, semua 15 Adun Pas juga dijangka akan memberikan sokongan kepada Abdul Khalid sekiranya sidang Dun kelak mengadakan undi tidak percaya terhadap beliau.

“Di dalam dewan, saya percaya Adun Pas akan bersandar kepada keputusan parti.

“Namun, perkara sebaliknya boleh terjadi kepada PKR kerana mungkin akan ada dalam kalangan Adunnya memberi sokongan kepada Abdul Khalid,” katanya.

Mengenai prosedur melakukan undi tidak percaya, menurutnya, keputusan terletak kepada Speaker Dun, Hannah Yeoh untuk melakukan undian secara rahsia atau terbuka.

“Pengundian rahsia akan dibuat secara bertulis tanpa meletakkan nama Adun. Manakala undi terbuka, kiraan dibuat secara angkat tangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan PKR akan terus berusaha untuk memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membuktikan Abdul Khalid tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

Oleh itu katanya, tindakan yang boleh dilakukan Abdul Khalid dalam tempoh tiga bulan sebelum Sidang Dun bermula, November ini ialah melantik barisan Exco baharu bagi melicinkan pentadbiran.

“Beliau perlu segera lantik Exco baharu kerana agak sukar mentadbir dengan hanya empat Exco. Beliau boleh memilih Exco daripada Adun Pas yang lain atau Adun BN yang telah menyatakan sokongan kepadanya,” katanya.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad semalam berkata, parti itu tidak akan teragak-agak untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan jika Abdul Khalid memutuskan untuk melantik ahli Umno sebagai Exco baharu. -SH

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: