Selasa, April 02, 2013

Yusri : Keputusan Dr Sidek Tinggalkan Anwar Tepat!



Keputusan pendakwah dan ilmuan tersohor tanah air, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba meninggalkan bekas sahabat karibnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu keputusan tepat dan wajar dikaji oleh rakyat Malaysia apa sebab atau puncanya beliau berbuat demikian.

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr. Yusri Mohamad berkata, beliau percaya keputusan Sidek meninggalkan Anwar yang sudah dikenalinya hampir 40 tahun disokong oleh fakta kerana tiga tahun beliau ‘berkelana’ mengkaji kebenaran mengenai salah laku moral.

Katanya, bukan satu tindakan mudah untuk mana-mana pihak meninggalkan pemimpin politik seperti Anwar, apatah lagi jika telah sekian lama bersahabat baik dan sudah tentu ada faktor pendorong cukup kuat sehingga memungkinkan Sidek mengambil pendirian seperti itu.

“Saya mengenali rapat Sidek kerana kami sama-sama membesar dalam ABIM. Beliau cukup dihormati kerana ketinggian ilmu serta sifat tawaduk. Saya mengakui, saya antara individu pertama menemui Sidek dalam pencariannya mengkaji kebenaran mengenai moral Anwar.

“Kami berbincang mengenai kes liwat membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan juga masalah qazaf. Kes Mohd. Saiful berbeza dengan kes 1998 kerana ketika itu tuduhan liwat dibuat pihak ketiga tetapi dalam kes ini mangsa sendiri yang membuat laporan polis terhadap Anwar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Yusri mengulas mengenai pendedahan Sidek bahawa keruntuhan moral Anwar merupakan satu daripada tiga faktor utama mengapa beliau membuat keputusan meninggalkan Ketua Pembangkang itu selepas menemubual seramai 28 saksi hidup.

Mengenai qazaf kata Yusri, sesuai dengan latar pendidikannya dalam syariah, beliau menjelaskan kepada Sidek bahawa dalam kes tersebut, qazaf tidak sesuai sebaliknya perlu melihat bukti secara keseluruhan sesuai dengan zaman sekarang.

Beliau menambah, rakyat Malaysia perlu membuka mata mengapa individu-individu berintegriti tinggi seperti Sidek, bekas pengasas ABIM, Ismail Mina Ahmad dan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar akhirnya memilih untuk meninggalkan Anwar.

Tegasnya, adalah mustahil bagi individu-individu terbabit yang telah bersahabat dengan Anwar berpuluh tahun malah sanggup dipenjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akhirnya mengambil ketetapan meninggalkan Ketua Pembangkang itu jika tiada sebab musabab.

“Mereka merupakan tokoh berintegriti tinggi. Jangan kita mudah kaitkan setiap pendedahan yang dibuat kononnya mereka ini dibeli.

“Bukan semua orang boleh dibeli. Saya mengenali mereka dan yakin apa yang diceritakan adalah demi agama, bangsa serta negara,” ujarnya!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: