Selasa, April 09, 2013

PRU -13 : Misi DAP 'bunuh' MCA?

Perhimpunan DAP di bawah sebuah pokok yang turut dihadiri oleh Lim Kit Siang (tiga dari kanan) di pekan Yong Peng, Johor, Rabu lalu.

Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 meninggalkan pengalaman paling pahit kepada MCA apabila parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) itu sekadar memenangi 15 daripada sejumlah 40 Parlimen yang ditandingi.

Berikutan kekalahan teruk, parti yang mewakili kaum Cina itu membuat janji bahawa wakilnya tidak akan menganggotai Jemaah Menteri sekiranya prestasi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini lebih teruk lagi.

Ini bermakna sekiranya BN diberi mandat baharu dalam PRU-13 tetapi MCA menang kurang daripada 15 kerusi, muka-muka parti itu mungkin tidak akan muncul dalam senarai anggota Kabinet yang bakal diumumkan. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perwakilan orang Cina dalam kerajaan.

Keadaan akan bertambah rumit jika dua lagi parti komponen berasaskan masyarakat Cina mengalami nasib yang sama. Pada 2008, Gerakan berdepan krisis survival sendiri apabila sekadar menang dua kerusi Parlimen iaitu Gerik di Perak dan Simpang Renggam di Johor.

Di Sarawak pula, prestasi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri 2011 juga tidak memberangsangkan apabila parti itu tewas di kebanyakan kerusi majoriti pengundi Cina.

Lebih getir lagi apabila MCA, Gerakan dan SUPP perlu berdepan dengan DAP yang juga majoriti ahlinya pengundi Cina dalam pilihan raya kali ini. Kalah atau menang ketiga-tiga parti dalam kawasan yang dipertandingkan akan menentukan survival masing-masing dalam politik Malaysia.

Beban MCA memang berat. DAP dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampaknya sudah lama membentuk strategi untuk melenyapkan parti itu dari arena politik Malaysia. Petanda terkini ialah usaha meletakkan Lim Kit Siang untuk menentang MCA di kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor.

Seperti yang diperhatikan oleh penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad, usaha meletakkan Kit Siang di Johor merupakan strategi untuk 'membunuh' MCA. Johor merupakan kubu yang perlu ditembusi DAP kerana negeri tersebut menyumbang paling banyak kerusi Parlimen kepada MCA pada pilihan raya umum lalu.

Serangan di Gelang Patah hanya merupakan sebahagian daripada strategi melenyapkan MCA kerana selain Kit Siang, pakatan pembangkang telah pun menyediakan ramai 'calon payung terjun' untuk menentang MCA.

DAP umpamanya telah mengumumkan Liew Chin Tong yang sebelum ini bertanding di Pulau Pinang untuk ditukar ke Kluang, Johor untuk menentang sama ada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung atau Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu.

Di Bentong, Pahang pula, DAP sanggup memberi peluang kepada aktivis anti-Lynas, Wong Tack bertanding atas panji Roket bagi menentang Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Di Kedah, DAP juga meletakkan harapan yang tinggi untuk menyingkir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung daripada kerusi Parlimen Alor Setar yang dimenangi beliau pada 2008 dengan majoriti sangat tipis iaitu 184 undi.

Manakala di Pandan iaitu satu-satunya kerusi Parlimen yang dimenangi MCA di Selangor, PKR dijangka menghantar pengarah strateginya, Rafizi Ramli untuk 'menghalau' MCA secara habis-habisan daripada Selangor.

Keadaan di Perak turut dilaporkan getir apabila PKR dikhabarkan berkemungkinan menghantar bekas Ahli Parlimen Klang dan bekas ahli MCA, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew untuk menggempur Tanjung Malim.

Pemimpin nombor satu pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pula diajak untuk bertempur di Lumut yang disandang Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Tanjung Malim, Lumut dan Kampar merupakan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi MCA dalam pilihan raya umum 2008. Lumut dikategori sebagai kawasan berisiko tinggi kerana Cho Ha mempertahankan kerusi tersebut dengan sekadar 298 undi majoriti.

Lumut juga menjadi tumpuan kerana daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, dua daripadanya iaitu Sitiawan dan Pasir Panjang masing-masing disandang orang kuat DAP dan Pas iaitu Ngeh Koo Ham dan Mohamad Nizar Jamaluddin. Satu lagi DUN iaitu Pangkor disandang Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sekiranya percaturan 2008 dikekalkan, maka Lumut semestinya menjadi antara kawasan paling panas di Perak dengan melibatkan menteri, menteri besar, ketua DAP negeri dan kemungkinan ketua pembangkang sekiranya Anwar sanggup bertanding di situ.

Menjelang PRU-13, tidak sukar untuk melihat pakatan pembangkang terutamanya DAP sering mengeluarkan cabaran kepada BN. Kit Siang umpamanya mencabar Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk bertanding di Gelang Patah. Apabila hasrat itu tidak kesampaian, beliau memanjangkan cabaran itu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

Anak Kit Siang, Lim Guan Eng juga mengeluarkan seruan yang sama terhadap Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow untuk menemuinya di DUN Padang Kota.

Menariknya, daripada mencabar calon MCA dan Gerakan untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina, tidak nampak pula Kit Siang atau Guan Eng mencabar diri sendiri untuk bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Walaupun menggelar diri sebagai parti pelbagai kaum, DAP terpaksa akur bahawa sokongannya masih terhad kepada pengundi Cina. Amat sukar untuk mana-mana pemimpinnya untuk menang di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Berdepan calon-calon popular termasuk 'calon payung terjun' di kubu mereka, bukan calang-calang untuk MCA mempertahankan 15 kerusi Parlimennya iaitu Labis, Ayer Hitam, Kluang, Tebrau, Gelang Patah, Kulai, Tanjung Piai, Pandan, Kampar, Lumut, Tanjung Malim, Raub, Bentong, Alor Gajah, dan Alor Setar.

MCA juga perlu melipat ganda usaha untuk memperluaskan pengaruhnya di lebih banyak tempat dan antara kawasan yang dikatakan menawar peluang ialah Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, Selayang di Selangor dan Gopeng di Perak.

Tiada pilihan untuk MCA melainkan bertempur habis-habisan. Perjuangan MCA bukan sekadar demi survival parti berusia 64 tahun itu. MCA tidak boleh membiarkan Kabinet yang dibentuk jika BN diberi mandat baru tanpa wakil masyarakat Cina.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: