Isnin, April 15, 2013

PRU -13 : AWAS....Projek '2050' Kit Siang?


Sekadar ingat-mengingati!

Dunia bagaikan mahu berakhir kepada pakatan politik pembangkang, apabila seorang veteran politik bernama Lim Kit Siang kononnya mengambil tindakan nekad dan heroic untuk bertanding di sebuah negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Johor bukan negeri biasa. Johor adalah negeri yang melahirkan UMNO.

Kemampuan Kit Siang untuk mengepalai tsunami politik di Johor adalah satu gambaran kemenangan yang mahu DAP berikan kepada rakyat. Gelang Patah mahu digambarkan sebagai pentas 'neutral' untuk Kit Siang mengajar UMNO berpolitik.

Cita-cita Kit Siang memang tinggi. Luar biasa tinggi. Kit Siang mahu menampilkan diri sebagai 'Wong Fei-hung' di dalam kung- fu politik berlandskap baharu. Kit Siang nampak peluang yang sangat besar untuk meletakkan DAP dalam carta politik yang lebih tinggi. Kejayaan menarik undi 'urban' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijadikan model rujukan.

Yang penulis mahu nyatakan, kita jangan menganggap 'Projek Gelang Patah' dan 'Projek 2050' Kit Siang ini sebagai program politik jangka pendek. Pengundi dan rakyat di Johor kena buka mata dan faham bahawa Kit Siang sedang cuba untuk membuktikan naratif politik baharu bahawa Malaysia sudah bersedia menerima suatu konsep politik yang sebenar-benarnya terbuka.

'Projek Gelang Patah', 'Projek 2050' - yang dipelopori oleh Kit Siang mengajak pengundi muda untuk menerima naratif politik baru ala-Malaysian Malaysia yang DAP perjuangkan selama ini. Gelang Patah dijadikan satu platform baharu untuk membayangkan bahawa Malaysia sudah siap untuk memasuki fasa politik baru.


DAP nyata terbawa-bawa dengan kejayaan PRN Sarawak tidak beberapa lama dahulu yang membuktikan bahawa pengundi Cina sudah membuat keputusan. Walaupun apa yang dibawa oleh kerajaan, mereka sudah mengambil keputusan untuk memberikan kepercayaan kepada DAP.

Apa yang berlaku di PRN Sarawak bukanlah satu 'kejayaan pakatan secara keseluruhannya', namun ia membuktikan bahawa DAP adalah 'Wong Fei-hung' sebenar dalam politik pakatan. Silat Anwar kurang menjadi di Sarawak. Langkah Pas pun tidak seelok mana di Sarawak.

Apa buktinya? Data Suruhanjaya Pilihan Raya, membuktikan bahawa sewaktu PRN Sarawak, BN mendapat undi terbanyak dengan 372,379 undi, diikuti DAP (134,847), SNAP (15,663), PKR (117,100), Pas (9,719), PCM (2,895) dan Bebas (20,064).

Di dalam pakatan, yang paling mendapat untung daripada naratif politik baharu ini adalah DAP. PKR dapat laba politik di Sarawak, tetapi belum cukup besar. Pas, yang membawa imej Islam masih belum mampu keluar daripada 'wajah' politik lama. Undi untuk Pas masih lagi di bawah angka 10,000 di Sarawak.

Di dalam blog Lim Kit Siang sendiri, dia menyatakan keinginan, impian dan kemahuan politik untuk Malaysia mempunyai matlamat baru yang menjangkau 30 tahun selepas 2020. '2050' adalah angka baru buat Kit Siang. Apa yang Kit Siang impikan pada tahun 2050, boleh diringkaskan dengan retorik politik yang rencam.

Kit Siang bercakap tentang '2050' yang dihuni demokrasi yang 'hebat' - namun partinya sendiri tidak menghormati semangat demokrasi. Kit Siang bercakap tentang semangat 'Malaysia', sedang partinya sendiri tidak membuka ruang yang luas buat ahli berbangsa Melayu. Ia memerlukan kesalahan 'komputer' untuk meletakkan anak Melayu di pentas kepimpinan DAP.

Banyak lagi impian '2050' Kit Siang sebenarnya. Semuanya nampak seakan-akan sangat 'bersih' dan 'murni'. Hakikatnya, 'Projek Gelang Patah' tidak melambangkan apa yang Kit Siang inginkan. Kit Siang masih lagi bermain dengan naratif politik rasis dan usang. Yang baharu kepada Kit Siang hanyalah beberapa kerat orang muda di sekelilingnya yang mahu menggambarkan dia muda dan relevan.

Dalam pada bercakap tentang sebuah negara 'Malaysia' yang suci daripada asas perkauman, Kit Siang sendiri tidak mahu menjadi model untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu. Kit Siang masih lagi bermain dengan modul politik lama. Kit Siang masih lagi mahu bertanding di kawasan yang 'selamat' untuk politik peribadinya.


'Projek Gelang Patah' bukannya membawa niat politik yang beragenda besar seperti soal nusa dan bangsa. Projek ini hanyalah projek politik peribadi Kit Siang. Ego politik peribadi Kit Siang. Rakyat Gelang Patah, baik Cina ataupun Melayu sudah dibawa ke dalam percaturan politik peribadi - yang akhirnya dimurnikan dengan niat '2050'.

56,000 pengundi Cina; 36,000 pengundi Melayu; 14,000 pengundi India dan bangsa lain di Gelang Patah sudah dibawa ke dalam hala tuju politik peribadi Kit Siang. Ini bukan soal 'tsunami' politik. Ini soal Kit Siang ingin menjadi 'Wong fei-hung' politik DAP. Ini soal Kit Siang mahu tampil sebagai hero.

Penulis cukup yakin, pengundi di Johor tidak akan mudah dibeli dengan retorik politik peribadi Kit Siang. Kita semua tahu, bukan Gelang Patah sahaja yang DAP mahukan. Kita semua tahu, cita-cita DAP lebih besar daripada itu.

Jika analogi mudah Kit Siang bahawa 'Gelang Patah' adalah model Malaysia masa hadapan - dia tidak bersikap jujur. Kit Siang masih lagi bergelumang dalam politik lama. Masih rasis. Masih bergerak di jalur perkauman untuk memudahkan dirinya dikekalkan di tempat yang lebih tinggi.

Impian '2050' Kit Siang adalah alat untuk melembutkan agenda perkauman yang dihajatkannya di Gelang Patah. 52.4 % pengundi Cina di Gelang Patah perlu memilih sama ada untuk memberikan lesen besar untuk Kit Siang mengamalkan amalan politik jurasik; atau memberikan politik Johor dan Malaysia satu kesedaran baru.

'Projek Gelang Patah' mesti dijadikan projek khas pengundi Johor untuk menolak Kit Siang. Keyakinan, kesombongan, keangkuhan dan cita-cita tinggi DAP mesti diberikan jawapan yang jelas oleh pengundi.

Sepertimana Kit Siang pernah gagal dengan 'Projek Tanjung' - tidak ada salahnya Kit Siang diberikan markah gagal juga dengan 'Projek Gelang Patah'. Mungkin itu jalan tunggal untuk memastikan Malaysia tidak terus dibenihkan oleh DAP dengan politik rasis.

Waima apa pun, keputusan di P162 Gelang Patah; N48 Skudai dan N49 Nusa Jaya - akan menjadi penentu sama ada Kit Siang menjadi 'Wong Fei-hung'; atau tenggelam selamanya dalam 'jihad' politik yang kononnya boleh membantu Pas di Johor.

Suara Politik
Belantan

2 ulasan:

Ghazali berkata...

Sebelum apa-apa sebagai urutan ini, wahai para pengundi di Gelang Patah dan di Johor amnya, marilah kita sama-sama kuburkan manusia rasis ini dari senario politik Malaysia dan juga parti sehaluan dengannya ialah DAP, PAS dan PKR.

Unknown berkata...

Rasis tua ini tidak akan berjaya dan besar kepala begini rupa Kalau tidak ada orang Melayu yang masih tak sedar diri dan sanggup menjunjung bendera roket.
Melayu itu adalah pengikut TOTOK pkr dan pastinya pas. Ingat ya, pengikut totok sahaja. Yg lain, yg masih sudi menggunakan fikiran yang waras masih ada peluang untuk kembali ke pangkal jalan dan selamatkan bumi dan hak Melayu di negara yang bertauhid ini.