Benarkah cadangan membina terowong dasar laut di Pulau Pinang untuk mengatasi masalah kesesakan di Jambatan Pulau Pinang? Itu adalah persoalan utama yang mesti ditanyakan kepada kerajaan sementara DAP Pulau Pinang apabila berdegil untuk "meleburkan" RM6.3 bilion bagi projek mega itu.
Kesesakan di Jambatan Pulau Pinang bukan perkara baru. Semasa di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum jatuh ke tangan DAP pada 2008, kerajaan membina jambatan kedua yang dijangka boleh digunakan pada September depan.
Pembinaan jambatan kedua adalah lebih munasabah kerana belanjanya tidak sebesar pembinaan terowong yang akan menghubungkan Gurney Drive di pulau dengan Bagan Ajam di tanah besar sejauh 6.5 kilometer.
Projek itu diserahkan kepada Consortium Zenith BUGG yang dibentuk daripada lima syarikat iaitu Zenith Construction, China Railway Construction, Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi dan Juteras Sdn. Bhd.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkeras mahu meneruskan projek mega ini dengan alasan untuk mengurangkan kesesakan. Tetapi Guan Eng tidak membentangkan kapasiti yang dijangka menggunakan terowong itu selepas jambatan kedua digunakan.
Sekiranya kapasiti kenderaan yang menggunakan terowong mahal itu tidak mencapai tahap, ini adalah satu pembaziran. Ini duit rakyat yang dikutip daripada pelbagai cukai oleh kerajaan negeri. Suara rakyat mesti diambil kira kerana ini bukan duit kerajaan negeri.
Guan Eng dilihat mahu mencipta sejarah sama seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad membina Jambatan Pulau Pinang. Tetapi Dr. Mahathir ada alasan kukuh berdasarkan kajian oleh pakar mengenai kapasiti kenderaan yang akan menggunakan jambatan itu.
Malah Dr. Mahathir tidak membina jambatan itu untuk mencipta sejarah, jauh sekali sebagai umpan pilihan raya supaya rakyat nampak pemimpin mereka gah dengan projek mega. Tetapi lain dengan terowong kerana dibuat bertindih dengan jambatan kedua yang tentunya berperanan mengurangkan kesesakan.
Projek mega ini lebih kepada umpan pilihan raya untuk memperagakan kepada penduduk Pulau Pinang usaha kerajaan DAP mengatasi kesesakan. Tetapi hakikatnya terowong ini adalah saluran gas untuk memanjangkan hayat politik DAP di Pulau Pinang.
Pada masa yang sama projek ini dilihat dibuat dalam tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, pakar pengangkutan atau pakar alam sekitar. Kini sudah terbukti terowong ini menjadi janji yang dijaja dalam kempen Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13).
Bayangkan pembaziran yang akan berlaku sekiranya rakyat tidak bangun menentang projek mega ini apabila DAP "meleburkan" RM6.3 bilion sebagai belanja kempen untuk memastikan jangka hayat di Pulau Pinang.
Rakyat mesti disedarkan bahawa pembinaan terowong ini lebih kepada tujuan politik berbanding untuk memberi keselesaan lalu lintas di Pulau Pinang. Ini kerana ada sesetengah pihak melihat secara luaran di mana teorinya terowong boleh mengalih kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang. Tetapi bukankah kesesakan itu akan dialih apabila jambatan kedua dibuka kepada lalu lintas tidak lama lagi?
Jambatan kedua dijangka mampu mengurangkan kesesakan kenderaan di Jambatan Pulau Pinang apabila dibuka September depan.
Tuduhan DAP bahawa kerajaan pusat menentang pembinaan terowong kerana bimbang kutipan tol di jambatan kedua kurang sangat kebudak-budakan. Sekiranya Guan Eng benar-benar mahu mengurangkan masalah kesesakan, dia apa pilihan lain misalnya menggunakan satu lorong Jambatan Pulau Pinang untuk laluan Transit Aliran Ringan (LRT). Kenapa pilihan ini tidak ada dalam perancangan?
Keputusan
Dalam seminar anjuran Citizen Awareness Chant Group (Chant Group) di sebuah hotel di Pulau Pinang baru-baru ini, pakar perancangan bandar dari Sydney, Australia, Dr. Peter R. Jensen berkata, kajian terhadap sesuatu pembangunan itu perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil kerana kita harus pastikan pembangunan berkenaan akan memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau menganggap pembinaan terowong itu tidak mencapai kapasiti pengguna yang sepatutnya seperti yang berlaku Cross City Tunnel di Sydney. Akhirnya kerajaan terpaksa mengambil langkah menutup laluan lain untuk memaksimumkan penggunaan terowong itu.
"Pulau Pinang dan Sydney berkongsi masalah sama iaitu kepadatan dan pembangunan yang semakin pesat. Tetapi fizikal kedua-dua bandar ini tidak serupa kerana banyak faktor seperti geografi perlu dilihat dan dikaji," tegas Dr. Peter R. Jensen.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M Idris pula mendesak kerajaan sementara DAP membatalkan projek itu kerana dipercayai akan mendatangkan kerugian dalam jangka panjang.
Menurutnya, projek itu bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengatasi kesesakan lalu lintas dan kerajaan negeri mesti mengkaji pelbagai aspek terutama melibatkan keselamatan pengguna dalam pencemaran kepada alam sekitar.
Beliau juga mempersoalkan tindakan tergesa-gesa Guan Eng mahu membina terowong padahal jambatan kedua belum beroperasi untuk dinilai kapasiti lalu lintasnya.
Sementara itu pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah UiTM, Profesor Madya Ahmad Fuzi Arshad berkata, pembinaan terowong itu tidak relevan berdasarkan keperluan semasa. Ini kerana setiap perancangan yang dibuat perlu berdasarkan keperluan semasa.
Beliau membandingkan kapasiti lalu lintas Singapura - Johor Bahru lebih tinggi berbanding Pulau Pinang dan pakar pengangkutan boleh menjangkakan pertambahan kenderaan di atas jalan raya. Daripada kajian inilah diputuskan sama ada mahu membina jambatan atau terowong.
Kesimpulannya projek membina terowong ini menjadi satu pembaziran kerana jambatan kedua sudah dibina untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang. Nampaknya DAP Pulau Pinang sengaja mahu menafikan kesan pengurangan kesesakan dengan adanya jambatan kedua. Tujuannya lebih bersifat politik kerana jambatan kedua dibina oleh kerajaan BN ketika menerajui Pulau Pinang.
Rakyat tidak boleh membiarkan pembaziran dilakukan atas alasan kepentingan rakyat tetapi sebenarnya mempunyai maksud tersirat untuk menonjolkan imej DAP Pulau Pinang. Rakyat ada kuasa dan boleh menggunakan kuasa itu untuk menghalang isu kepentingan rakyat dijadikan modal politik.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan