Rabu, April 10, 2013

PRU -13 : Surat bapa Saiful kepada Agong?


Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mendedahkan surat ditulis oleh bapa Mohd. Saiful Bukhari kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, iaitu Yang di-Pertuan Agong pada 2010 berhubung kes liwat membabitkan anaknya.

Azwanddin berkata, surat bertarikh 14 Disember itu diterimanya melalui kiriman pos laju daripada individu tidak dikenali kelmarin.

Menurut beliau, surat itu jelas membuktikan kenyataan yang dibuat oleh Azlan Mohd. Lazim bahawa anaknya telah dipergunakan pihak tertentu adalah satu pembohongan yang hanya mahu menutup imej moral Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Surat yang dihantar itu telah memeranjatkan banyak pihak dan saya memutuskan untuk membongkar isi kandungannya bagi membuktikan kenyataan yang pernah dibuat oleh bapa Saiful Bukhari adalah satu pembohongan semata-mata.

"Melalui surat ini juga saya yakin bapa Saiful Bukhari telah disogok oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda politik supaya membuat kenyataan palsu semata-mata untuk membersihkan nama pemimpin pembangkang terbabit.

"Saya telah menyerahkan salinan surat itu kepada pihak polis sebagai bukti bagi menyiasat penipuan tersebut," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang di sini hari ini.


Laporan polis yang turut dibuat oleh Gerakan Ampang Bersatu yang mewakili 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh Ampang itu bertujuan meminta polis menyiasat mengenai dakwaan pembohongan yang dibuat oleh Azlan berdasarkan surat tersebut sebagai bukti.

Yang turut hadir di IPD Ampang ialah bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman.

Azwanddin yang juga bekas Exco Pemuda PKR memberitahu, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan dikemukakan dalam masa terdekat memandangkan terdapat unsur rasuah dalam kes itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Azlan telah mencemar institusi diraja dan kehakiman negara dengan berani memohon campur tangan istana.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: