Selasa, April 09, 2013

PRU -13 : Ambiga diselar kerana tutup mata isu pemilihan CEC DAP?


Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga diselar kerana tidak konsisten dalam memperjuangkan pilihan raya yang bebas serta adil kerana terus berdiam diri dalam isu pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP hujung tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin MIC, Tan Sri K.S. Nijhar berkata, Ambiga memilih untuk mendiamkan diri apabila berhadapan dengan isu pemilihan CEC itu meskipun didakwa terdapat kira-kira 700 perwakilan yang dinafikan hak mengundi.

Malah tegas beliau, CEC yang berlangsung itu juga mendapat pelbagai aduan seperti penipuan dalam proses pengundian, manipulasi undi dan perwakilan haram.

"Semua itu merupakan isu serius yang membabitkan pilihan raya yang adil serta bebas, tetapi Ambiga sebaliknya hanya diam seribu bahasa dalam pemilihan parti DAP tersebut.

"Sepatutnya, Ambiga meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat dan bertindak untuk menentang DAP. Sikap tidak konsisten Ambiga itu telah merosakkan kredibilitinya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keputusan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 itu menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih.

Tetapi selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjadualan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari sebagai salah seorang anggota CEC.

Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong. Beberapa ahli parti pula bertindak membuat aduan kepada ROS berikutan kebimbangan mereka terdapat unsur manipulasi dalam keputusan itu.

Mengulas lanjut, Nijhar turut memberitahu, beliau menghormati serta mengagumi mereka yang benar-benar memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bebas.

"Saya menghormati mana-mana individu memperjuangkan pilihan raya adil dan bebas, tetapi hanya kepada mereka yang tidak memilih bulu," kata beliau lagi.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: