Semua pengundi sudah dimaklumkan siapa lawan siapa dalam merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di kawasan masing-masing. Selepas penamaan calon sebelah pagi Sabtu lalu, maka bermula secara rasmi kempen parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perang kempen calon berlarutan selama 15 hari dengan penamatnya pada 5 Mei ini. Pelbagai strategi dan pendekatan perang akan digunakan untuk memenangi hati pengundi.
Namun perkara yang paling dibimbangi ialah penggunaan strategi halus dan taktik kotor untuk memperdaya fikiran dan keputusan pengundi. Watak dan sikap itu boleh dilihat apabila calon-calon yang sebelum ini mengetuai tunjuk perasaan dan mendakwa serangan di Lahad Datu, Sabah awal Mac lalu sebagai konspirasi UMNO, mahukan kempen berjalan dengan bersih.
Calon, penyokong dan jentera pilihan raya parti-parti politik akan memancing undi dengan apa cara pun. Kalau taktik itu boleh meyakinkan pengundi dan menolak calon lawan, maka cara itulah akan digunakan.
Antaranya kata seorang rakan yang juga Timbalan Presiden Kelab Belia Nusantara, Abu Bakar Jalal, dalam ceramah-ceramah pakatan selepas penamaan calon baru-baru ini, mereka dilihat terus memainkan isu-isu pendidikan dengan mengatakan dasar pendidikan negara kerap berubah-ubah.
Tindakan Menteri Pelajaran itu berdasarkan maklum balas orang ramai yang telah dijalankan melalui road show Pelan Pembangunan Pendidikan Negara di seluruh negara tahun lepas serta penerimaan memorandum beberapa NGO dan daripada pihak-pihak yang berkepentingan. Bukannya tindakan sesuka hati atau melulu.
Ramai tokoh pembangkang yang terpelajar dan daripada kalangan profesional berkelulusan dari universiti dalam mahupun luar negara juga adalah bukti keberkesanan dasar pendidikan negara sejak merdeka," kata Abu Bakar yang juga penganalisis hubungan antarabangsa dan sejarah itu.
Selain daripada isu pendidikan, parti pembangkang juga berusaha mengaburi pemikiran rakyat dengan pembohongan sebagai taktik menjatuhkan BN. Menjelang hari pengundian, cuba tanya pengundi, siapa yang tidak menerima risalah dan surat cinta daripada Anwar Ibrahim dan Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ramai yang sudah menerima kiriman surat mengandungi propaganda bahan kempen PKR dan Pas yang dipos ke rumah- rumah.
Dengan tema Siapa sebenarnya pemimpin rakyat?" antara Anwar dan Datuk Seri Najib Tun Razak, risalah itu cuba mengetengah kehebatan diri Anwar - baik tentang latar belakang mereka berdua, dasar ekonomi, rasuah dan hubungan antarabangsa. Apa yang dijanjikan dan dilaksanakan oleh Najib kepada rakyat Malaysia langsung dinafikan, yang didedahkan hanya fitnah.
Memang pilihan yang lebih baik untuk rakyat sudah jelas iaitu bukan Anwar.
Begitu juga dengan surat yang ditandatangani oleh Nik Aziz. Kepada pengundi, mesej ayat-ayat merayu oleh Tok Guru itu dan dakwaan kerajaan BN yang dipimpin Najib semua tak betul. Tindak-tanduk yang kerajaan ambil menzalimi rakyat. Itu sahaja gambaran yang diberi supaya pengundi percaya.
Tanpa rasa malu Nik Aziz mengajak pengundi melihat Kelantan yang sudah 23 tahun di bawah Pas. Entah dari mana pengiktirafan diterima yang mengatakan Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang negeri yang berprestasi cemerlang.
Di atas fakta mana Nik Aziz mengatakan hak rakyat dirampas, keselamatan rakyat terancam angkara jenayah yang menular, tekanan hidup yang memuncak dan pemberian hak kerakyatan secara berleluasa. Memang senang buat tuduhan dan fitnah kerana mahu orang percaya pada kata-katanya.
Dengan slogan "Ini kalilah" Nik Aziz minta pengundi menyumbang kepada misi Pas untuk melakukan perubahan di Putrajaya. Entah berapa banyak Ini kalilah" Pas Kelantan hendak pengundi menyokongnya setelah lebih dua dekad memerintah negeri itu. Kalau ada perubahan di negeri yang dipimpin Nik Aziz itu pun bukan usaha Pas tetapi bantuan daripada Kerajaan Pusat.
Catatan pada kain-kain rentang kempen pilihan raya pembangkang pun menggunakan taktik memujuk yang menyeru pengundi mengambil wang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diberi oleh BN tetapi undi beri kepada mereka.
Tanpa rasa muka tebal, apa sahaja pemberian atas nama 1Malaysia mahu dikautnya tetapi janji-janji pembangkang sendiri kepada pengundi tidak pula dipedulikan sama ada hendak ditunaikan ataupun tidak.
Hakikatnya pengundi tahun 2008 dengan pengundi 2013 adalah orang yang sama ditipu oleh pembangkang dan ditambah pengundi baharu. Apa pun, pengundi lama telah menerima pengajaran dan pengundi baharu dapat melihat sendiri corak pentadbiran negeri di bawah pakatan pembangkang.
Pengundi sudah celik. Mereka boleh melihat dan berfikir dengan sebijak-bijaknya tentang kebenaran berdasarkan fakta.
Jadi tunggulah 5 Mei ini.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan