Jumaat, April 05, 2013

PRU - 13 : Kalau begini jujurkah mereka?









1. - Dikatakan pada 18 Mac (2013) lalu berlangsung mesyuarat pertama Jawatankuasa Bertindak Kedaulatan, Keselamatan Negara dan Rakyat (JBKKNR) anjuran Pas Pusat di Kuala Lumpur. Ia dihadiri kira-kira 10 orang termasuk bekas pegawai kanan polis dan tentera. Mesyuarat membincangkan isu berkaitan pencerobohan di Sabah.

Di kala pasukan keselamatan dan kerajaan memikirkan cara untuk memerangi pengganas Sulu selain mengukuhkan operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone), dalam sidang bulat 18 Mac itu, dikatakan tiga resolusi telah diluluskan, iaitu:

i) Kebajikan Tentera & Veteran Angkatan Tentera (KERABAT), Pahlawan, Kor Bekas Angkatan Tentera/Perajurit (KOBAT), The Green Soldiers, Veteran Polis & NGO-NGO propakatan pembangkang diminta menjalankan Gerak Saraf Perang Saraf untuk meyakinkan rakyat bahawa isu Lahad Datu adalah bermotifkan politik.

ii) Semua isu sensitif mengenai perisikan negara, Ops Pasir dan Ops Daulat perlu diselaraskan oleh sekretariat sahaja yang mana ahli politik pakatan pembangkang diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Hanya pemimpin tertinggi sahaja yang boleh mengulas isu berkenaan.

iii) Cadangan untuk mengadakan Himpunan Warga Keselamatan dalam jangka masa dua minggu dari 18 Mac yang akan ditentukan nanti.

2. - Dipercayai, mesyuarat bersetuju untuk mengalih dan mengeksploitasi isu tersebut kepada political assasination. Empar elemen itu adalah:

i) Mengeksploitasi apa yang didakwa pembangkang menteri dan kementerian tertentu.

ii) Dalam pentas ceramah pembangkang, mereka akan memuji PDRM dan ATM untuk menaik semula moral serta kepercayaan semula pasukan keselamatan kepada pakatan pembangkang.

iii) Mengeksploitasi apa yang dituduh pembangkang sebagai 'projek kad pengenalan kerajaan' yang didakwa penyebab kebanjiran warga asing di Sabah. Pakatan pembangkang menyifatkan mereka harus menggempur semua elemen kerana daripada kacamata rakyat, kes pencerobohan Lahad Datu adalah penentu menang atau kalah pembangkang dalam PRU-13.

3. - Isu Lahad Datu dieksploitasi secukup-cukupnya oleh para penceramah pakatan pembangkang di pentas-pentas mereka dengan meletakkan beban kesalahan kepada kerajaan BN kerana gagal mengawal sempadan negara.

Jumlah ceramah dari 1 hingga 20 Mac 2013 adalah 84 dengan pecahan Pas (65), PKR (14) dan DAP (5).

4. - Rata-rata pemimpin Pas seperti Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Mohamad Sabu memperlekeh dan mempersoalkan kelemahan kerajaan dalam menangani isu ini.

5. - Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang menyalahkan kegagalan sistem pertahanan negara sehingga tercetusnya insiden tersebut. Dia juga mendakwa pemimpin UMNO cuba memperbodohkan rakyat dengan mempolitikkan isu tersebut.

6. - Ekoran mesyuarat JBKKNR pada 18 Mac itu, beberapa bekas pemimpin tentera dikesan telah muncul di pentas pakatan pembangkang menyentuh isu berkenaan.

Terbaru pada 28 Mac lalu dalam ceramah anjuran Pas Jeli, Kelantan bertajuk 'ceramah wira 4 jeneral' di Batu 11, Tanah Merah dihadiri 800 orang. Brig. Jeneral Bersara Datuk Ad. Hadi Abd. Khatib dalam ceramah itu telah 'menyindir' Perdana Menteri kerana didakwanya tidak berani menubuhkan suruhanjaya isu pencerobohan Lahad Datu.

Malah, Jeneral (B) Datuk Ab. Ghafir Ab. Hamid dan Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Ab. Hamid mendakwa isu pencerobohan Lahad Datu berpunca daripada kelemahan badan perisikan negara dan kerajaan BN.

Brig. Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad pula mendakwa kerajaan BN banyak melakukan kezaliman kepada rakyat serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh bekas jeneral ini dikecam oleh rakyat Malaysia terutama pasukan keselamatan negara yang melabelkan bekas jeneral pembangkang terbabit juga 'menangguk di air keruh'.

7. - Parti-parti pembangkang ketika ini begitu serius cuba mempolitikkan isu pencerobohan ke atas Sabah. Dikatakan kerajaan PKR Selangor akan menganjurkan program 'Munajat Selamatkan Malaysia dan Forum Lahad Datu Rakyat Berhak Tahu' hujung minggu ini.

8. - Maklumat juga mendedahkan PKR Sabah merancang untuk mengadakan demonstrasi dalam masa terdekat selepas solat Jumaat di beberapa kampung di mana mayat pengganas Kiram dikebumikan. Antara lain, mereka mahu mayat tersebut dikebumikan di laut tetapi masih mengikut agama Islam.

9. - Sebilangan rakyat Malaysia agak cuak kemungkinan ada penglibatan anasir asing dalam pencerobohan Sabah.

Penduduk rantau ini melihat bagaimana Indonesia kehilangan wilayah, Timor Timur atau Timor Leste melalui corak yang sama iaitu serangan, pencerobohan, selepas itu tekanan antarabangsa dan berlaku rusuhan, dan akhirnya mereka hilang wilayah. Rakyat Indonesia pasti tidak akan lupa bagaimana Presiden Suharto disuruh berdialog dengan Xanana Gusmao (pemimpin Timor Leste).

Justeru, dikatakan kes di Lahad Datu membabitkan dalang dan niat jahat yang sama.

10. - Siasatan dalaman oleh Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang dilaporkan pada 27 Mac lalu menyimpulkan bahawa terdapat kemungkinan kumpulan pengganas Kiram mendapat 'bantuan dan sokongan' daripada pihak tidak dikenal pasti untuk melakukan pencerobohan ke atas Sabah.

Pengerusinya, Muslimin Sema berkata, kesimpulan itu juga berpunca daripada maklumat bahawa kesultanan itu tidak mempunyai keupayaan dan sumber pendapatan untuk melaksanakan operasi ketenteraan yang begitu nekad.

11. - Muslim sendiri tidak pernah mendengar tentang Tentera Diraja Sulu (RSF) sebelum berlakunya insiden di Sabah.

12. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Anwar telah beberapa kali bertemu Nur Misuari sebelum berlakunya insiden pencerobohan berdarah oleh pengganas Kiram di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: