Selasa, April 16, 2013

PRU -13 : Kit Siang patut kena tindakan?


Tun Dr. Mahathir Mohamad hairan mengapakah beliau dilabelkan sebagai rasis apabila bercakap terbuka mengenai kepentingan semua kaum di negara ini sehingga wujud desakan daripada pemimpin pembangkang supaya dikenakan tindakan undang-undang ke atasnya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan undang-undang tersebut sepatutnya dikenakan ke atas DAP dan Penasihatnya, Lim Kit Siang yang memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia sebagai asas perjuangan parti itu.

"Apabila Kit Siang kata Malaysian Malaysia, dia rasis. Dia hendak orang Melayu tidak mendapat apa langsung pasal orang Melayu tidak boleh berlumba dengan dia, semuanya hendak diberi kepada orang Cina. Itu rasis.

"Bila saya jawab dia tuduh saya rasis tetapi dia memulakan buat slogan Malaysian Malaysia yang bermakna kononnya orang Melayu sahaja yang dapat, orang lain tak dapat. Betul ke? Pergilah tengok keliling," katanya kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Rakyat di dataran Pendang di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang disiarkan di lidah rasmi Pas, laman portal Haprakah Daily hari ini yang mendesak Peguam Negara segera mengambil tindakan ke atas beliau berhubung tulisannya bertajuk 'Gelang Patah' di laman blog www.chedet.cc semalam.

Sementara itu, Dr. Mahathir menyifatkan dakwaan pembangkang kononnya beliau adalah 'musuh terhebat' kepada bangsa Malaysia sebagai percakapan orang bodoh kerana negara ini diiktiraf dunia sebagai sebuah negara membangun termaju.

"Kalau saya musuh negara kita ini, Malaysia tidak jadi majulah. Itu cakap bodoh. Dia sendiri menggunakan segala kemudahan yang saya wujudkan. Jadi tidak payahlah cakap macam itu," katanya.

Tambah beliau, DAP berhasrat hendak melagakan orang Melayu dan Cina dengan mengatakan orang Melayu mengambil semua benda dan tidak menggunakan meritokrasi sedangkan konsep itu mengurangkan peluang Melayu dalam bidang ekonomi serta pendidikan.

Mahfuz the Mr.Bean

"Cara kita adalah bahagi secara adil kepada semua kaum dan semua kita korban, kita tidak boleh ambil semua untuk diri kita. Dia hendak ambil semua untuk diri dia. Dahlah dia kuasai ekonomi, sekarang politik pun dia nak ambil alih, jadi kita tidak dapat apalah," katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu menggesa ahli Pas meninggalkan parti berkenaan kerana Pas tidak mempunyai hala tuju sebaliknya dasar perjuangannya semata-mata untuk memancing undi.

Katanya, pada masa ini ramai yang membuka mata termasuk golongan ulama mereka yang pernah menjadi penyokong kuat Pas apabila menolak parti itu yang membohongi rakyat.

"Dahulu Pas cakap kononnya perjuangkan agama Islam, hendak mendirikan negara Islam tetapi sekarang pengikut dan pemimpin Pas pun sudah tahu bahawa ini cuma gimik hendak menang pilihan raya umum.

"Tiada niat sebenar nak buat negara Islam. Lagipun Pas punya tafsiran negara Islam ini dia sahaja yang tahu," ujar beliau.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: