Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, April 02, 2013
Apabila Hadi masih terus bermimpi?
Pada tanggal 6 Januari lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan dalam artikel yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia apa maksud sebenar pepatah Inggeris Better the devil you know than the angel you don't.
Dr. Mahathir membuat penjelasan itu kerana ada ulama dalam Pas telah tersalah tafsir maksud beliau dengan menyatakan Dr. Mahathir berkata lebih baik bersama syaitan daripada malaikat yang kita tidak kenal.
Maksud sebenar pepatah itu ialah lebih baik orang yang dikenali daripada orang yang tidak dikenali.
Bagaimanapun sudah menjadi tabiat pemimpin-pemimpin Pas untuk mencari apa sahaja hujah bagi kepentingan politik mereka.
Ia terbukti apabila dalam tulisan terbaru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan oleh harakahdaily.net pada Jumaat lalu, Presiden Pas itu kembali mengungkit kenyataan Dr. Mahathir.
Walaupun dalam tulisannya, Abdul Hadi seolah-olah mengakui apa yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir hanya sekadar metafora atau hiasan namun beliau turut berhujah dengan menyatakan, ''tetapi ia tidak menafikan hakikat bahawa Tun Mahathir sendiri telah membuat dua cabang kelas bahawa UMNO BN berada di pihak yang "buruk dan rosak" manakala Pakatan Rakyat berada di pihak yang "baik".
Berikutan itu Abdul Hadi memetik tidak kurang empat ayat al-Quran berkaitan kejahatan syaitan. Beliau kemudiannya mengaitkan bagaimana kenyataan Dr. Mahathir itu dengan situasi UMNO yang digambarkan menghadapi penyakit rasuah yang kronik dan salah guna kuasa.
Di penghujung tulisannya, Abdul Hadi berhujah, ''Seruan saya kepada rakan taulan dalam UMNO-BN. Tinggalkanlah UMNO dan BN bersama syaitan yang dikenali atau tidak dikenali. Jadikan Pas Ganti UMNO, Pakatan Rakyat ganti BN. Disebabkan juga pendekatan berbeza, maka Pas bertahaluf dengan bukan Islam dan masyarakat majmuk bersama prinsip dan konsep Islam yang teguh.
UMNO pula berwala' dengan bukan Islam dan bukan Melayu dengan prinsip dan konsep nasionalisme yang rapuh sehingga menghilangkan jati diri bersama syaitan yang dikenali dan tidak dikenali. Fahamilah secara ilmu dan ikhlas jangan menolak secara jahil murakkab."
Sebelum penulis mengulas lanjut seruan yang tidak berpijak bumi nyata oleh Abdul Hadi itu, penulis ingin mengingatkan pemimpin dan penyokong Pas tentang apa yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 24 Januari 1999.
Antara lain Menteri Besar Kelantan itu berkata, "Siapa yang nak tolong Kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA dan MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong Pas saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima".
Kata-kata Nik Abdul Aziz itu bukan kiasan seperti mana digunakan oleh Dr. Mahathir tetapi satu kenyataan yang boleh ditafsirkan mempunyai maksud sebenar.
Persoalannya kenapakah pemimpin-pemimpin Pas termasuk Abdul Hadi tidak menyanggah kenyataan tersebut? Tidakkah ayat-ayat al-Quran yang digunakan oleh Abdul Hadi bagi mengulas kiasan Dr. Mahathir lebih tepat untuk kenyataan Nik Abdul Aziz? Dan mungkin juga kalau kenyataan Nik Abdul Aziz itu mahu diambil kira berikutan kupasan Abdul Hadi terhadap kiasan syaitan, maka fahamlah kita kenapa kerajaan Islam Kelantan hanya sekadar slogan? Ia memandangkan mana ada syaitan yang akan membantu hamba Allah melakukan kebaikan?
Sebenarnya penulis bersimpati dengan pemimpin Pas seperti Abdul Hadi yang masih terus bermimpi dan berkhayal kononnya kerjasama Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP jauh lebih baik berbanding kerjasama UMNO dengan MCA dan MIC serta parti-parti komponen lain.
Abdul Hadi berhujah, tahaluf siyasi Pas dengan PKR dan DAP berasaskan kepada prinsip dan konsep Islam yang teguh. Tetapi kita mahu bertanya, kalau betullah begitu, kenapa Pas terpaksa mengorbankan perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan?
Kalau betul sekutu Pas, khususnya pemimpin DAP memahami konsep Islam yang dikatakan, kenapakah ada dalam kalangan mereka yang terus menolak hukum hudud?
Kalau betul Pas berjaya mentarbiahkan PKR dan DAP mengenai konsep Islam kenapakah ada pemimpin DAP sanggup membuat cadangan supaya kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam?
Bagaimana pula di Selangor dan Pulau Pinang, apakah sekutu-sekutu Pas itu mempedulikan apa yang Pas perkatakan dalam soal memastikan pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang mengikut lunas-lunas Islam?
Kenapakah Pas tidak bersuara apabila bertimbun-timbun janji yang dibuat bersama sekutunya di negeri-negeri yang mereka perintah tidak ditunaikan sehingga kini? Apakah ini dinamakan konsep Islam yang teguh?
Oleh itu tidak payahlah Abdul Hadi atau Pas mahu terus bermimpi untuk menggambarkan kerjasama dalam pakatan pembangkang jauh lebih baik daripada kerjasama UMNO dan komponen BN serta janganlah mudah menggunakan hujah berdasarkan al-Quran dan hadis bagi menutupi kelemahan sendiri.
Kita memahami keterujaan Abdul Hadi yang begitu ingin melihat Pas menggantikan UMNO dan pakatan pembangkang menggantikan BN selepas pilihan raya umum nanti tetapi berpijaklah di bumi nyata apabila membuat kenyataan.
Ia termasuklah apabila beliau berkata, ''UMNO pula berwala' dengan bukan Islam dan bukan Melayu dengan prinsip dan konsep nasionalisme yang rapuh sehingga menghilangkan jati diri…"
Soal siapakah sebenarnya yang semakin terhakis jati diri, UMNO atau Pas, pakatan atau BN? Prinsip dan konsep nasionalisme yang ditafsirkan oleh Abdul Hadi sebagai rapuh itulah yang meletakkan negara ini menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain.
Berikutan konsep nasionalisme yang dituduh rapuh itulah, perkembangan Islam di Malaysia amat mengagumkan dalam pelbagai bidang dan syiar Islam terus berkembang sehingga dikagumi dunia.
Dan konsep nasionalisme yang didakwa rapuh itulah yang meletakkan rakyat Malaysia hidup aman, damai dan mengecapi pelbagai kemajuan.
Tetapi apa yang Pas sumbangkan sejak kewujudannya pada tahun 1951 dan apa pula sumbangannya sejak berada dalam satu selimut dengan PKR dan DAP?
Sumbangan Pas ialah memecah belah umat Islam dan Abdul Hadi tidak harus lupa terhadap 'Amanat Haji Hadi' yang dilafazkan pada tahun 1981 tetapi natijahnya masih wujud sehingga ke hari ini.
Abdul Hadi juga perlu faham, berikutan kesediaan Pas menjadi 'pak turut' dalam kerjasama dengan PKR dan DAP telah memungkinkan senario politik negara tidak pernah tenteram.
Dan lebih buruk lagi, pemimpin-pemimpin Pas bersedia menjadi 'pembela setia' kepada keceluparan dan salah laku yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang khususnya PKR.
Tidakkah Abdul Hadi memikirkan fakta ini semua? Sudah pasti tidak! Sikap Pas berpolitik sekarang sama seperti PKR yang hanya tahu mencari salah kerajaan UMNO dan BN.
Kita memahami Abdul Hadi harus terus berusaha menyakinkan rakyat khususnya orang Melayu kenapa Pas dan pakatan pembangkang perlu disokong.
Segala-galanya kerana Pas semakin menyedari betapa tembelang parti itu dan sekutunya kononnya mereka pilihan terbaik bagi menggantikan UMNO dan komponen BN semakin diketahui rakyat.
Justeru adalah lebih baik, Abdul Hadi berhenti daripada bermimpi dan dilihat cuba menggunakan taraf sebagai tok guru dan ulama berhujah demi kepentingan politik semata-mata.
Oleh : Zulkiflee Bakar
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Tentang tuduhan rasuah terhadap pemimpin BN, aku berasa sangat sangsi akan kebenarannya kerana nampak seolah2 ianya telah di 'blow-up to out-of-propotion' ketahap yang tidak masuk akal. Sepanjang yang rakyat maklum, isu ini tidaklah seburuk seperti yang diwar2kan. Pandangan ini adalah disebabkan selama 5 TAHUN PR memerintah Pulau Pinang, Kedah dan Selangor, tidak seorang pun pemimpin BN terdahulu (baik besar atau kecil) di negeri2 tersebut telah didakwa atas kononnya perbuatan rasuah mereka yang kronik. TIDAK ADA SEORANG PUN. Walaupun semua rekod berada ditangan mereka (pemimpin PR) namun mereka tidak dapat membuktikan dakwaan mereka. Apa dah jadi dengan cerita berkotak2 maklumat rasuah yang heboh diperkatakan tu. MANA DIA??. Rakyat nak tahu, kalau ada simpan buat apa. Inilah masanya
Catat Ulasan