Ahad, Mei 05, 2013

#PRU13 : Nik Aziz@Pok Nik doakan kehancuran BN?

Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama ahli Pas berdoa selepas selesai solat subuh pada Program Solat Hajat dan Munajat PRU-13 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, Kelantan, pagi semalam.

KOTA BHARU - Sebelum ini, adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat mendoakan kehancuran UMNO, hari ini, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mendoakan perkara yang sama terhadap parti yang dianggotai umat Islam itu.

Ketika majoriti rakyat negara ini bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati hasil daripada perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN), Pas pula memohon agar UMNO yang menjadi teras parti pemerintah dihancurkan.

Doa yang diketuai oleh Nik Abdul Aziz selepas solat subuh pada majlis solat hajat dan munajat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini pagi ini, meminta Allah SWT menghancurkan parti itu sebagaimana hancurnya tentera Abrahah seperti daun kayu dimakan ulat.


Beliau turut menggunakan majlis itu untuk memainkan sentimen meraih simpati orang ramai bagi mengundi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila mengalirkan air mata setiap kali berdoa.

Dalam doanya itu, beliau juga seolah-olah menggambarkan BN tidak mempertahankan agama suci tersebut walaupun sudah terbukti BN berjaya mengembangkan syiar Islam di negara ini sejak memerintah selepas merdeka.

Dakwanya, UMNO dan BN juga telah bertindak zalim kepada agama Islam di negara ini.

"Ya Allah Ya Tuhanku, Aku tak berdaya lagi untuk menjaga agama-Mu di Kelantan dan di Malaysia kerana amat kuat serangan yang datang dengan pelbagai cara.

"Oleh itu, aku minta kepada-Mu, pertahankan agama-Mu sebagaimana Engkau pertahankan rumah-Mu daripada pelbagai serangan dan hancurkanlah mereka sebagaimana hancurnya tentera Abrahah seperti daun kayu dimakan ulat," katanya.


Beliau juga menyebut, kefahaman terhadap agama tidak diajar dalam fahaman kebangsaan dan kerajaan perlu mendidik rakyat untuk mendekatkan diri dengan agama.

"Kalau tidak mampu didik rakyat dengan agama, buat apa hendak menjadi kerajaan.

"Oleh itu saya minta rakyat Kelantan di sini tidak kira Cina, Melayu atau India, serta penyokong UMNO juga menyokong Pas Ahad ini," katanya.

Pada 16 November tahun lalu, Nik Razi Nik Mat, adik kepada Nik Abdul Aziz semasa solat hajat sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-58 turut mendoakan kehancuran UMNO.

Di dalam doa tersebut, Nik Abdul Razi menyebut "Ya Allah... hukumlah UMNO. Ya Allah... Hukumkanlah UMNO dan BN. K.O! BN, K.O! BN, BN K.O!, K.O! BN, BN K.O!, BN K.O!, BN K.O! dalam PRU-13 ini Ya Allah. Mudah-mudahan dalam perjalanan kami ke Putrajaya Ya Allah dengan begitu sekali mudah dengan pertolongan Mu Ya Allah."

Apa yang dapat penulis katakan ialah, ' bertaubatlah Pok Nik, pintu taubat masih terbuka'.
Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: