Ahad, Mei 26, 2013

Pembangkang perlu akur, undi popular bukan penentu bentuk kerajaan?


Isu undi popular tidak sepatutnya timbul kerana sudah 13 siri pilihan raya umum (PRU) dijalankan di Malaysia berdasarkan sistem pemilihan kawasan mengikut parlimen.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, perbandingan antara undi popular bukan penentu kemenangan sesuatu parti untuk membentuk kerajaan.

“Peratusan penduduk berubah, sudah lebih lapan tahun tiadanya persempadanan semula, jadi sudah pasti ada peningkatan penduduk di suatu kawasan terutamanya di kawasan bandar.

“Kebanyakan Pakatan Rakyat (PR) menang di kawasan bandar, oleh itu majoriti mereka lebih banyak daripada Barisan Nasional (BN) yang lebih banyak menang di kawasan luar bandar di mana jumlah pengundinya hanya lapan ke sepuluh ribu sahaja,” katanya.

Menurut Shamsul Adabi, pembangkang sengaja mempersoal isu undi popular itu ketika ini kerana gagal mengotakan janji penyokong mereka.

“Kenapa mereka tidak timbulkan perkara ini semasa PRU12? Pembangkang sengaja mainkan isu ini kerana sistem kita amalkan jumlah pengundi di setiap kawasan adalah berbeza. Adalah mustahil untuk diselaraskan,” katanya.


Beliau yang merupakan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) percaya kerajaan sentiasa bersedia menambah baik sistem sedia ada, tetapi pembangkang perlu menerima hakikat setiap kali pembaharuan itu dilakukan.

“Sudah tentu dalam pelaksanaan ada kekurangan tetapi tidak bermakna pelaksanaan itu gagal. Jika benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus, bagaimana mereka boleh tambah kerusi di Parlimen pada PRU kali ini,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian berkata, sistem 'first-past-the-post’ masih diamalkan sejak dari dulu.

“Walaupun menang dengan satu undi, parti itu tetap menang, jadi kerusi dimenangi BN lebih banyak daripada PR membolehkan BN bentuk kerajaan,” katanya.

Sivamurugan berkata, pembangkang sepatutnya akur dengan sistem yang telah diamalkan sejak tahun 1959 itu.

“Peratusan keluar mengundi tinggi, itu antara sebab undi popular meningkat. Bagaimanapun mereka tidak boleh gunakan situasi ini sebagai alasan untuk bentuk kerajaan.


“Sudah jelas apa yang diimpikan mereka tidak jadi realiti, oleh itu seharusnya PR berusaha mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka dengan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan bukan mengajak rakyat turun kejalanan untuk menentang keputusan PRU yang telah dimuktamadkan,” katanya.

Beliau turut menjadikan analogi dalam sistem bola sepak sebagai contoh mudah.

“Jika pasukan Perak berada di tangga ketiga liga, tetapi mereka mempunyai kelebihan dalam jumlah gol berbanding Selangor yang hanya menang dengan perbezaan satu gol.

“Tetapi Selangor menang hampir di setiap perlawanan membuatkan mereka berjaya mengumpul mata dan berada di tangga teratas berbanding Perak yang pernah mengalami kekalahan dalam dua ke tiga perlawanan,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: