Ahad, Mei 26, 2013

Mengapa Guan Eng takut dengan pemilihan semula CEC?


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sepatutnya menumpukan kepada usaha mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti secara betul dan bukannya membuang masa dengan terus mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, Guan Eng sewajarnya segera mengadakan semula pemilihan CEC bagi membuktikan beliau bukan penyebab utama DAP berdepan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mempunyai kuasa untuk bertindak jika mendapati pemilihan parti itu tidak sah.

"Ekoran timbul banyak tuduhan penipuan seperti didakwa ahli dan perwakilan DAP terhadapnya, Guan Eng perlu segera mengadakan pemilihan CEC semula bagi membuktikan dia bukan sebab utama DAP bermasalah dengan ROS termasuk tindakan membatalkan pendaftaran DAP," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pendaftar Pertubuhan sebagaimana Notis bertarikh 17 April 2013 yang telah dikeluarkan tidak memberi pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan yang dibentuk oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP pada 15 Disember 2012.


Choo Keong berkata, sudah menjadi rahsia terbuka bahawa Guan Eng sebenarnya takut untuk memanggil ahli parti itu bagi mengadakan pemilihan semula CEC kerana bimbang akan mengalami kekalahan kepada beberapa pemimpin DAP yang lain.

"Guan Eng tahu jika semua perwakilan dibenarkan menghadiri pemilihan semula, ada kemungkinan besar dia akan kalah kepada beberapa pemimpin lain di dalam parti itu. Dia dan isterinya, Betty Chew sudahpun ada pengalaman buruk dibuang daripada Jawatankuasa DAP Negeri Melaka beberapa tahun lalu.

"Hanya selepas peristiwa memalukan di Melaka itu, Guan Eng dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya.

Katanya, Guan Eng sepatutnya mengambil langkah lebih mulia dengan meminta maaf kepada orang ramai terutama ahli DAP berhubung segala masalah yang wujud di dalam parti disebabkan beliau serta kroni-kroninya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: