Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Mei 19, 2013
Nilai baru politik mula terbentuk!
Analisis keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) oleh ahli akademik wajar diberi perhatian. Dalam penelitian mereka, proses urbanisasi memberi kesan besar terhadap pola pemilihan pengundi kali ini. Berasaskan data pengundian, politik Malaysia kini secara jelas sedang membentuk struktur baru.
Jika sebelum ini struktur politik kita sekian lama dibentuk pola politik berasaskan kaum, kali ini perkelompokannya terbina berasaskan jalur atau kelas ekonomi. Kumpulan masyarakat yang berada pada jalur ekonomi tinggi dan pertengahan ada kecenderungan politik berbeza dengan masyarakat dalam jalur ekonomi lebih bawah.
Dengan kata lain, jalur perbezaan kecenderungan politik golongan berada di bandar atau semi bandar berbeza secara ketara dengan kecenderungan masyarakat di desa dan pedalaman.
Jika dapatan penelitian ini diterima sebagai sandaran pengetahuan baru yang sedang muncul dalam konteks realiti politik Malaysia hari ini, maka semua pihak terutama pelaku politik harus mula mempersiapkan diri bagi berdepan fenomena baru. Ia menuntut kesediaan minda, sikap dan psikologi sejajar dengan realiti barunya.
Perkara asas yang perlu mula diwacanakan ialah sumber atau punca yang membawa pembentukan struktur baru ini. Kedua, ialah proses yang mendorong pembentukannya dan ketiga, berhubung psikologi baru politik yang berkembang dari proses pergerakannya.
Pembentukan struktur baru
Dalam banyak wacana tentang sumber atau punca pembentukan struktur baru ini, ia terbentuk daripada peningkatan kesedaran kewarganegaraan setiap rakyat negara ini. Memandangkan secara teori manusia berada dalam keadaan berkembang, maka realiti ini tidak terkecuali terhadap perkembangan kesedaran individu tentang hakikat dan hak dirinya sebagai warga negara serta tanggungjawab perhubungan dengan persekitaran negaranya yang kompleks.
Dalam konteks masyarakat di negara kita, agama dan pengalaman kemanusiaan menjadi sumber yang mendorong peningkatan kesedaran baru itu. Nilai keagamaan yang membahaskan peranan seorang warga dalam sebuah negara serta pengalaman kemanusiaan yang dikongsi secara terbuka mengenai hakikat sebuah negara yang baik adalah punca dan penyumbang utama peningkatan kesedaran baru yang meluas dalam kalangan rakyat.
Pada masa lalu, sumber dan punca pembangunan kesedaran kewarganegaraan ini sudah pun wujud. Namun, ia berkembang dalam tingkat sederhana. Pengaruhnya berkisar dalam perkumpulan masyarakat yang berpendidikan kerana kelompok ini tidak berhadapan halangan yang membataskan pencapaian ilmu dan maklumat mereka berkenaan dengan kesedaran ini.
Kini keadaan sudah berubah. Halangan ilmu dan maklumat itu sudah diatasi oleh kemajuan teknologi. Revolusi maklumat mengurangkan jurang perbincangan mengenai kesedaran kewarganegaraan yang diwacanakan oleh nilai agama dan pengalaman kemanusiaan. Kini, pengetahuan tentang kesedaran boleh diikuti oleh sesiapa saja yang memiliki daya keinginan untuk mengetahui dan ada keupayaan ekonomi bagi memiliki saluran teknologi.
Dalam pola pengundian terbaru ini, masyarakat bandar kebanyakannya lebih ke depan dalam menangani halangan ilmu dan maklumat mengenai kesedaran kewarganegaraan.
Kesedaran kewarganegaraan
Berasaskan perkembangan terbaru ini, jelas kesedaran kewarganegaraan yang meningkat memberi kesan langsung terhadap kecenderungan politik masyarakatnya. Pemecahan kecenderungan politik masyarakat bandar dan luar bandar sebagai dua struktur baru politik seperti diungkapkan penganalisis politik kalangan ahli akademik hakikatnya ialah perbahasan tentang kelahiran dan perbezaan tingkat kesedaran kewarganegaraan yang sedang berkembang di negara ini.
Apakah proses yang menggerakkan kelahiran kepelbagaian dan perbezaan tingkat kesedaran ini dalam kalangan rakyat yang hidup di satu negara? Dalam penemuan mereka, ia digerakkan oleh proses yang dinamakan urbanisasi atau proses perbandaran. Dalam kata lain, urbanisasi bukan hanya pertumbuhan bangunan dan kemudahan awam baru dalam sesebuah kawasan penempatan. Urbanisasi juga membabitkan proses pembangunan nilai dan cita rasa baru tentang pelbagai persoalan masyarakat yang berkembang di persekitarannya yang kompleks.
Ini dapat dilihat dari segi peralihan sikap politik sebelum dan selepas urbanisasi. Sebelum urbanisasi, secara umum nilai dan cita rasa politik setempat didorong sistem naungan individu atau kumpulan. Namun, setelah urbanisasi, sikap politik berubah kepada pendirian yang bersifat mandiri iaitu bebas dan terikat dengan pengaruh kebiasaannya.
Bagi kebanyakan masyarakat yang terdedah dengan proses urbanisasi, pelaku politik sama ada individu atau parti dinilai seumpama setiap kita menyokong pemain dan pasukan bola sepak yang bertanding pada liga dalam atau luar negara.
Mereka menyokong mana-mana pemain atau pasukan yang dirasakan kuat dan menawan imaginasinya dan mereka juga boleh beralih sokongan kepada pemain atau pasukan lain jika didapati pemain atau pasukan tidak lagi mampu memenuhi imaginasi yang dibentuk oleh kesedaran baru yang diperolehnya.
Begitulah antara contoh psikologi baru rakyat tentang politik dalam sebuah negara yang sedang menuju proses urbanisasi yang pesat seperti Malaysia.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan