Hamidzun , Norman Toha, Abu Bakar Yahya
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digesa memastikan seluruh anggota pentadbirannya melaksanakan ikrar 10 aku janji yang dilafazkan dalam istiadat angkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.
Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, aku janji tersebut perlu diikuti oleh semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco dan bukannya hanya terpakai kepada Menteri Besar.
Beliau berkata, aku janji itu perlu dianggap penting kerana kandungannya adalah kehendak daripada Sultan Selangor sendiri agar pentadbiran negeri berada dalam keadaan baik, makmur dan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan.
Maka apabila Sultan Selangor menetapkan Menteri Besar agar mematuhi aku janji tersebut, perkara itu merupakan satu bukti jelas baginda adalah seorang yang serius, telus dan berwibawa serta mahukan pentadbiran negeri ini dijalankan dengan sebaik-baiknya.
Kita harapkan Abdul Khalid dapat berpegang kepada aku janji tersebut termasuk melupakan soal politik kepartian dalam pentadbirannya. Abdul Khalid harus memastikan barisan Exconya berpegang dan melaksanakan aku janji tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid ketika mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua di Istana Alam Shah, Klang diwajibkan melafazkan 10 perkara aku janji di hadapan Sultan Selangor.
Aku janji tersebut merupakan kali pertama dilafazkan secara terbuka melibatkan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Antara 10 perkara terkandung dalam aku janji itu adalah memastikan agama Islam tidak diganggu gugat, mempertahankan institusi raja, memastikan hak Melayu terpelihara dan menjaga hak kaum lain serta mendahulukan rakyat.
Setiausaha Agung Jalur Tiga (Jati), Norman Toha pula mahu Abdul Khalid supaya bersikap lebih berwaspada dalam mentadbir negeri ini.
Sebagai Menteri Besar, beliau berkata, Abdul Khalid perlu memberi nasihat dan menegur barisan Exco kerajaan negeri sekiranya mereka melakukan pelanggaran aku janji tersebut.
Sebarang pelanggaran 10 perkara aku janji tersebut, maka terputuslah ikatan pelantikan jawatan Menteri Besar itu sendiri," katanya.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya menggesa Abdul Khalid tidak memandang remeh aku janji yang dilafazkan di hadapan Sultan Selangor itu.
Abdul Khalid perlu sentiasa mengingati aku janji tersebut dan tidak sesekali menganggapnya satu perkara remeh. Aku janji itu bukan seperti manifesto pilihan raya yang beliau anggap sebelum ini sebagai bukan perjanjian," tegas beliau.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan