Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mendakwa ada perjanjian bertulis antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak supaya peralihan kuasa selepas PRU-13 berjalan aman, sekali gus mewujudkan penyatuan nasional.
Beliau berkata, sebelum PRU-13 lalu, Anwar beberapa kali memintanya mendapatkan persetujuan Perdana Menteri supaya tidak melakukan serangan peribadi sepanjang berkempen dan menerima keputusannya.
Jusof ketika ditemuramah The Wall Street Journal (WSJ) yang disiarkan kelmarin, berkata sebagai perantara antara Anwar dan Perdana Menteri, beliau terpaksa berulang alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur bagi memastikan persetujuan dalam mematuhi komitmen antara kedua-dua pihak.
Kecam tindakan Anwar
Jusuf yang menganggap kedua-dua calon itu sebagai rakan yang dikenali sejak beberapa dekad lalu, bagaimanapun mengecam Anwar kerana gagal menepati janji yang dibuat untuk menerima keputusan rakyat, 5 Mei lalu.
Katanya, pada pertemuan di rumahnya di Jakarta, Anwar meminta beliau menyampaikan pesanan dan mendapatkan komitmen Najib bagi memastikan pilihan raya berlangsung secara aman. Malah keputusan pengundian itu adalah jelas dan masing-masing mempunyai komitmen untuk mematuhinya.
“Pada hari Isnin (sehari selepas pengundian), saya meminta Anwar menerima dan melihat kepada realiti tetapi mereka mengatakan, ‘tidak, tidak, tidak, tidak’,” katanya.
Kebimbangan berasas sejarah
Selasa lalu melaporkan Jusuf menasihatkan Anwar dan penyokong pembangkang supaya menerima kekalahan pada PRU-13 lalu dan nasihatnya itu selaras komitmen Ketua Umum PKR itu yang berjanji menerima sebarang keputusan ketika pertemuan di Jakarta, pada April lalu.
Beliau melahirkan kebimbangan pertikaian berlarutan membabitkan beberapa pemimpin Malaysia, perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam dan antara Melayu dengan Cina di Malaysia akan terus meruncing sehingga boleh mencetuskan keganasan dalam negara.
Katanya, kebimbangan itu berasaskan sejarah bagaimana Malaysia terpaksa berdepan dengan keadaan sukar apabila berlaku rusuhan kaum pada 1969 dan ia terus berulang.
Najib ulangi komitmen
The Wall Street Journal turut melaporkan Jusuf antara pemimpin Indonesia yang sering menyertai perjanjian damai dalam pelbagai konflik di seluruh kepulauan Indonesia yang bermasalah ketika memegang jawatan Naib Presiden republik itu antara 2004 hingga 2009 selain turut berperanan dalam rundingan damai di Thailand dan Sri Lanka.
Laporan itu turut menyebut kenyataan Anwar bahawa Jusuf yang menghubungi beliau dan menawarkan bantuan untuk memastikan PRU-13 berjalan lancar.
“Ada ramai rakan di rantau ini yang mengambil berat mengenai peralihan kuasa dan sama ada ia boleh dilaksanakan secara aman,” kata Anwar.
Bagaimanapun, menurut penasihat kepada Perdana Menteri, Anwar meminta bantuan Jusuf untuk mendapatkan persetujuan bersama antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menerima keputusan PRU-13 walaupun dengan majoriti tipis.
“Perdana Menteri mengulangi komitmen itu secara peribadi kepada Jusuf Kalla dan di khalayak ramai sebelum pilihan raya umum bahawa BN akan menghormati kehendak rakyat dan menerima keputusan walaupun pembangkang menang,” katanya.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan