Sabtu, Mei 11, 2013

Tiada perjanjian MB Selangor mesti daripada PKR?


Dewan Pemuda Pas Selangor hari ini menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian yang mengatakan jawatan menteri besar Selangor mesti diperuntukkan kepada PKR jika gabungan parti Pas, PKR dan DAP memerintah negeri itu.

Justeru, Timbalan Ketuanya Mohd Sany Hamzan meminta beberapa pemimpin PKR Selangor, termasuk Azmin Ali agar tidak melatah sebaliknya perlu 'cermin diri dan sedar diri' sebelum membuat kenyataan berhubung perkara itu.

"Dewan Pemuda Pas negeri Selangor menganggap kenyataan (pemimpin PKR negeri) Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Shuhaimi Shafiei yang menekankan bahawa kerusi MB Selangor adalah kerusi tetap PKR ibarat orang tamak haloba yang tidak sedar diri terhadap kemampuan diri sendiri.


"Mungkin PKR Selangor masih bermimpi yang mereka masih memenangi kerusi Dun (dewan undangan negeri di) Selangor melebihi Pas dan DAP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pilihan raya umum Ahad lepas, pakatan rakyat memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun di negeri itu dengan Pas dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi manakala PKR 14 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula menguasai 12 kerusi Dun.


Mohd Sany berharap pimpinan pakatan rakyat Selangor akan menyelesaikan isu pelantikan menteri besar dalam masa terdekat dan pihaknya akan menghormati keputusan itu.

Sementara itu selang beberapa jam selepas Mohamed Azmin Ali mempertikaikan berhubung proses menamakan calon menteri besar Selangor dan mengkritik pentadbiran negeri sebelum ini, PKR tampil dengan satu kenyataan bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim telah mendapat restu Pakatan Rakyat (PR) untuk diangkat semula menjawat jawatan itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua nama telah dicadangkan kepada pimpinan parti dan nama Khalid dipilih untuk kekal sebagai menteri besar.

"Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, PKR telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri PKR yang berjaya memenangi kerusi mereka... ," tulis kenyataan media itu.


Namun, "Pas dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini," tulis kenyataan media itu lagi.

Sehubungan itu, Saifuddin menyeru seluruh rakyat Selangor dan Malaysia amnya terus bermuafakat demi agenda perubahan negara.


"Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua," katanya.

Pada sidang media tengahari tadi, Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Selangor bersama barisan Adun PKR yang baru dilantik menyatakan kekecewaan pihaknya tidak dipanggil untuk berbincang berhubung siapa calon menteri besar.

Mewakili mereka, Azmin berkata, pihaknya menyokong penuh siapa sahaja calon yang dipilih parti namun ia perlu melalui konsensus dan bukannya diputuskan tanpa perbincangan.

Azmin juga turut mengkritik keras pentadbiran Khalid yang disifatkannya tidak memenuhi aspirasi rakyat dan wakil rakyat yang dipilih untuk sama-sama mengembling usaha membangunkan negeri.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Anak Lenggong berkata...

Sebelum pilihanraya dulu dok berubut kawasan..bila dapat negeri pula, berebut nak jawatan pulak so camner la kalau dapat tawan Putrajaya..masing2 angkat parang kut...tapi puak lobai PAS tak perlu risau sebab tawaran untuk menjadi samseng jalanan masih lagi terbuka. Hanya ini lah layak untuk para pemimpin dan penyokong PAS...