"Kalau ada polis, kalau ada SB, kalau ada agen-agen daripada UMNO sekalipun, nama saya Adam Adli bin Abdul Halim, no kad pengenalan 890703075357, ambil butiran saya, buat laporan polis, kerana hari ini saya nak ajak semua yang ada di sini kita harus susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk rampaskan kuasa, boleh atau tidak?, boleh atau tidak?, boleh atau tidak?
"Kita tak banyak masa lagi, semua siap sedia, beli kasut, beli tracksuit, beli seluar jeans, sedia kita akan turun ke ke jalan raya, sebab akhirnya dalam dunia ketiga macam negara Malaysia, pilihan raya takkan tumbangkan kerajaan, yang boleh tumbangkan kerajaan hanyalah kuasa rakyat."
Sudah pasti semua orang tahu siapakah individu yang melafazkan kata-kata ini. Adam Adli kini berada dalam tahanan reman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 untuk membantu siasatan kerana kata-kata yang dikatakan menghasut.
Sama ada dia bersalah atau tidak, biarlah mahkamah menentukan apabila siasatan yang dijalankan oleh pihak polis selesai.
Tetapi malangnya, pemimpin pembangkang melihat penahanan Adam Adli mahasiswa yang digantung pengajian oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) seolah-olah satu kesempatan untuk mereka terus berpolitik.
Antara mereka yang hadir ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Kapar R.Sivarasa, Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr.Nasir Hashim dan beberapa individu lagi.
Persoalannya, apakah istimewanya Adam Adli sehingga kata-kata yang dilafazkan tidak boleh disiasat?
Kita ingin bertanya, apakah Wan Azizah dan pemimpin pembangkang lain akan mendiamkan diri jika kata-kata yang sama dilafazkan dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan pembangkang di negeri-negeri yang mereka perintah.
Sudah pasti tidak! sebaliknya mereka akan berkempen siang malam untuk memastikan orang yang membuat gesaan berkenaan dihadap ke muka pengadilan, kononnya atas alasan bagi menghasut.
Tetapi bagaimana dengan kenyataan Adam Adli? Kenapa pembangkang beria-ia hendak membela pelajar itu?
Semuanya kerana Adam Adli bersuara mengikut rentak politik pembangkang. Oleh itu pembangkang menyifatkan tidak ada apa salahnya Adam Adli berkata demikian.
Inilah sikap 'double standard' yang tidak sudah-sudah ditunjukkan oleh pembangkang, pemimpin-pemimpin DAP begitu mengecam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau menggesa pembangkang berhijrah ke negara republik jika tidak mahu menerima sistem pilihan raya negara ini.
Malah mereka merancang membawa usul mencela beliau di Dewan Rakyat kerana kenyataan beliau dianggap menghina rakyat dan memperlekehkan demokrasi.
Tetapi kenapakah dalam kes Adam Adli ini, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak membiarkan sahaja proses undang-undang berjalan.
Sama ada Adam Adli bersalah atau tidak biar undang-undang yang menentukannya, kalau dia dihadapkan ke mahkamah pembangkang ada hak untuk menyenaraikan seberapa ramai pun peguam, bukankah pembangkang mempunyai barisan peguam yang hebat-hebat belaka!
Apa pun kita berharap pihak berkuasa tidak akan tunduk kepada tekanan politik yang dilakukan oleh pakatan pembangkang. Selagi ia dilaksanakan mengikut undang-undang maka pihak berkuasa tidak perlu takut dengan puak-puak yang merasakan mereka sahaja yang betul, benar dan sempurna.
Malah bukan kata Adam Adli sebaliknya siasatan juga harus dijalankan ke atas ramai lagi aktivis pro pembangkang yang dilaporkan secara terang-terangan menghasut rakyat turun ke jalanan untuk menumbangkan kerajaan.
Kita memahami pembangkang kini sedang 'meroyan' kerana kegagalan untuk menawan Putrajaya. Sebab itulah, apa sahaja yang boleh digunakan bagi menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mereka lakukan. Ia termasuklah mengadakan perhimpunan haram demi perhimpunan haram.
Pembangkang gembira kerana perhimpunan haram mereka mendapat sambutan tetapi kita percaya yang hadir itu bukannya mewakili majoriti rakyat negara ini.
Ia hanya dihadiri oleh golongan tertentu yang turut kecewa kerana impian mereka untuk melihat BN tumbang tidak menjadi kenyataan sedangkan pemimpin-pemimpin pembangkang sudah menguar-uarkan PRU-13 milik mereka.
Inilah sikap pembangkang, mereka cuba menggambarkan mereka sentiasa berada di pihak yang benar, begitu juga dalam kes Adam Adli, mereka cuba menggambarkan anak muda yang masih mentah dalam mainan politik itu dianiaya.
Pelbagai tuduhan mereka lemparkan ketika berucap termasuklah menggesa pihak polis dan Ahmad Zahid membebaskan Adam Adli tanpa syarat.
Soalnya, apakah kerana Adam Adli membuat kenyataan yang dilihat menyokong agenda pembangkang, maka dia layak terlepas daripada undang-undang jika dia bersalah?
Oleh itu kepada pemimpin-pemimpin pembangkang, matanglah sikit dalam berpolitik, jangan semuanya mahu disondol sehinggakan soal berkaitan perlanggaran undang-undang mahu dipolitikkan. Terimalah hakikat Adam Adli bukan insan istimewa sebaliknya hanya sekadar seorang mahasiswa yang digantung penggajian akibat terpengaruh dengan mainan politik sempit pembangkang.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan