PRU-13 sudah beberapa minggu berlalu. Namun ibarat rumah sudah siap pahat masih berbunyi berdentung-dentang di sana sini. Soalnya apa yang pakatan pembangkang yang lebih dimaklumi sebagai Pakatan Rakyat (PR) mahu lagi. Negeri Selangor mereka menang besar dengan kemenangan 44 kerusi.
Jumlah kerusi itu lebih dua pertiga. Barisan Nasional (BN) yang kalah tidak pula mengatakan calon PR menipu untuk menang. Sesuai dengan konsep beragama, calon BN menerima kekalahan atas faktor takdir. Di Pulau Pinang PR menang, di Kelantan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat masih boleh tersenyum lebar sebelum bersara kerana BN masih gagal merampas kembali negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Apa yang menyedihkan sejak pengumuman keputusan PRU-13 pemimpin pembangkang dalam dua nada menerima kemenangan dalam protes.
Protes yang diadakan di seluruh negara bermula dengan perhimpunan puluhan ribu penyokong di Stadium Kelana Jaya memberi impak negatif kepada PR sebagai kerajaan di Kelantan, Pulau Pinang di Selangor.
Pemimpin-pemimpin pembangkang selesa membelasah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak dari 2008 hingga kini. Sepatutnya jika PR memprotes, tidak perlulah Menteri Besar Selangor paling berbakat dalam bidang ekonomi, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang tombak sambil membacakan 10 aku janji.
Begitu juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob tidak perlu mereka mengangkat sumpah jawatan jika PR yang menjadi payung parti mereka masih melalak hingga kini.
Jika rakyat sudah memutuskan, maka terimalah kekalahan dengan hati reda dan jangan sesekali berputus asa dengan segala yang tersurat dan hayatilah yang tersirat.
Sabtu lalu di Amcorp Mall, Petaling Jaya perhimpunan protes terus berjalan, maka buat selamanya rakyat yang telah memilih BN sebagai kerajaan pusat akan melabel, inilah parti yang tidak mahu menghadam keputusan rakyat yang dibuat dengan penuh rasional. Bukan mudah seseorang calon dipilih tidak kira apa sahaja tagline seperti Ini Kalilah atau Saya Akan Undi Parti XXX yang dibuat oleh PR.
BN sendiri membuat pelbagai kempen PRU-13 di Selangor tetapi jelas orang Selangor yang ada masalah rumah tidak mahukan rumah-rumah itu. Malahan ada yang menolak mentah-mentah segala janji yang diberikan BN kerana taksub dengan slogan Ini Kalilah.
Sehingga sekarang selepas BN mendapat 133 kerusi dari 222 kerusi berbanding PRU-12 ,140 kerusi, penulis masih tidak faham mengapa slogan mengikut slanga Cina bercakap Bahasa Malaysia itu digunapakai oleh komponen PR seperti PKR dan Pas yang majoritinya berbangsa Melayu. Adakah benar selama ini DAP menunggang PKR dan Pas untuk berjaya hingga slogan ringkas itu dilihat menunjukkan parti yang dominan adalah parti tersebut.
Sewajarnya umat Islam dan Melayu dalam kedua parti bertanya diri sendiri, apakah motif jelas pemimpin-pemimpin mereka memilih untuk bersatu dan cuba menghancurkan BN yang begitu berjasa hingga syarikat yang menjual nasi lemak bungkus dalam kapal terbang boleh wujud di negara ini.
Begitu mudah orang Cina memilih calon PR dan menolak calon BN, sehingga calon seperti Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Datuk Seri Abdul Ghani Othman yang merupakan pemimpin hebat dan senior di dalam kepimpinan negeri ditolak mentah-mentah. Apakah jasa pemimpin seperti Lim Kit Siang atau Shamsul Iskandar Md.Akin (Giant-Killer) hingga mereka terpilih. Soalnya bukan apa yang PR mahu kali ini, tetapi apa yang penyokong dan pengundi mereka mahu.
Dalam demokrasi semuanya boleh berlaku kerana pemimpin menyumbat persepsi ke minda pengundi tetapi adakah apa yang disumbat masuk ke minda sedar mereka mampu diterjemah menjadi satu pilihan muktamad?
Apa yang pasti SPR telah dengan telus melaksanakan tugas mereka hingga segalanya berjalan dengan lancar. Kepada pemimpin PR, masa masih panjang untuk kita terus ke depan. Terimalah kekalahan dengan 'gentleman'. 89 kerusi Parlimen bukan suatu yang teruk, tetapi apa yang teruk adalah bagaimana kita berurusan dengan keputusan rakyat.
Terimalah ketentuan kerana mungkin slogan Ini Kalilah boleh ditukar menjadi Ini Kuasa Allahlah! Nik Aziz dan Abdul Hadi Awang lebih arif soal ini. Wallahuallam.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan