Rabu, Mei 08, 2013

Analisis PRU-13: Tiang seri UMNO, BN mula goyah?


Sebaik menerima laporan bahawa Lim Kit Siang mendahului jauh Datuk Abdul Ghani Othman semasa proses penjumlahan undi kira-kira pukul 9 malam semalam, terdetik di hati, apakah Johor bakal menerima nasib yang sama seperti negeri-negeri lain sebelum ini yang dilanda tsunami politik.

Menghampiri pukul 11 malam, semakin jelas petanda bahawa Menteri Besar Johor selama lebih 18 tahun itu bakal ditewaskan Kit Siang yang merupakan Penasihat DAP.

Memang benar, dalam setiap pertandingan, pasti ada menang kalahnya. Takdirnya, Abdul Ghani kecewa dan Kit Siang bersorak keriangan apabila diumumkan memenangi kerusi Parlimen Gelang Patah yang mempunyai 106,726 pengundi berdaftar dengan majoriti iaitU 52.41 peratus kaum Cina.

Kekalahan Abdul Ghani semakin perit dirasakan apabila satu persatu kerusi DUN dan Parlimen dimenangi pembangkang khususnya DAP.

Namun, pemimpin BN khususnya Abdul Ghani lega apabila diumumkan BN berjaya membentuk kerajaan apabila memenangi 38 daripada 56 kerusi DUN.

Keputusan PRU-13 ini sebenarnya bukan sekadar menentukan menang kalahnya parti-parti yang bertanding tetapi yang jelas membawa beberapa mesej jelas kepada parti dan rakyat.

Yang pertama, UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus sedar bahawa Johor kini bukan lagi kubu kuat atau tiang seri bagi UMNO dan BN.

Semua tahu, pada PRU kali ini, lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN jatuh ke tangan pembangkang khususnya DAP. Selain mempertahankan kerusi Parlimen Bakri, DAP turut melebarkan pengaruhnya ke Kulai, Kluang dan Gelang Patah dan memenangi 13 kerusi DUN berbanding hanya empat pada PRU-12 pada 2008.

Perkembangan itu harus membuka mata BN bahawa DAP kini menjadi parti yang kian popular khususnya dalam kalangan warga bandar khususnya pengundi Cina.

Pas pula walaupun tidak berjaya meraih sebarang kerusi Parlimen, namun turut menambah koleksi kerusi DUN daripada dua kepada empat apabila mempertahankan kerusi Sungai Abong dan Maharani dan menang dua lagi di Puteri Wangsa dan Parit Yaani.


Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut bertapak di Johor apabila menumbangkan calon UMNO di Parlimen Batu Pahat iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan memenangi DUN Bukit Batu.

Jadi, usahlah pemimpim BN melaung-laungkan lagi dengan megah bahawa Johor adalah kubu kuat UMNO dan BN. Semua harus menerima hakikat bahawa istilah itu hanya tinggal sejarah!

Keputusan PRU-13 ini juga seharusnya menyedarkan pemimpin BN bahawa mereka harus bangkit dari tidur dan tidak lagi bersikap selesa kerana jika perubahan drastik tidak dilakukan kemungkinan besar Johor boleh ditawan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Kalau sudah jatuh, tidak guna meratapinya dan baru mahu mulakan langkah menawannya semula. Contoh yang jelas, bagaimana sukarnya BN cuba merampas Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu dan hingga kini masih gagal melakukannya.

Begitu juga BN Selangor memerlukan 'tonik' baru untuk menawan semula negeri tersebut dan Pulau Pinang lebih sukar dirampas semula daripada DAP yang nyata mendapat sokongan padu daripada rakyat khususnya masyarakat Cina.

Selain itu, keputusan PRU kali ini di negeri ini juga jelas memberi indikasi bahawa orang Cina sudah menolak BN khususnya calon MCA dan Gerakan.

Daripada tujuh kerusi Parlimen yang ditandingi MCA, mereka hanya menang di empat kawasan iaitu Labis, Ayer Hitam, Tebrau dan Tanjong Piai, manakala Gerakan bernasib baik apabila wakil di Simpang Renggam berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.

"MCA, Gerakan dan BN harus cari apa punca orang cina sudah benci BN. Kalau ini tak boleh jumpa, tak boleh selesai, saya rasa pilihan raya akan datang, calon MCA dan Gerakan akan kalah lagi teruk," demikian kata seorang lelaki Cina apabila ditanya tentang keputusan PRU-13 ini.

Sebenarnya, keputusan di Parlimen Gelang Patah memberi gambaran jelas bahawa kaum Cina memang tidak lagi bergantung kepada BN. Ini kerana calon BN di situ bukannya daripada MCA atau Gerakan, tetapi daripada UMNO.

Lebih nyata apabila calon yang ditolak pengundi Cina di situ ialah orang yang sudah banyak berjasa kepada negeri ini iaitu seorang Menteri Besar.

Malah, beliau boleh dianggap arkitek kepada pembangunan Johor Moden dengan mewujudkan koridor pertumbuhan baru di Nusajaya iaitu Iskandar Malaysia yang terletak Parlimen Gelang Patah serta pusat pentadbiran baru di Kota Iskandar yang turut berada di situ.

Nyata reputasi dan status Menteri Besar bukan menjadi pilihan utama pengundi, sebaliknya pengundi Cina mengharapkan Penasihat DAP terus menjadi suara orang Cina di Dewan Rakyat.

Boleh disimpulkan, Abdul Ghani ditolak di Gelang Patah bukan kerana beliau tidak disukai, tetapi kerana Menteri Besar itu calon BN dan Kit Siang dipilih disebabkan beliau calon pembangkang, apatah lagi DAP yang dianggap sebagai 'hero' orang Cina pada masa ini. - UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: