Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Mei 05, 2013
BERI SAYA MANDAT
Kemenangan BN penting bagi merealisasikan Wawasan 2020
Petaling Jaya: Datuk Seri Najib Razak berharap rakyat memberi mandat lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad ini bagi membolehkan kerajaan merealisasikan Wawasan 2020 yang tinggal tujuh tahun lagi.
“Mandat yang diperlukan kali ini adalah lebih penting kerana kita hanya ada tempoh tujuh tahun untuk merealisasikan wawasan negara.
" Kita telah buktikan dalam tempoh empat tahun yang kita boleh melaksanakannya. Jadi, cuba bayangkan jika kita mendapat mandat kukuh daripada rakyat apa yang kita boleh lakukan untuk lima tahun akan datang. Tentu kita dapat buat lebih hebat” Najib Razak, Pengerusi BN
“Cuba bayangkan jika kita tidak dapat mandat, apa akan jadi kepada wawasan negara. Saya tak fikir wawasan negara akan tercapai,” kata Perdana Menteri pada program Mandat 2013 yang disiarkan oleh TV3, malam tadi. Program sejam itu dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib.
Perlu kestabilan politik
Najib menjelaskan mandat daripada rakyat diperlukan untuk meneruskan gerak kerja mentadbir kerajaan. Wawasan 2020 tidak mungkin dicapai tanpa perkembangan
“Kita sudah membuktikan dalam tempoh empat tahun yang kita boleh melaksanakannya. Jadi, cuba bayangkan jika kita mendapat mandat kukuh daripada rakyat apa yang kita boleh lakukan untuk lima tahun akan datang.
“Tentu dengan mandat yang kukuh ini, kita akan dapat buat lebih hebat,” katanya.
Najib juga yakin matlamat kemenangan dua pertiga BN dapat dicapai di samping merampas semula Selangor, Kedah dan Kelantan hasil kempen selama hampir dua minggu lalu.
Peluang menang besar
Mengenai peluang BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga, beliau berkata: “Saya tidak mahu dilabelkan sebagai terlalu bongkak atau menggambarkan terlebih yakin, tetapi dengan rendah diri mahu menyatakan bahawa ada peluang baik untuk BN mencapai dua pertiga.”
Katanya, berdasarkan maklum balas ketika turun padang berkempen, beliau mendapati tahap keyakinan kepada BN meningkat, begitu juga kaji selidik menunjukkan kemenangan memihak kepada BN, termasuk di Kelantan apabila secara spontan rakyatnya menyatakan keadaan sekarang lebih baik berbanding 2008 dan 2004.
“Semuanya hasil pelaksanaan agenda transformasi nasional dan proses pembaharuan dalam negara sejak empat tahun lalu yang menjurus kepada keyakinan rakyat hingga membolehkan Program Rakyat Didahulukan dilaksanakan dan diterjemahkan, umpamanya dalam bajet tahunan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya.
Di Kelantan misalnya, Perdana Menteri berkata, negeri itu bakal menampakkan perubahan apabila rakyatnya yakin dengan dasar transformasi nasional dan akujanji BN sebagai kontrak dengan rakyat yang menantikan apa yang dijanjikan.
“Selepas 23 tahun, rakyat Kelantan sudah boleh menilai apa yang dilakukan kerajaan PAS serta komitmen PAS untuk mempertahankan akidah,” katanya.
Mengulas peluang di Kedah pula, Najib menganggap negeri itu tidak lagi berfungsi apabila kepemimpinan Menteri Besar dan EXCOnya berpecah-belah secara terbuka sehingga pentadbiran negeri tempang.
Ambil alih Kedah
“Rakyat Kedah sudah bersedia kembali kepada BN dan ini penting kerana Kerajaan Pusat dan negeri yang tidak sehaluan boleh menghalang projek utama dan agenda transformasi nasional.
“Begitu juga di Selangor apabila rakyatnya mula kecewa dengan janji kosong 2008 dan rasa tertipu dengan janji yang tidak pernah ditepati pembangkang. Mereka sedar Selangor penting untuk masa depan negara terutama apabila campuran Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menghasilkan 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara,” katanya.
Beliau yang memberikan contoh projek loji air Langat 2 berkata, pembangkang sengaja tidak mahu bekerjasama untuk merealisasikan projek itu semata-mata kerana tidak mahu memberi kredit kepada BN sehingga terowong, loji dan peruntukan yang disediakan kerajaan Pusat masih tidak dapat menyelesaikan masalah pelaksanaan projek itu.
Mengenai Sabah dan Sarawak, beliau berkata, kedua-dua negeri masih kekal sebagai kubu BN dengan bilangan kerusi yang besar walaupun diserang bertubi-tubi oleh pembangkang.
Beliau yang mahu rakyat membuat pilihan bijak, menasihatkan pengundi supaya berfikir secara rasional dan mempertimbangkan segala-galanya dengan tenang sebelum membuat keputusan berharga itu.
“Buatlah keputusan siapa yang boleh dipercayai untuk menjamin masa depan bersinar dan esok lebih baik daripada hari ini,” katanya.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan