Walaupun sejarah telah mencatatkan bahawa tragedi 13 Mei bermula daripada provokasi pembangkang, tetapi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat cuba membela rakan sekutunya apabila menuduh UMNO mencetuskan rusuhan kaum pada 1969 itu.
Dalam satu ceramah di Arena Square di sini baru-baru ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa persengketaan antara kaum itu didalangi oleh UMNO untuk mengekalkan kuasanya.
Pas pernah bekerjasama (dengan UMNO) dari 1970 hingga 1978 selepas 13 Mei, kita menyedari 13 Mei adalah provokasi yang dibuat oleh UMNO, kekacauan untuk mengekalkan kuasanya.
(Tragedi) 13 Mei tidak berlaku di Kelantan, tidak berlaku di Terengganu dan tidak berlaku di Kedah. Kekacauan berlaku di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, negeri tempat BN perintah masa itu," katanya.
Dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokong pembangkang itu, Abdul Hadi juga cuba menidakkan kebaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan mendakwa pendekatan itu sebagai tidak bijak.
Ketika rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah menyambut baik pemberian BR1M, Abdul Hadi pula mendakwa kononnya bantuan itu bermotif politik.
Abdul Hadi sekali lagi melemparkan tohmahan apabila menyatakan kononnya BR1M hanya diberi ketika dekat pilihan raya sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah menyalurkan bantuan itu sejak tahun lalu lagi.
Peliknya, selepas memburuk-burukkan tindakan kerajaan menyalurkan BR1M, Abdul Hadi mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil bantuan tersebut.
Dia bagi BR1M, ambil. Itu duit kita tetapi kalau kita sudah kaya, bagi dekat orang miskin. Kalau tidak jumpa orang miskin, bagi dekat kami, kami buat bendera banyak-banyak," katanya.
Presiden Pas perlu dalami sejarah
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta jangan mengaburi mata rakyat dengan memutar belit fakta sejarah, terutamanya mengenai tragedi 13 Mei 1969.
Tindakan itu bukan hanya boleh memecah belahkan perpaduan rakyat, tetapi juga boleh meruntuhkan institusi Perlembagaan negara yang merupakan nadi kepada kesejahteraan Malaysia hari ini.
Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, semua fakta sejarah yang menjadi rujukan generasi kini adalah benar dan tidak ada alasan untuk menafikan atau menolak semua peristiwa yang berlaku dalam negara ini sejak dulu hingga kini.
Sebagai pemimpin, saya rasa Abdul Hadi perlu tahu banyak tentang sejarah negara ini dan bukannya memutar belit fakta demi mendapatkan sokongan.
Tragedi itu berlaku kerana sikap keterlaluan sesetengah penyokong parti pembangkang yang mengeluarkan slogan-slogan berbaur perkauman ketika meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum 1969," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa tragedi berdarah pada 13 Mei 1969 didalangi oleh UMNO bagi mengekalkan kuasanya.
Ramlah berkata, dakwaan pemimpin Pas itu secara tidak langsung menggambarkan pengetahuannya yang cetek dalam bidang sejarah.
Sebelum mengeluarkan dakwaan sedemikian, saya nasihatkan Abdul Hadi perlu membuat banyak rujukan agar tidak menampakkan betapa terdesaknya beliau untuk mendapatkan sokongan.
Beliau sepatutnya mengangkat martabat orang Melayu dan Islam, bukannya memburukkan kaum sendiri demi mengejar kuasa," ujarnya.
Katanya, tiada negara yang inginkan kekacauan dan pertumpahan darah, sebaliknya sentiasa berusaha mengekalkan keamanan yang ada untuk kesejahteraan rakyat.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan