Selasa, Januari 01, 2013

Isu Selangor : Kesal PKNS 'berbohong'?



Sekumpulan usahawan bumiputera yang menyewa di lot kilang di Taman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, di sini kesal dengan tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan penjualan premis berkenaan kepada syarikat bukan bumiputera.

Para pengusaha IKS bumiputera yang telah bertahun-tahun beroperasi di kawasan kilang tersebut termasuk yang sudah mendapat sijil piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) menganggap langkah tersebut adalah satu 'pembohongan' PKNS.

Dakwaan itu dilakukan kerana sebelum ini pengurusan PKNS memberi penjelasan bahawa lot-lot kilang berkembar satu setengah tingkat itu telah dijual kepada syarikat bumiputera setelah diiklankan penjualannya.

Sebaliknya, melalui pemeriksaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati sekurang-kurangnya lapan unit bangunan kilang tersebut dijual kepada syarikat yang pemegang sahamnya bukan bumiputera selain melibatkan dua syarikat yang dikategorikan sebagai tidak aktif.

Wakil gabungan usahawan tersebut, Azri Mohamed Yusoff berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan PKNS yang tidak memberikan maklum balas konkrit terhadap perbincangan yang dilakukan pada 25 Januari lalu apabila PKNS berjanji mahu membatalkan penjualan lot kilang tersebut.

"Sebagai penyewa yang sudah bertahun-tahun beroperasi di kawasan tersebut, sepatutnya kami lebih diutamakan bagi ditawarkan membeli kilang tersebut.

"Kami berminat dan mempunyai kemampuan untuk membelinya. Kami kesal kerana langsung tiada perbincangan dilakukan berhubung rancangan penjualan itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Azri yang juga Pengarah Urusan MPR Manufacturing Sdn. Bhd berkata, pihaknya mengesyaki terdapat satu pakatan dalam kalangan pegawai PKNS berkaitan isu penjualan tersebut kerana antara syarikat yang menjadi pembeli melibatkan pemaju hartanah, perdagangan dan dua lagi bertaraf tidak aktif.

"Sepatutnya PKNS membantu pengusaha IKS mendapat pemilikan dan bukannya menjual kepada orang lain dengan mudah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Siti & Amreena Holding Sdn. Bhd., Datuk Paduka Siti Aminah Ramli yang juga pengasas Reenas Cosmetics berkata, pemilik baru kilang tersebut mungkin akan menjualnya dengan harga berlipat kali ganda.

Beliau yang menyewa tiga lot di kawasan kilang tersebut berkata, pihaknya akan menghadapi masalah kerana kilangnya sudah mendapat taraf GMP yang mengambil masa dua tahun untuk diluluskan.

"Jika kami berpindah sudah pasti pendaftaran baru GMP terpaksa dilakukan sedangkan kami sudah melabur banyak untuk mendapatkan GMP termasuk melakukan penambahbaikan keadaan fizikal kilang itu yang sebelum ini begitu teruk ketika mula menyewa pada 2003.

"Sepatutnya berbincanglah dengan kami dahulu kalau hendak jual kilang ini, lagipun kami sudah lama beroperasi di sini dan merupakan usahawan bumiputera yang tulen," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: