Peserta Himpunan Shamsidar di Stadium Merdeka diminta oleh penganjur untuk memberi derma, Sabtu lalu.
Orang Melayu khususnya penyokong Pas bukan kali pertama diperalatkan. Himpunan Shamsidar Sabtu lalu yang cuma berjaya mengumpul sekitar 50,000 orang adalah deretan kisah betapa mudahnya mereka diperbodohkan.
Penulis yang mengikuti kumpulan penyokong pembangkang ketika membuat liputan Himpunan Shamsidar menyaksikan bagaimana tertutupnya minda penyokong Pas bahawa mereka sebenarnya sedang diperalatkan.
Bukan sahaja mereka diperguna bagi mengalih pelbagai isu yang melingkari pembangkang seperti kontroversi kalimah Allah, desakan agar 'Amanat Haji Hadi' ditarik balik dan isu Shamsidar Taharin sendiri tetapi turut dijadi 'bank' untuk derma aktiviti pakatan.
Paling memalukan bagaimana muslimat Pas dilihat berbangga mengenakan bendera DAP ke badan mereka sedangkan baru dua minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuntut agar kalimah Allah digunakan untuk Bible.
Bagaimanapun penulis tidak mahu mengulas mengenai isu itu kerana ia sudah banyak dikupas. Apa yang penulis mahu kongsikan ialah bagaimana tertutupnya minda penyokong pembangkang ketika duit mereka diperah.
Contoh paling ketara ketika penyokong Pas berteriak takbir semasa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh Barisan Nasional (BN) cekik darah, tetapi lupa sebenarnya duit mereka yang dihisap secara terbuka oleh pembangkang.
Masakan tidak, mereka diperalat untuk mengeluarkan duit derma bukan sekali, tetapi dua kali kononnya bagi membiayai kos sewa Stadium Merdeka yang berjumlah RM100,000 sedangkan ia tanggungjawab penganjur.
Malah, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang bertindak selaku pengacara majlis secara terbuka meminta orang ramai menderma antara RM50 hingga RM100 untuk pusingan kedua.
"Pusingan pertama derma tadi kita lihat masih ramai yang segan silu untuk mengeluarkan derma jadi kita lancar pusingan kedua. Saya harap tiada masalah untuk kita masing-masing derma RM50 atau RM100 demi mencipta sejarah baru.
"Kita bukan ada penaja, kita perlukan sokongan saudara-saudari sekalian untuk membiayai kos Stadium Merdeka berjumlah RM100,000. Kita pakatan tidak mahu berhutang, kita mahu langsai hari ini juga," kata Saifuddin.
Ironinya 'permintaan' Saifuddin itu dibuat sebaik-baik sahaja Guan Eng menuduh UMNO dan Barisan Nasional kerajaan busuk hati kerana dikatakan memberi melalui tangan kanan dan 'merompak' duit rakyat melalui tangan kiri.
Guan Eng mengaitkan tuduhan itu dengan pemberian kedua-dua pusingan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 setiap satu dan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Apa yang menimbulkan persoalan ialah CheguBard (Badrul Hisham Shaharin) sebelum itu telah membuat pengumuman pada awal majlis bahawa kutipan derma pada malam menjelang Himpunan Shamsidar ialah RM30,000.
Bermakna, penyokong pembangkang khusus ahli Pas diperah duit mereka sebanyak tiga kali sepanjang perhimpunan berlangsung tetapi disebabkan fanatik secara melulu, minda mereka tertutup untuk menilai perkara itu.
Hal itu bertentangan dengan slogan kerajaan rakyat dan negara berkebajikan yang dilaungkan pembangkang kerana hakikatnya semasa Himpunan Shamsidar itu, duit rakyat yang 'dicekik' demi nafsu politik mereka.
Sepatutnya, jika pakatan mendakwa mereka kerajaan yang mengutamakan rakyat dan mahu mewujudkan negara kebajikan, pembangkang perlu menanggung semua kos sewaan tersebut dan bukan menyusahkan penyokong.
Di samping itu, persoalan lain yang timbul ialah beranikah pembangkang membuat audit terbuka, berapa jumlah kutipan derma yang disumbangkan kira-kira 50,000 penyokong pembangkang dan ke mana wang itu dibelanjakan.
Hal sama berlaku kepada sekumpulan anak muda Melayu yang berbaju T tertera perkataan 'Jihad The Only Solution' sambil menyanyikan lagu provokasi yang menghina BN sebelum mereka kemudian memasuki stadium.
Kumpulan itu mengakui kepada penulis yang kebetulan duduk bersama mereka di dalam stadium bahawa kehadiran ke Himpunan Shamsidar hanya atas dasar suka-suka tanpa mengetahui objektif sebenar pembangkang.
"Kawan-kawan meminta kami hadir memeriahkan suasana. Saya datang hanya untuk suka-suka sebab saya sendiri pun tidak pernah mengundi. Kami dimaklumkan perhimpunan ini yang terakhir sebelum pilihan raya umum.
"Kerajaan yang ada sekarang ini zalim dan menindas. Kami mahukan sebuah kerajaan yang adil yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat" dakwa salah seorang ahli kumpulan itu tetapi mengakui ayahnya penerima BR1M.
Belum pun habis kami berbual, datang seorang lelaki membawa plastik meminta derma dan remaja yang masih lagi menuntut itu kemudiannya tanpa berfikir panjang menghulur RM10 daripada RM20 yang ada di dalam beg duitnya.
Katanya, sumbangan tersebut demi perjuangan rakyat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, bebas rasuah dan tidak menindas walaupun mengakui pengajiannya di sebuah universiti tempatan juga ditanggung kerajaan.
Bagaimanapun melihat penulis tidak menghulurkan derma, remaja tersebut bertanya mengapa tidak menyumbang kepada perjuangan rakyat dan penulis membalas kerajaan perlu membantu rakyat dan bukan sebaliknya.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan